INFRASTRUKTUR STRATEGIK DAN PROJEK BERIMPAK TINGGI, PACU PERTUMBUHAN ECER DALAM RANCANGAN MALAYSIA KE-12 Pelaburan komited bernilai RM8.8 bilion direalisasikan pada tahun 2019, mewujudkan lebih daripada 3,750 peluang pekerjaan untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 20 NOVEMBER 2019: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menyaksikan pertumbuhan sosioekonomi yang memberangsangkan hasil daripada usaha Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan projek-projek dan program berimpak tinggi dan berfokuskan rakyat di Wilayah ini menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

 

Projek-projek dan program-program ini adalah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV 2030) yang bermatlamat untuk membolehkan pertumbuhan yang saksama, inklusif dan mampan di seluruh Malaysia. ECER kini dalam fasa pertumbuhan seterusnya dengan pelaksanaan Pelan Induk ECER 2.0 (2018 – 2025), yang bertujuan untuk mentransformasi Wilayah ini menjadi ekonomi yang dipacu oleh produktiviti dan bernilai tambah tinggi menjelang tahun 2025 melalui penerapan Industri 4.0 sebagai tonggak utama. Inisiatif ini juga adalah konsisten dengan Rancangan Malaysia ke-12 yang berasaskan tonggak pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar dan kejuruteraan semula sosial (social re-engineering).

 

“Penciptaan peluang pekerjaan dan keusahawanan di ECER pada tahun 2019 adalah hasil daripada pelaksanaan projek dan program sosioekonomi yang inklusif. Kami akan terus mempertingkatkan pelaksanaan projek dan program berimpak tinggi untuk membawa ECER ke fasa pertumbuhan yang seterusnya,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas mesyuarat Majlis ECERDC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad. Ahli-ahli Majlis lain yang hadir di mesyuarat tersebut termasuk Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Binti Wan Ismail, Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Bin Ali serta Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

 

PELABURAN SWASTA

 

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran pada tahun 2019, ECER mengekalkan momentum yang baik dalam menarik pelaburan ke arah mencapai sasaran kumulatif ECERDC iaitu sebanyak RM70 bilion. Sepanjang tahun ini, ECERDC memperoleh pelaburan komited bernilai RM7 bilion menerusi 36 projek baharu yang akan mewujudkan lebih daripada 5,700 peluang pekerjaan. Daripada jumlah ini, sebanyak RM4.3 bilion akan direalisasikan dengan taman-taman perindustrian ECER sedia ada, yang sebahagian besarnya tertumpu di kawasan yang mempunyai infrastruktur dan utiliti bersepadu. Pelaburan langsung asing merangkumi 73% daripada pelaburan komited; dengan Pembuatan sebagai sektor dominan yang terdiri daripada 39% projek baharu, diikuti dengan Pelancongan dan Perniagaan Tani masing-masing pada 25%.

 

Berdasarkan komitmen pelaburan terdahulu, jumlah nilai pelaburan yang direalisasikan pada 2019 ialah RM8.8 bilion daripada 72 projek, melepasi sasaran ECERDC pada 2019 sebanyak RM7 bilion. Sektor Pembuatan dan Pelancongan masing-masing mencatatkan 60% dan 21%. Pelaburan ini akan mewujudkan lebih daripada 3,750 peluang pekerjaan untuk Rakyat.

 

PEMBANGUNAN MODAL INSAN

 

Dalam usaha untuk merapatkan jurang bandar-luar bandar, meningkatkan pendapatan isi rumah B40, serta menangani keperluan kelompok pekerja berkemahiran dan usahawan yang mampan di rantau ini, ECERDC akan terus melaksanakan program pembangunan modal insannya.

 

Sehingga kini, lebih 100,000 penduduk tempatan telah menyertai pelbagai program pembangunan modal insan ECERDC. Hampir 95% daripada mereka adalah dari komuniti B40, yang mana 70% adalah golongan belia dan 70% adalah peserta wanita. Ini mencerminkan pendekatan ECERDC yang bersifat inklusif untuk memperkasakan rakyat. Program ini termasuk program-program pengayaan akademik, program peningkatan kemahiran yang dipacu oleh industri untuk golongan belia menganggur, serta kursus latihan kemahiran komprehensif bagi memperkasakan komuniti B40, termasuk orang kurang upaya dan Orang Asli.

 

Melihat kepada impak tersebut, program-program pembangunan modal insan seperti empower ECER, entrepreneur ECER dan Program Peningkatan Graduan ECER (ECER Talent Enhancement Programme – ETEP) akan terus diutamakan dalam EMP2.0.

