empower ECER MENTRANSFORMASI KEHIDUPAN RAKYAT DI SABAI
Program Berjaya Lahirkan Usahawan dan Tingkatkan Pencapaian Akademik di Kalangan Kumpulan B40

BENTONG, PAHANG, 6 MEI 2017: Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah melaksanakan pelbagai program untuk mentransformasi dan meningkatkan taraf kehidupan Rakyat dari segenap lapisan masyarakat di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), termasuklah di Sabai, Bentong. Sebahagian besar daripada populasi di Sabai adalah terdiri daripada komuniti berbangsa India yang telah menerima banyak manfaat daripada program-program pembangunan modal insan ECERDC yang bersifat inklusif.

Buktinya, seramai 100 peserta telah mengambil bahagian di dalam program empower ECER BentongSabai yang dilaksanakan oleh ECERDC, dengan 63 orang daripada mereka kini telah menjadi usahawan yang berjaya dengan peningkatan pendapatan purata sehingga RM1,100 sebulan. Tujuh daripada usahawan tersebut telah menerima “Anugerah Usahawan” pada majlis perasmian empower ECER BentongSabai di sini hari ini sebagai pengiktirafan atas kejayaan cemerlang mereka dalam mengubah kehidupan masing-masing. Di samping itu, seramai 16 pelajar telah diiktiraf sebagai “Juara empower ECER” atas kecemerlangan mereka dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Anugerah-anugerah tersebut telah disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Menteri Besar Pahang, diiringi oleh YB Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bentong; YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC; YB Senator Dato’ R. Goonasekaran, Pengerusi MIC Pahang; serta, YH. Dato’ Azhar bin Haji Arshad, Pegawai Daerah Bentong. Bersempena dengan majlis tersebut, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan turut melancarkan Pusat Latihan empower ECER Sabai yang merupakan lokasi bagi kesemua latihan dan aktiviti yang dijalankan bagi manfaat masyarakat setempat di Sabai.

“Usaha-usaha ECERDC dalam meningkatkan taraf kehidupan Rakyat melalui program empower ECER mencerminkan pendekatan inklusif dan menyeluruh oleh pihak Kerajaan untuk meningkatkan pendapatan serta tahap ekonomi dan pendidikan golongan berpendapatan 40 peratus terbawah atau B40, terutamanya di kawasan luar bandar.  Pemerkasaan komuniti tempatan di Sabai, yang majoritinya adalah dari kalangan masyarakat India,  adalah sejajar dengan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang diperkenalkan oleh Kerajaan bagi memastikan mereka turut terlibat sepenuhnya dalam agenda transformasi sosioekonomi negara. Bagi mencapai tujuan tersebut, pihak kami menyediakan latihan-latihan kemahiran dan akademik yang diperlukan, serta memberikan mereka pelbagai peluang untuk menyerlahkan potensi masing-masing,” kata YBhg. Datuk Seri Issace.

Kehidupan Puan Parvathi A/P Marimuthu berubah serta-merta apabila suaminya yang merupakan satu-satunya sumber pendapatan keluarga didapati menghidap tumor otak dan tidak lagi mampu bekerja.  Berbekalkan semangat untuk menyara keluarga, beliau menyertai kursus menjahit di bawah program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER bagi mengasah kemahirannya dalam bidang tersebut.  Hasil usaha dan kerja keras beliau, Puan Parvathi berjaya membuka perniagaan kedai jahitannya sendiri dan kini meraih pendapatan kira-kira RM1,300 sebulan untuk keluarganya. Sebagai pengiktirafan atas kegigihan beliau dalam mentransformasi kehidupannya walaupun menghadapi pelbagai cabaran, beliau telah diraikan sebagai pemenang “Anugerah Usahawan Mithali.

Sementara itu, Puan Amminhi A/P Munisami yang menerima “Anugerah Usahawan Gemilang”, hanya mempunyai kelulusan sekolah menengah dan menghadapi kesukaran untuk menyara hidup sebelum menyertai program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER. Setelah dimaklumkan mengenai program tersebut oleh jirannya, beliau telah mempelajari kemahiran membuat kek dan pastri serta cara-cara memasarkan produk di media sosial melalui program empower ECER. Kerja kerasnya ternyata berbaloi apabila beliau kini berjaya meningkatkan taraf kehidupannya dengan menjana pendapatan bulanan sebanyak RM10,000.

