ECER CAPAI PENINGKATAN PELUANG PEKERJAAN MEMBERANGSANGKAN DAN TRANSFORMASI SOSIOEKONOMI
Lebih 133,000 Peluang Pekerjaan dan 14,000 Usahawan Berjaya Diwujudkan Di Seluruh Wilayah Ekonomi Pantai Timur

KUALA LUMPUR, 9 JUN 2016: Transformasi sosioekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang kini sedang giat dilaksanakan telah berjaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk rakyat di Wilayah ini. Sehingga hari ini, sebanyak 133,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan dan seramai 14,240 usahawan berjaya dibangunkan di kawasan bandar dan juga luar bandar di Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor.

Di bawah Rancangan Malaysia ke-9 dan ke-10, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6 bilion bagi melaksanakan 111 program modal insan dan sosioekonomi serta projek infrastruktur di ECER. Dengan sokongan kerajaan serta projek-projek infrastruktur strategik yang dilaksanakan, ECER berjaya menarik pelaburan asing dan tempatan sebanyak RM89.7 bilion iaitu pulangan yang melebihi 14.4 kali ganda peruntukan yang diberikan.

Bagi mempercepatkan lagi pertumbuhan ECER ke arah menjadi Wilayah yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11- 2016 hingga 2020) untuk melaksanakan 12 program pembangunan modal insan, sosioekonomi dan projek berimpak tinggi melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Ini adalah selaras dengan model ekonomi baru yang memberi penekanan sama rata terhadap pembangunan ekonomi berteraskan modal dan ekonomi berteraskan rakyat.

“Menerusi ECERDC, program-program sosioekonomi yang dilaksanakan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat mula menunjukkan hasil yang positif terutamanya dalam mengubah kehidupan masyarakat luar bandar. Peluang pekerjaan di ECER bukan hanya dijana oleh syarikat-syarikat besar, malahan turut disediakan oleh usahawan mikro serta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dilahirkan melalui program-program yang dianjurkan oleh ECERDC.

“Daripada jumlah keseluruhan pekerjaan yang dijana di ECER, lebih 19,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan oleh 14,000 peserta yang telah menjadi usahawan selepas mengikuti program pembangunan modal insan ECERDC. Kebanyakan mereka terdiri daripada masyarakat Bumiputera dan rata-rata telah berjaya memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 sebulan,” kata YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas menghadiri Mesyuarat Majlis ECERDC Kali Kedua bagi tahun 2016.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, yang juga Pengerusi ECERDC.

MEREALISASI TRANSFORMASI, MEMAJUKAN RAKYAT, MELESTARI PERTUMBUHAN SOSIOEKONOMI

Program pembangunan modal insan ECERDC, yang dibangunkan dengan matlamat untuk mentransformasi sosioekonomi, meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat telah memberi manfaat kepada lebih 60,000 orang. Sebahagian besar daripada mereka telah menceburi bidang keusahawanan, mendapat pekerjaan atau mencapai keputusan akademik yang lebih baik berikutan penyertaan mereka dalam program-program yang dianjurkan. Daripada jumlah ini, seramai 41,495 orang pelajar kurang cemerlang dari keluarga berpendapatan rendah telah mendapat manfaat daripada program latihan akademik yang dianjurkan. 98% daripada pelajar ini lulus semua mata pelajaran dalam peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM, dengan 17% berjaya mencapai keputusan 5A dan ke atas.

“Selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), inisiatif pembangunan modal insan kami telah memberi manfaat kepada rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dan pelbagai kaum. Yang lebih penting, 93% daripada peserta yang mengikuti program-program kami adalah daripada kategori B4, termasuk ibu tunggal, belia menganggur, Orang Kelainan Upaya, masyarakat Orang Asli, kaum Cina dan kaum India, di mana ianya membuktikan komitmen kami dalam membangunkan ECER secara inklusif dan mampan,” jelas Datuk Seri Issace.

MENGHARGAI PERANAN DAN KEJAYAAN RAKYAT DALAM MENGUBAH LANSKAP SOSIOEKONOMI DI ECER

Bagi mengiktiraf kejayaan yang dicapai oleh para usahawan yang lahir daripada program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER, seramai 15 orang usahawan telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Usahawan empower ECER yang julung kali diadakan. Anugerah  Usahawan empower ECER ini disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dalam satu majlis khas selepas Mesyuarat Majlis ECERDC.

