KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF ECERDC TERIMA PENGIKTIRAFAN TERTINGGI UNIVERSITI SWANSEA

SWANSEA, UNITED KINGDOM, 21 JULAI 2016: Universiti Swansea, sebuah universiti berasaskan penyelidikan yang terkemuka di United Kingdom, telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang (LLD) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Anugerah Kehormat ini merupakan penghormatan tertinggi yang dikurniakan oleh Universiti Swansea kepada tokoh terkemuka dari seluruh dunia yang cemerlang  dalam bidang mereka termasuk bidang seni, sastera, sains dan perkhidmatan awam.

Datuk Seri Issace yang merupakan alumni Universiti Swansea telah menerima ijazah kehormat tersebut daripada Profesor Richard B. Davies, Naib Canselor Universiti Swansea di Majlis Konvokesyen Kolej Kejuruteraan yang diadakan di Dewan Besar Universiti  di Kampus Bay (Bay Campus).

“Jarang sekali kita dapat melihat seseorang menunjukkan dedikasi dalam bidang yang mereka ceburi daripada peringkat awal kerjaya mereka. Perkembangan kerjaya Datuk Seri Issace menunjukkan bahawa beliau memiliki visi dan semangat yang jitu daripada peringkat awal kerjayanya, untuk membantu membangunkan dan mempertingkatkan taraf hidup masyarakat sekelilingnya sejak dari peringkat mahasiswa dan kemudiannya di sepanjang perjalanan kerjaya beliau.

“Beliau memainkan peranan utama dalam melaksanakan dasar-dasar yang telah berjaya memajukan dan menambah baik prasarana, dan seterusnya meningkatkan ekonomi Malaysia terutamanya dalam peranan sekarang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

“Beliau merupakan salah seorang alumni Universiti Swansea yang terkemuka dan atas usaha beliau, telah terjalin kerjasama di antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Swansea, yang akan membantu Universiti Swansea membina hubungan yang kukuh dengan pihak industri, dan juga negara Malaysia,” kata Profesor Iwan Davies, Pro Naib Canselor Kanan Universiti Swansea semasa memperkenalkan Datuk Seri Issace sebagai penerima ijazah kehormat.

Datuk Seri Issace berkata anugerah yang diterima dari Universiti Swansea merupakan pengiktirafan bukan sahaja untuk beliau tetapi atas usaha gigih rakan-rakan sekerja sepanjang kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam, terutamanya kakitangan ECERDC.

“Saya berbangga kerana telah diberi peluang oleh Kerajaan Malaysia untuk menyumbang kepada program transformasi negara. Pengalaman dan pengetahuan yang saya perolehi sepanjang pengajian saya di Universiti Swansea telah mempengaruhi cara saya memimpin dan menguruskan ECERDC, sebuah organisasi yang bertanggungjawab mengubah tahap sosioekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur,” kata Datuk Seri Issace yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (M.Sc.) dalam Ekonomi Pembangunan dari Universiti Swansea yang dikenali sebagai University of Wales, Swansea pada tahun 1984.

“Saya berharap untuk memperkukuh dan memudahkan lagi perkongsian kerja dan kerjasama penyelidikan antara Universiti Swansea dan industri yang ada di ECER. Kekuatan Universiti Swansea dalam penyelidikan dan pembangunan serta kepakaran dalam bidang Kejuruteraan dan Sains akan mengukuhkan lagi usaha untuk menarik pelaburan baru dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di rantau ini,” tambah beliau lagi.

Datuk Seri Issace memainkan peranan penting dalam memudahcara kerjasama antara UMP dan Universiti Swansea, dan membuka jalan bagi kerjasama industri-akademia di ECER, di samping menggalakkan perkongsian kerja antara kedua-dua universiti dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Tahun lepas, kedua-dua universiti telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang disaksikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan akademik termasuk pemindahan pengetahuan dan pembangunan produk untuk tujuan komersil, memudahkan kemasukan kedalam kursus dan program kedua-dua universiti termasuklan pertukaran staf dan pelajar.

ECERDC yang telah ditubuhkan pada tahun 2007, di bawah kepimpinan Datuk Seri Issace, telah memacu transformasi sosioekonomi ECER sebagai destinasi pelaburan pilihan, menarik pelaburan antarabangsa dan domestik bernilai RM89.7 bilion, yang seterusnya berjaya menghasilkan lebih 133,000 peluang pekerjaan dan melahirkan 14,240 orang usahawan di seluruh kawasan bandar dan luar bandar di Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor. Beliau juga memainkan peranan penting dalam kejayaan pelaksanaan projek-projek pembangunan modal insan ECER serta inisiatif pembangunan keusahawanan yang telah membantu mentransformasi hidup lebih 60,0000 orang Rakyat dan menyediakan tenaga kerja tempatan untuk memenuhi keperluan dan kehendak industri baru.

Sebelum menerajui ECERDC, Datuk Seri Issace telah berkhidmat dalam bidang perkhidmatan awam selama 38 tahun, di peringkat Persekutuan dan juga Negeri. Antara lain, beliau memainkan peranan dalam projek  berimpak tinggi seperti Pelan Pembangunan Lembah Klang, Pelan Pembangunan Langkawi dan Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kedah. Datuk Seri Issace juga merupakan salah seorang daripada pegawai utama yang terlibat dalam merancang dan membangunkan Putrajaya, pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia semasa beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri dan Perbadanan Putrajaya selama 12 tahun. Datuk Seri Issace seterusnya menjawat jawatan Pengurus Besar Projek Khas di Bahagian Perancangan dan Pembangunan Korporat di PETRONAS, di mana beliau mengetuai projek penyediaan Pelan Induk ECER dan seterusnya membawa kepada pelancaran ECER.