ECER TARIK PELABURAN RM84 BILION SETAKAT NOVEMBER 2015, WUJUD 92,313 PELUANG PEKERJAAN UNTUK RAKYAT

KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER 2015: Penekanan seimbang yang diberikan oleh pihak Kerajaan terhadap pertumbuhan ekonomi berteraskan modal dan ekonomi berteraskan rakyat dalam memacu transformasi sosio-ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menunjukkan kesan positif, seperti yang dapat dilihat melalui peningkatan masuk pelaburan dan pengukuhan modal insan dan usahawan di Wilayah tersebut.

Dalam usaha memacu transformasi di ECER, pihak Kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM6 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMKe-9) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) bagi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi di ECER melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Kesemua 67 projek dan program di bawah RMKe-9 telah pun siap dilaksanakan, manakala 26 projek dan program di bawah RMKe-10 telah pun siap dan 20 lagi sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Pelaburan oleh pihak Kerajaan tersebut telah pun membuahkan hasil, di mana sehingga November 2015, ECER telah berjaya menarik pelaburan swasta berjumlah RM84 bilion, atau mewakili pulangan 14 kali ganda kepada pihak Kerajaan. Pelaburan swasta tersebut merupakan 76 peratus daripada sasaran pelaburan ECER sebanyak RM110 bilion menjelang tahun 2020, dan dijangka akan mewujudkan 92,313 peluang pekerjaan untuk rakyat.

Dari segi sektor, kluster pembuatan merupakan penyumbang terbesar dengan nilai pelaburan bernilai RM46.3 bilion, diikuti oleh sektor pelancongan (RM14.1 bilion), bio-ekonomi (RM7.4 bilion) dan minyak, gas dan petro-kimia (RM5.2 bilion).

rajah01

Gambarajah 1: Pelaburan Awam & Swasta di ECER Setakat November 2015

ECERDC hari ini mengadakan Mesyuarat Majlisnya yang ketiga bagi tahun 2015 di Menara Parlimen di sini hari ini, yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, yang juga merupakan Pengerusi ECERDC. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, serta Angota-Anggota Majlis ECERDC yang lain.

“Walaupun terdapat pelbagai cabaran untuk menarik pelaburan ke ECER pada permulaan tahun 2015, ECERDC terus menggiatkan usahanya untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Wilayah ini dengan kerjasama pihak Kerajaan-kerajaan Negeri terlibat serta agensi-agensi Kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Hasilnya, terdapat peningkatan pelaburan yang ketara pada suku ketiga dan keempat 2015, dan ECER telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM12.5 bilion untuk tahun ini sahaja, sekaligus melangkaui sasaran pelaburan RM12 bilion untuk 2015,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Lebih membanggakan, penekanan turut diberikan kepada taburan pelaburan yang seimbang dengan meliputi kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar. ECERDC juga telah memberi lebih penekanan kepada pelaburan-pelaburan di nod-nod kawasan pembangunan utama (KDA) dan juga taman-taman industri ECER pada tahun ini, jelasnya.

rajah02

Gambarajah 2: Taburan Pelaburan Swasta di ECER mengikut negeri

Taman-taman perindustrian di ECER seperti Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Taman Automotif Pekan, Taman Biopolimer Kertih, Taman Bio Bersepadu Kuantan, Taman Halal Gambang dan Taman Halal Pasir Mas terus menarik minat para pelabur kerana kelebihan dan daya saing masing-masing, dengan nilai pelaburan terkumpul berjumlah RM19.54 bilion berjaya diperolehi sehingga kini, yang akan mewujudkan 22,377 peluang pekerjaan baharu.

Dalam membangunkan ekonomi berteraskan rakyat, pihak ECERDC telah melaksanakan pelbagai program pembangunan modal insan dan keusahawanan yang telah memberi manfaat kepada lebih 48,000 rakyat tempatan, di mana 99% daripada mereka adalah dari golongan isi rumah 40% terbawah (B40). Program-program tersebut antara lain merangkumi empower ECER yang telah memberi manfaat kepada lebih 33,439 pelajar di bawah program Latihan Akademik, dan 11,695 peserta dewasa di bawah program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan.