Terdapat lapan kategori anugerah termasuk kategori Orang Asli, Ibu Tunggal dan Orang Kelainan Upaya. Anugerah Usahawan Gemilang empower ECER dirangkul oleh Khairul Azizi bin Ramli, yang kini merupakan seorang usahawan berjaya yang menguruskan beberapa jenis perniagaan.

Khairul Azizi menyertai empower ECER di Ketereh, selepas gagal dalam perniagaan sehingga beliau terpaksa menjual rumahnya. Namun, berkat usaha gigih dan pengetahuan yang diperoleh semasa menjalani latihan empower ECER, beliau memulakan perniagaan mengedar arang dan kini, produk arang beliau dijual di lebih 2,000 kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara dengan disokong oleh 10 orang pekerja tetap dan 53 orang agen. Beliau kini menyediakan platform untuk usahawan baru memasarkan produk mereka di Mydin, Econsave dan kedai-kedai lain.

Mengulas mengenai kejayaan pemenang anugerah, Datuk Seri Issace berkata: “Program yang dianjurkan ini adalah pemangkin untuk mengubah hidup para pemenang yang sebelum ini hanyalah rakyat biasa, kepada rakyat yang berjaya. ECERDC ingin mengiktiraf dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang perjalanan untuk mencapai kejayaan.”

PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTERA

Sebagai sebahagian daripada Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan oleh Kerajaan, ECERDC menyediakan pelbagai insentif, bimbingan dan nasihat perniagaan kepada syarikat Bumiputera bagi meningkatkan lagi penyertaan mereka dalam aktiviti ekonomi di ECER. Sehingga kini, sebanyak 129 projek dengan jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM15 bilion adalah daripada syarikat Bumiputera.

Ini adalah 22.1% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di ECER dan mencerminkan kejayaan Wilayah ini mencapai matlamat meningkatkan ekuiti Bumiputera dalam perniagaan. Walaupun kebanyakan syarikat Bumiputera terdiri daripada PKS, mereka membentuk tulang belakang ekonomi Wilayah ini kerana bilangan mereka adalah besar dan kesan limpahan ekonomi dalam bentuk peluang pekerjaan dan penggunaan adalah sangat besar terutamanya di peringkat akar umbi.

EKONOMI MEMBANGUN ABAD KE-21

Pelaburan asing dan domestik yang berjumlah RM89.7 bilion di ECER mewakili 81% daripada sasaran pelaburan swasta sebanyak RM110 bilion menjelang 2020. Kadar purata pertumbuhan tahunan bagi pelaburan baru ketika RMKe-9 dan RMKe-10 adalah 28.6% setahun.

“Memandangkan Wilayah ECER masih membangun, terdapat banyak peluang untuk terus  membentuk pembangunan di ECER agar lebih mampan, inklusif dan maju sebagaimana yang diilhamkan, agar Wilayah ini menjadi sebuah ‘ekonomi membangun abad ke-21’. Ini melaksanakannya dengan memastikan dasar dan insentif yang diberikan adalah menyeluruh dan memberi tumpuan kepada inisiatif transformasi jangka panjang yang menggalakkan sektor nilai tambah yang lebih tinggi dan pertumbuhan perniagaan kecil dan mikro bagi mencapai keseimbangan ekonomi berteraskan modal dan ekonomi berteraskan rakyat.

“Kami komited untuk menjadikan ECER sebagai Wilayah ekonomi contoh yang mempamerkan pembangunan mampan, mesra rakyat dan inklusif. Terdapat banyak lagi inisiatif strategik yang sedang  dirancang untuk  dilaksanakan di bawah RMKe-11 sehingga tahun 2020. Antara projek utama yang dirancang termasuklah projek pembangunan pelancongan Kampung Laut dan Taman Perindustrian Tok Bali di Kelantan; pembangunan Kuantan sebagai Bandar Pelabuhan atau ‘Rotterdam of the East’ di Pahang; pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) dan Akuapolitan Kuala Nerus di Terengganu; projek Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing dan pelancongan di Mersing, Johor serta usaha pemeliharaan dan pemuliharaan Rizab Biosfera Tasik Chini,” jelas Datuk Seri Issace lagi.