MERSING SEDIA UNTUK JADI DESTINASI PELANCONGAN SERANTAU UTAMA
Kompleks PKS dan Kraftangan Baharu untuk Usahawan Tempatan Siap Menjelang September

ISKANDAR PUTERI, JOHOR, 13 JUN 2017: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Johor sedang bekerjasama untuk melaksanakan beberapa inisiatif strategik bagi mengukuhkan lagi kedudukan Mersing sebagai sebuah destinasi pelancongan serantau, dengan matlamat untuk mewujudkan limpahan positif terhadap sosioekonomi tempatan.

Sejajar dengan agenda tersebut, Kompleks Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Kraftangan Mersing dijangka akan dilancarkan pada September tahun ini. Kompleks tersebut akan menempatkan lebih daripada 50 unit lot kedai dan kios yang menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman tempatan serta kraftangan yang unik.  Projek strategik ini juga dijangka akan menjana lebih 100 peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu di Mersing.  Keutamaan untuk ruang perniagaan di kompleks tersebut akan diberi kepada peniaga dan  usahawan daripada komuniti B40, terutamanya mereka yang telah menerima manfaat daripada program-program latihan keusahawanan yang dianjurkan oleh ECERDC, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Kompleks bersepadu tersebut juga bakal mempunyai dua penyewa utama (anchor tenant) yang terkenal dan turut menyediakan kemudahan asas untuk orang ramai seperti lot parkir, kaunter informasi, dewan pameran, surau, taman permainan kanak-kanak dan lain-lain yang akan membantu menjadikan kompleks tersebut sebagai pusat sehenti untuk warga tempatan dan pelancong. Ini sekaligus akan mengukuh dan menyokong sektor pelancongan Mersing, serta meningkatkan peluang-peluang ekonomi untuk Rakyat tempatan.

“Pembangunan Kompleks PKS dan Kraftangan ini merupakan sebahagian daripada strategi kami untuk melonjakkan Mersing dan pulau-pulau di sekitarnya sebagai destinasi pelancongan utama di sini, di samping menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk komuniti tempatan. Ini adalah seiring dengan Agenda Transformasi Nasional untuk membangunkan program-program sosioekonomi yang berpaksikan rakyat dan bersifat inklusif,” kata  Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Johor yang telah dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin di pejabat beliau di Kota Iskandar.

Selain daripada itu, pembinaan Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI), sebuah pusat informasi sehenti di Pulau Besar dijangka akan bermula pada bulan Julai tahun ini. Dari segi pembangunan infrastruktur, pembinaan penambahbaikan di tiga daripada lima pulau, iaitu Pulau Sibu, Pulau Aur dan Pulau Tinggi telah pun siap, sekaligus memberikan  akses yang lebih baik serta kemudahan kepada para pelancong untuk mengunjungi pulau-pulau tersebut, manakala pelantikan kontraktor bagi kerja-kerja pembinaan sebuah jeti baharu di Pulau Pemanggil kini sedang dilaksanakan.

Sementara itu, kedudukan Mersing sebagai sebuah hab pengeluaran perikanan akan diperkukuhkan dengan pembangunan Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing.  Pembinaan bagi projek tersebut, yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dijangka dimulakan pada penghujung tahun 2017. Ia akan dilengkapi dengan infrastruktur  yang diperlukan serta perkhidmatan-perkhidmatan sokongan seperti bilik sejuk, kilang ais, fasiliti kilang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan bot-bot nelayan.

Di samping memastikan bekalan bahan mentah yang konsisten untuk PKS, taman tersebut juga bakal meningkatkan kualiti produk berdasarkan piawaian keselamatan makanan dan daya jejak (traceability) antarabangsa, yang pastinya akan meningkatkan prospek bagi produk-produk berasaskan ikan yang dieksport dari Mersing.

Apabila siap kelak, Taman tersebut akan diuruskan di bawah Model Pengurusan Taman PKS bagi mengurangkan kos kemasukan untuk PKS, dan projek ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 3,000 rakyat yang terlibat dalam industri perikanan di Mersing.

Dari segi pembangunan modal insan, lebih 2,680 warga Mersing telah menyertai dan mendapat manfaat daripada program-program pembangunan modal insan ECERDC, termasuk 1,800 pelajar di bawah program Latihan Akademik empower ECER, 600 individu di bawah program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER, dan lebih 280 penduduk tempatan di bawah program entrepreneur ECER. Kira-kira 97% daripada keseluruhan peserta adalah daripada kategori B40.

“Program-program pembangunan modal insan ECERDC di Mersing yang bersifat holistik dan inklusif setakat ini telah berjaya mewujudkan 714 usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana, yang seterusnya telah menyediakan 1,085 pekerjaan kepada penduduk.  Program-program ini telah berjaya membawa impak positif, membangunkan bakat tempatan dan mewujudkan budaya keusahawanan yang akan menyumbang ke arah peningkatan kualiti hidup komuniti tempatan di Mersing, seiring dengan pertumbuhan yang dialami di seluruh ECER,” jelas Datuk Seri Issace.

 

-TAMAT-