rajah03

Gambarajah 3: Pelaksanaan & Impak program empower ECER

Program entrepreneur ECER yang merupakan sebuah inisiatif pembangunan usahawan yang dilaksanakan dengan kerjasama SIRIM, Agrobank dan Maybank, telah berjaya memberi manfaat kepada 2,723 usahawan di Wilayah ini. Daripada jumlah tersebut, 2,088 usahawan telah menerima bantuan kewangan melalui skim pinjaman ECERDC-Agrobank, sementara 487 usahawan lagi telah memperolehi bantuan kewangan di bawah Skim Keusahawanan ECER-Maybank. Sejumlah 148 usahawan lagi mendapat manfaat daripada program pembangunan produk dan pemasaran yang disediakan di bawah program kerjasama ECERDC dengan SIRIM bertujuan untuk membantu mempertingkatkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi, termasuklah mengeksport produk mereka ke luar negeri.

rajah04

Gambarajah 4: Pelaksanaan & Impak program entrepreneur ECER

Inisiatif ECERDC melalui Teraju@ECER direka khas untuk memenuhi Agenda Memperkasakan Ekonomi Bumiputera yang diperkenalkan oleh Kerajaan. Sejak pelancarannya pada 2012, sebanyak 167 buah syarikat Bumiputera di ECER telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini, yang terdiri daripada 92 buah Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS) yang menerima panduan dan khidmat nasihat perniagaan bagi memperkembangkan perniagaan masing-masing, sementara sebanyak 75 buah syarikat Bumiputera dengan nilai pelaburan berjumlah RM1.49 bilion pula telah diberikan Dana Mudah Cara TERAJU berjumlah RM189.5 juta.

rajah05

Gambarajah 5: Pelaksanaan & Impak program TERAJU@ ECER

Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP) pula bermatlamat menangani masalah pengangguran di kalangan graduan tempatan, dengan menjadikan pemegang diploma dan ijazah sebagai kumpulan sasarnya. Di bawah program ini, para graduan dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan industri dan teknologi serta pengurusan perniagaan diberi latihan sambil bekerja, sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan bakat yang dijalankan. Sehingga kini, sejumlah 164 graduan teknikal yang mengikuti program tersebut yang diadakan dengan kerjasama DRB-HICOM dan Kaneka di Pahang telah berjaya mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat berkenaan setelah tamat latihan, dengan purata pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan. Sejumlah 190 peserta lagi kini sedang menjalani latihan di kedua-dua syarikat tersebut di bawah program yang sama sejak Februari tahun ini. Sebanyak 17 syarikat telah dikenalpasti untuk ETEP tahun ini, dengan 721 peserta lagi dijangka menyertai program ini pada tahun ini.

Projek membasmi kemiskinan Agropolitan di Pekan, Pahang (Batu 8, Runchang dan Tanjung Batu), Besut-Setiu di Terengganu, serta Gua Musang di Kelantan telah memberi manfaat kepada 1,140 peserta miskin tegar di ECER. Mereka terdiri daripada 415 peserta dan keluarga masing-masing di Agropolitan Pekan, yang turut merangkumi 102 peserta di kalangan orang Asli di Runchang, Pekan; 100 peserta di Agropolitan Besut-Setiu; serta 625 peserta di Agropolitan Kelantan Selatan di Gua Musang, yang telah berjaya keluar dari kepompong kemiskinan dengan menyertai aktviti-aktiviti berasaskan pertanian iaitu penternakan biri-biri Dorper dan perladangan kelapa sawit.

rajah06

Gambarajah 6: Pelaksanaan & Impak program Agropolitan

Dalam melangkah ke Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11) ECERDC akan meneruskan pelaksanaan program-program berimpak tinggi seperti empower ECER dan entrepreneur ECER, serta projek Agropolitan dan Program Peningkatan Bakat Graduan (ETEP) bagi meningkatkan taraf hidup rakyat di Wilayah ini, di samping untuk memastikan kesediaan dan kemampanan sumber modal insan and ekosistem keusahawanan yang berkualiti di Wilayah ini, kata Datuk Seri Issace.

Di samping itu, projek-projek baharu akan turut dilaksanakan di bawah RMKe-11, antaranya, Akuapolitan Kuala Nerus serta Pembangunan Fasa Ketiga Taman Biopolimer Kertih di Terengganu, Pembangunan Pelabuhan Tok Bali di Kelantan, dan Pembangunan Pelancongan Homestay Mersing di Johor.

Di samping projek-projek yang tersebut, fokus akan turut diberikan kepada Pembangunan Pelancongan Kampung Laut dan Taman Industri Tok Bali di Kelantan, Pembangunan Taman Teknologi Pahang di negeri Pahang, serta Pembinaan Jalan Airport Waterfront Corniche, KTCC di Terengganu di bawah RMKe-11. Usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan Tasik Chini yang merupakan Rizab Biosfera yang pertama di Malaysia juga perlu diteruskan bagi memastikan kelestarian khazanah alam sekitar di ECER, tambahnya lagi.