Kisah Cik Rajeswari A/P Kanniappan juga mampu mencetuskan inspirasi buat semua.  Beliau bermula sebagai seorang tukang cuci di Kolej Komuniti Bentong sebelum melangkah ke dunia keusahawanan melalui penglibatan beliau dalam pelbagai bidang, antaranya, andaman pengantin, perkhidmatan merapi bulu kening dengan menggunakan benang (threading) perkhidmatan rawatan muka, serta pembuatan kek dan pastri. Dengan bersandarkan kemahiran dan perniagaannya yang kian berkembang, penerima “Anugerah Usahawan Transformasi” ini berjaya meningkatkan pendapatan puratanya sebanyak enam kali ganda daripada RM500 sebulan kepada RM3,000 sebulan.

Golongan pelajar juga turut mendapat manfaat daripada program Latihan Akademik empower ECER. Salah seorang daripada mereka ialah Sivadarshini A/P Sivasanmugam yang berjaya mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan SPM baru-baru ini. Beliau bercita-cita untuk melanjutkan pelajarannya bagi mencapai impian untuk menjadi seorang peguam.

“Kerajaan menyedari bahawa semua segmen masyarakat harus mengambil bahagian secara aktif dalam proses transformasi ECER. Program-program bersifat inklusif dan holistik yang dilaksanakan oleh ECERDC seperti empower ECER telah membuktikan bahawa perubahan sebenar sememangnya telah dan sedang berlaku, dan ini sudah pastinya memberi semangat buat kami untuk terus menggiatkan usaha demi manfaat Rakyat. Kami amat berbangga dengan pencapaian mereka dan kami berharap agar kisah-kisah kejayaan ini akan mendorong ahli-ahli komuniti yang lain untuk turut sama bekerja keras dalam mencapai cita-cita mereka,” kata Datuk Seri Issace.

Untuk menggalakkan lebih ramai usahawan dari komuniti India mengembangkan perniagaan mereka, Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED), sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri, telah memperuntukkan sebanyak RM50,000 dalam bentuk bantuan kewangan di bawah inisiatif TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia kepada 11 usahawan empower ECER yang layak pada majlis yang sama hari ini.

empower ECER merupakan sebuah program pembangunan modal insan berbentuk serampang dua mata yang dilaksanakan oleh ECERDC dengan tujuan untuk merapatkan jurang ekonomi antara komuniti bandar dan luar bandar.  Di Pahang sahaja, lebih 160,000 isi rumah telah mendapat manfaat daripada program tersebut.  Sehingga kini, empower ECER sedang dilaksanakan di 27 lokasi di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing, Johor. Sejak pelancarannya di Bentong, Pahang pada 2010, program ini telah diperluaskan ke 11 kawasan di negeri ini, termasuklah di Cameron Highlands, Jerantut, Lipis, Maran, Pekan, Raub, Rompin, Temerloh, Kuantan dan Bera.

Melalui Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER, lebih daripada 6,800 peserta di Pahang telah diberi peluang untuk mempelajari dan meningkatkan kemahiran masing-masing dan memulakan perniagaan mereka sendiri.  Di Sabai, kursus-kursus yang ditawarkan termasuklah jahitan dan rekaan fesyen, pembuatan kek dan pastri, fotografi, mekap dan spa, penghasilan kalungan bunga, dan juga gubahan bunga.  Majoriti peserta adalah dari golongan wanita, dengan beberapa program direka khusus untuk mereka seperti Pesta Ponggal empower ECER, “Selembut Sutera, Sekeras Besi”, “Women Who Lead Forum” oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia dan juga kem intensif (boot camp) oleh Persatuan Prihatin Ratu Cantik India Malaysia (Miss Malaysia Indian Care Association) bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan keyakinan para peserta.

Di samping itu, lebih 20,000 pelajar yang kebanyakannya datang dari keluarga miskin di kawasan pedalaman Pahang turut diberikan tuisyen percuma dan kelas motivasi melalui program Latihan Akademik empower ECER. Ramai di kalangan mereka telah mencatatkan keputusan akademik yang lebih baik, sekaligus menjanjikan masa hadapan yang lebih cerah untuk para belia tersebut yang kini berupaya melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain daripada empower ECER, ECERDC turut melaksanakan program-program pembangunan modal insan dan pembasmian kemiskinan yang lain seperti entrepreneur ECER, Program Peningkatan Bakat ECER (ETEP) dan Agropolitan untuk membantu kumpulan B40.  Secara keseluruhannya, lebih 175,000 Rakyat dari negeri Pahang telah mendapat manfaat daripada program-program berkenaan. Kumpulan berpendapatan B40 merangkumi 93% daripada jumlah peserta keseluruhan di negeri tersebut, dan mereka kini telah berjaya meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka melalui kemahiran dan peluang-peluang keusahawanan yang diperolehi.

 

– TAMAT –