 

PERNIAGAAN TANI

 

Model perniagaan Syarikat Induk yang membentuk dasar projek-projek perniagaan tani ECERDC telah membuktikan kejayaan kerjasama awam-swasta dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat pedalaman dan komuniti Orang Asli. Pelaburan swasta sebanyak RM156.2 juta telah direalisasikan dengan 640 peluang pekerjaan dan 210 Usahawan Tani dilahirkan di tiga subsektor utama iaitu ternakan, tanaman dan perikanan, sekaligus meningkatkan pengeluaran hasil tani untuk kegunaan tempatan dan eksport.

 

Strategi utama untuk kluster Perniagaan Tani ECER dalam Rancangan Malaysia ke-12 (12MP) ialah penyatuan ladang-ladang kecil di Wilayah ini. ECERDC akan memudahcara penyediaan infrastruktur asas manakala syarikat induk yang berkelayakan akan membawa pelaburan dalam teknologi dan kemahiran yang akan memberi manfaat kepada hampir 6,000 petani.

 

“MEWUJUDKAN” DESTINASI-DESTINASI PELANCONGAN

 

Tahun 2019 telah menyaksikan “pewujudan” destinasi-destinasi pelancongan baharu di Wilayah ECER. Jambatan Angkat Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) yang tersergam megah merupakan mercu tanda yang telah memenangi pelbagai anugerah, menjadikannya ikon yang mesti dilawati di Pantai Timur. Destinasi-destinasi pelancongan baharu lain termasuk Menara Teruntum setinggi 180m yang menyajikan pemandangan mengagumkan di sekitar bandar dan pesisiran pantai Kuantan, Pusat Penemuan Hutan Hujan (Rainforest Discovery Centre) interaktif di Taman Negeri Endau-Rompin yang akan menambah baik pengalaman ekopelancongan untuk pengunjung, serta Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS) yang merupakan destinasi menarik bagi pelancong berdasarkan kedudukan geografinya di Semenanjung Malaysia. Kesemua destinasi ini akan memberi manfaat kepada perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan sekitarnya.

 

Bagi Rancangan Malaysia ke-12, sektor pelancongan ECER akan terus menumpukan kepada “pewujudan” destinasi untuk ekopelancongan, pelancongan pulau, seni, budaya dan warisan, serta pelancongan bandar dan pesisiran pantai, disokong oleh pembangunan fizikal, insentif tersuai (customised incentives) dan program-program pembangunan modal insan. Strategi pelancongan ECERDC akan menumpu kepada pembangunan yang seimbang dan pertumbuhan inklusif sambil memelihara aset semula jadi dan budaya Wilayah.

 

LONJAKAN SETERUSNYA

 

Ekosistem bersepadu pelaburan awam-swasta, projek infrastruktur strategik dan program pembangunan modal insan telah memacu pertumbuhan pesat ECER setakat ini. Bagi mengekalkan momentum ini untuk fasa lonjakan seterusnya di bawah EMP2.0, ECERDC akan terus melaksanakan projek-projek berimpak yang tinggi di bawah Rancangan Malaysia ke-12, dengan tumpuan khusus ke atas projek infrastruktur strategik untuk menarik pelaburan swasta ke sektor pembuatan, pertanian dan pelancongan. Pelaksanaan program pembangunan modal insan juga akan menjadi kunci untuk membolehkan pertumbuhan yang saksama dan mampan di Wilayah ini.

 

“Antara tahun 2010 hingga 2019, program-program kerajaan berteraskan Rakyat yang dilaksanakan menerusi ECERDC telah memberi manfaat kepada 67,400 pelajar, melahirkan 28,300 usahawan baharu serta mewujudkan 52,200 peluang pekerjaan di ECER. Hasilnya, Rakyat kini dapat menikmati tahap pendapatan yang lebih tinggi dan mengurangkan penghijrahan keluar penduduk ECER dengan ketara. Projek-projek dan program-program yang digariskan dalam EMP2.0 akan terus mengubah landskap ekonomi Wilayah ini bagi menarik pelaburan swasta yang berkualiti, mewujudkan usahawan yang berdaya saing dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi. Ini akan membolehkan Rakyat menjadi sebahagian dan menyumbang kepada pertumbuhan dan transformasi sosioekonomi ECER yang mampan, sejajar dengan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” tambah Encik Baidzawi.

 

 

-TAMAT-

 

Bahagian Hal Ehwal Korporat

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)

 

20 November 2019