KERAJAAN LAKSANA PROJEK DAN PROGRAM BERIMPAK TINGGI UNTUK TRANSFORMASI ECER
Projek-projek InfraRakyat dan Pembangunan Modal Insan Berjaya Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat

PEKAN, 22 APRIL 2017:  Kerajaan terus meningkatkan usaha untuk memacu penyampaian projek-projek berimpak tinggi dan berteraskan rakyat, atau projek-projek “InfraRakyat”, di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), melalui program-program pembangunan modal insan bersifat inklusif dan holistik yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Ianya merupakan sebahagian daripada strategi Kerajaan untuk merancakkan transformasi sosioekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan Rakyat, terutamanya golongan isi rumah kategori B40 di kawasan-kawasan luar bandar di Wilayah ECER.

Awal hari ini, Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak menyaksikan penyerahan Loji Rawatan Air Ganchong (LRA Ganchong) oleh pihak ECERDC kepada Kerajaan Negeri Pahang sewaktu lawatan kerja beliau ke loji rawatan air tersebut dan juga ke Pekan, untuk melihat sendiri kemajuan sosioekonomi di daerah tersebut dan untuk beramah-mesra dengan rakyat di Pekan.

Loji Rawatan Air Ganchong merupakan antara projek InfraRakyat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dengan peruntukan sebanyak RM255.1 juta, bagi memastikan bekalan air terawat yang berterusan demi manfaat lebih daripada 80,000 orang termasuk pengguna domestik, pengusaha perniagaan dan pelabur di Pekan dan kawasan sekitarnya. Loji tersebut mampu membekalkan 80 juta liter air terawat setiap hari, yang mencukupi untuk memenuhi peningkatan permintaan air di daerah tersebut untuk 10 tahun akan datang.

“Loji Rawatan Air Ganchong ini adalah salah satu projek InfraRakyat di bawah Agenda Transformasi Nasional Kerajaan untuk menyampaikan transformasi sosioekonomi dan membawa perubahan yang bermakna dalam kehidupan Rakyat. Loji ini akan memenuhi permintaan semasa bagi air terawat yang bersih, serta berperanan sebagai pemangkin bagi menarik lebih banyak pelaburan dan pembangunan, sekaligus memberi manfaat kepada Rakyat melalui peningkatan peluang-peluang ekonomi dan taraf hidup mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Dengan adanya bekalan air yang lebih terjamin, keyakinan para pelabur tempatan dan luar negara dijangka akan meningkat dan ini juga dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Pahang, terutamanya di kawasan-kawasan komersial dan perindustrian di Pekan-Peramu termasuk Taman Automotif Pekan. Turut dalam perancangan ialah peningkatan kapasiti pengeluaran loji ini kepada 160 juta liter sehari bagi memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat serta perniagaan dan perkembangan di Tanjung Agas serta daerah Nenasi,” tambahnya.

Sewaktu lawatan kerja tersebut, Perdana Menteri telah diiringi oleh YABhg. Datin Seri Rosmah Mansor serta ADUN Pulau Manis, YB Dato’ Khairuddin Bin Mahmud.

Pembinaan Loji Rawatan Air Ganchong telah bermula pada Mac 2014 dan projek tersebut berjaya disiapkan pada Mac 2017 mengikut bajet dan jadual ditetapkan, yang membuktikan kecekapan dan keberkesanan penyampaian projek-projek berimpak tinggi Kerajaan untuk Rakyat di Wilayah ECER.

Di samping projek-projek infrastruktur, inisiatif pembangunan modal insan ECERDC juga turut memastikan agar Rakyat terutamanya dari golongan B40 terus menjadi sebahagian daripada transformasi di ECER. Sehingga kini, lebih 175,000 isi rumah di Pahang telah mendapat manfaat daripada penyertaan mereka dalam program-program pembangunan modal insan dan pembasmian kemiskinan ECERDC yang inklusif dan holistik. Daripada jumlah tersebut, 97% peserta adalah daripada kumpulan B40, termasuklah kira-kira 15,000 penerima Orang Asli.

