LEBIH 3,300 PEKERJAAN DITAWARKAN DI KARNIVAL KERJAYA DAN KEUSAHAWANAN KELANTAN
ECERDC lancar karnival dua hari di Kota Bharu dengan pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung

KOTA BHARU, KELANTAN, 3 OKTOBER 2017: Rakyat di Kelantan serta seluruh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), terutamanya mereka yang sedang mencari pekerjaan dijemput untuk menghadiri “Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Kelantan 2017”, yang dianjurkan selama dua hari oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan.

Karnival kerjaya yang turut dipenuhi dengan aktiviti menarik untuk para pengunjung seisi keluarga akan berlangsung dari 5 hingga 6 Oktober 2017 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Bandar Baru Tunjong, dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Acara tersebut akan dilancarkan secara rasmi oleh YB Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Program ini akan menyaksikan penyertaan lebih 40 syarikat tempatan dan antarabangsa dari serata ECER, yang menawarkan lebih daripada 3,300 pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, hartanah, makanan dan logistik untuk para graduan dan lain-lain pengunjung yang mencari pekerjaan. Antara syarikat pelabur yang mengambil bahagian termasuklah Alliance Steel (M) Sdn. Bhd., pelabur terbesar di Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP), ROHM-Wako Electronics Sdn. Bhd., pengeluar semikonduktor terulung di Jepun dan pelabur asing terbesar di Kelantan, serta pelabur-pelabur tempatan di ECER seperti Tok Bali Supply Base Sdn. Bhd., Tean Siong Sdn. Bhd. dan HHA Associates Sdn. Bhd. Di samping itu, lebih daripada 39 syarikat Bumiputera di bawah program TERAJU@ECER, termasuk 32 syarikat dari Kelantan, akan turut mengambil bahagian dalam karnival kerjaya tersebut untuk menawarkan pekerjaan kepada Rakyat.

“Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Kelantan merupakan bukti kejayaan Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC dan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Kerajaan Negeri Kelantan serta pelabur-pelabur swasta dalam memacu transformasi sosioekonomi di Kelantan melalui projek-projek dan program-program berimpak tinggi, yang telah membawa limpahan manfaat yang ketara untuk rakyat khususnya dari segi peningkatan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan. Kami dengan ini menjemput semua yang sedang mencari pekerjaan dan keluarga mereka untuk datang beramai-ramai di sepanjang acara dua hari ini dan meneroka sendiri pelbagai peluang yang ditawarkan,” kata YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Selain daripada karnival kerjaya, banyak aktiviti menarik telah disusun untuk seisi keluarga seperti permainan interaktif, sesi perkongsian dan bengkel. Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang menarik. Untuk menambahkan lagi keseronokan, terdapat juga pertandingan melukis dan istana belon untuk kanak-kanak, serta sesi beramah-mesra dengan renjer THR Gegar dan Manis FM yang akan mengedarkan hadiah dan beg cenderamata pada kedua-dua hari tersebut.

Sementara itu, lebih daripada 100 peserta program-program pembangunan modal insan ECERDC, termasuk empower ECER dan entrepreneur ECER, juga akan mempamerkan produk-produk dan servis yang mereka di ruang pameran masing-masing. Pengunjung sekeluarga juga boleh mengambil bahagian dalam demonstrasi solekan dan masakan, serta sesi fotografi percuma yang ditawarkan oleh para usahawan yang mengambil bahagian di karnival tersebut.

Turut diadakan ialah sesi taklimat oleh Maybank and Agrobank, dua rakan strategik ECERDC bagi program entrepreneur ECER selain SIRIM, di mana wakil daripada bank-bank tersebut akan berkongsi maklumat mengenai pembiayaan dan program-program pembangunan yang tersedia untuk syarikat-syarikat tempatan yang berhasrat untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat seterusnya.

Penganjuran Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Kelantan ini turut disokong oleh rakan-rakan strategik ECERDC yang lain termasuklah SIRIM Berhad, Maybank, Agrobank, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM), serta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jobs Malaysia.

Masuk adalah percuma.

– TAMAT –