Menerusi program-program ECERDC seperti empower ECER, entrepreneur ECER dan Agropolitan Pekan, peserta-peserta dewasa telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka melalui bidang keusahawanan atau peluang pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih tinggi, serta memberikan kehidupan yang lebih baik untuk keluarga masing-masing.  Sementara itu, para pelajar dari keluarga miskin di kawasan luar bandar juga telah menunjukkan peningkatan ketara dalam keputusan akademik mereka.

Pada majlis yang sama, Dato’ Sri Najib Tun Razak turut menyerahkan sijil penyertaan program kepada 79 peserta projek Agropolitan Pekan Batu 8, Lepar sebagai tanda pengiktirafan terhadap usaha dan kerja keras mereka sepanjang tempoh enam tahun penyertaan dalam inisiatif pembasmian kemiskinan tersebut. Program Agropolitan berteraskan aktiviti berkaitan pertanian, di mana para peserta yang terpilih daripada golongan B40 diberi penempata semula dan diberi pekerjaan dalam industri tanaman kelapa sawit dan ternakan biri-biri.

Di samping itu juga, seramai 15 pelajar yang menyertai program Latihan Akademik empower ECER turut menerima pengiktirafan daripada Perdana Menteri atas kejayaan mereka dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini. Seramai 10 peserta dewasa bagi program Latihan Kemahiran empower ECER di Pekan juga turut menerima bantuan peralatan dan kelengkapan perniagaan yang disediakan oleh Program TERAJU@ECER untuk menggalakkan perkembangan perniagaan mereka.

Sementara itu, upacara penyerahan surat watikah kepada 26 peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Permatang Besar di bawah fasa pertama turut berlangsung pada majlis yang sama hari ini. Peserta-peserta tersebut terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah, di mana mereka telah diberi 1.6 hektar tanah di bawah pengurusan FELCRA Berhad untuk diusahakan. Di samping itu, mereka juga akan turut menerima dividen sehingga tiga kali setahun sebagai pendapatan tambahan yang akan membantu meningkatkan lagi tahap pendapatan mereka.

Wilayah ECER telah mencatatkan pertumbuhan ketara sejak beberapa tahun lalu, di mana ia berjaya menarik sejumlah RM101.4 bilion pelaburan swasta melalui usaha-usaha  ECERDC. Pelaburan-pelaburan tersebut telah mewujudkan lebih 140,000 peluang pekerjaan untuk Rakyat di kawasan bandar dan luar bandar. Daripada jumlah keseluruhan pelaburan tersebut, lebih separuh daripadanya adalah di Pahang dengan nilai RM56.4 billion sehingga kini. Hasilnya, lebih 52,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan untuk warga tempatan di negeri berkenaan.

Pertumbuhan pelaburan akan dipertingkatkan lagi dengan pelaksanaan pelbagai projek InfraRakyat di Wilayah tersebut, termasuklah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 600 km. ECRL akan memudahkan lagi pergerakan barangan dan orang ramai serta menggalakkan pembangunan baharu di kawasan-kawasan bandar dan luar bandar di Wilayah ECER. Ia akan merentasi pusat-pusat pertumbuhan utama di Pahang, termasuklah Bentong, Mentakab, Maran, Gambang, Kuantan Sentral, Pelabuhan Klang dan Cherating.

Satu lagi projek InfraRakyat berimpak-tinggi yang dilaksanakan oleh Kerajaan di negeri ini ialah Pelabuhan Kuantan yang kini sedang diperluaskan untuk menjadi sebuah pelabuhan laut dalam. Apabila siap kelak menjelang tahun 2018, pelabuhan tersebut akan berupaya menampung kapal-kapal besar sehingga 200,000 tan berat muatan (DWT) dan mengendalikan 52 juta tan muatan kargo pukal dan kontena, sekaligus mengukuhkan kedudukan Wilayah tersebut sebagai “Gerbang ke Asia Pasifik”.