PELABUR DARI CHINA LAWAT TAMAN INDUSTRI KUANTAN MALAYSIA-CHINA (MCKIP) DAN PELABUHAN KUANTAN
Kerja penanaman cerucuk kilang keluli moden bersepadu Alliance Steel bernilai RM5.6 bilion dimulakan

KUANTAN, 1 Jun 2016: Naib Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, TYT Zhang Xiaoqin, hari ini mengetuai delegasi pelabur dari negara China melawat Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Pelabuhan Kuantan bagi meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala antara kedua-dua buah negara terutamanya menerusi Kuantan dan Guangxi. Lawatan tersebut dianjurkan sebagai sebahagian daripada acara Persidangan Promosi Pelaburan Ke-2 untuk “Dua Negara, Dua Taman” Malaysia-China yang berlangsung selama 2 hari.

Semasa lawatan ke MCKIP dan Pelabuhan Kuantan, TYT Zhang Xiaoqin telah mengumumkan permulaan kerja-kerja menanam cerucuk untuk kilang keluli moden bersepadu Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. (Alliance Steel) yang telah mendapat kelulusan untuk melabur sebanyak RM5.6 bilion (USD1.4 bilion) bagi membina kilangnya dan sekaligus merupakan antara pelabur tunggal terbesar di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Kerja menanam cerucuk kilang Alliance Steel dijadualkan bermula minggu ini dan dijangka selesai dalam masa 120 hari. Kilang keluli ini dijangka beroperasi pada penghujung tahun 2017 dan menyediakan lebih 3,500 peluang pekerjaan.

“China merupakan rakan dagang dan pelabur yang rapat di ECER. Peningkatan jumlah pelaburan telah merangsang lebih banyak projek infrastruktur seperti pembinaan taman-taman perindustrian, jalan raya dan landasan kereta api. Kesan limpahan daripada pelaburan ini membawa manfaat sosioekonomi, terutamanya dari segi peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada masyarakat tempatan,” kata YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

“Pembinaan, pembangunan serta peluasan MCKIP yang sedang dijalankan adalah langkah penting kerana ia mengukuhkan lagi keyakinan para pelabur terhadap ECER sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik,” tambah beliau.

TYT Zhang Xiaoqin dan YBhg. Datuk Seri Issace turut disertai lebih 300 orang delegasi dari negara China dan Malaysia dalam lawatan ke MCKIP dan Pelabuhan Kuantan untuk meneroka peluang perniagaan dan kerjasama di wilayah ECER yang sedang pesat membangun.

Semasa lawatan tersebut, pegawai kanan kerajaan, tokoh korporat serta pelabur utama termasuk TYT Zhang Xiaoqin,YBhg. Datuk Seri Issace, YH Dato’ Suhaimi Bin Mohd Yunus, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) dan Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang; YBhg. Dato’ Soam Heng Choon, Pengerusi MCKIP Sdn. Bhd. dan Ketua Pegawai Eksekutif IJM Corporation Berhad; Encik Wei Ran, Naib Setiausaha Agung, Kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang; dan Encik Guan Yueqing, Ketua Pengarah, Suruhanjaya Pengawasan dan Pentadbiran Aset Milik Negeri, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, turut mengambil bahagian dalam upacara menanam pokok di Monumen MCKIP. Mereka telah bersama-sama menanam pokok Khaya, atau lebih dikenali sebagai Mahogani Afrika, sejenis tumbuhan yang cepat membesar bagi melambangkan prospek kerjasama dan pertumbuhan yang berkekalan antara pelabur kedua-dua buah negara.

Semalam, MCKIP turut memeterai dua pelaburan baru bernilai RM1.58 bilion (USD395 juta). Dua pelabur baru ini adalah LJ Hightech Material Sdn. Bhd., yang akan melabur sebanyak RM1 bilion (USD250 juta) untuk membina sebuah pusat pengeluaran berteknologi tinggi bagi menghasilkan panel konkrit untuk industri pembinaan dan serbuk getah yang diaktifkan dan Guangxi Investment Group Co., Ltd., yang akan melabur sebanyak RM580 juta (USD145 juta) untuk membina kilang pengeluaran komponen aluminium.

Kerja pembinaan untuk kedua-dua projek ini di MCKIP dijangka akan bermula secara berperingkat pada suku pertama 2017. Apabila siap kelak, projek ini dijangka akan menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat. Dengan usaha sama yang terbaru ini, jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk setakat ini meningkat kepada RM15.08 bilion (USD3.77 bilion).

“Sebagai taman perindustrian pertama di Malaysia yang diberi status ‘Taman Perindustrian Nasional’, MCKIP terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing dan sedang pesat membangun. Bagi memenuhi permintaan yang menggalakkan, kami dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa MCKIP akan meluaskan lagi kawasan taman perindustrian sebanyak 800 ekar. Dengan ini, keluasan kawasan kini telah meningkat kepada 3,060 ekar,” kata Datuk Seri Issace.

Selain itu, kemudahan-kemudahan infrastruktur di Pelabuhan Kuantan sedang dipertingkatkan bagi memperkukuhkan kedudukannya sebagai gerbang masuk utama ke negara ASEAN dan rantau Asia Pasifik.

Pelabuhan Kuantan kini sedang giat diperluaskan menjadi pelabuhan laut dalam yang berupaya mengendali 52 juta tan kargo dan menerima masuk kapal sehingga 200,000 tan berat muatan (DWT). Kerja-kerja peluasan pelabuhan terdiri daripada dua fasa di mana Fasa 1A melibatkan pembinaan lembangan sedalam 16 meter yang terdiri daripada ruang himpitan sepanjang 400 meter dan kawasan penerimaan kargo seluas 20 hektar yang dijangka siap pada bulan Ogos 2017. Manakala kerja pembinaan Fasa 1B dengan lembangan sedalam 16 meter, yang terdiri daripada ruang himpitan sepanjang 600 meter dan kawasan penerimaan kargo pukal kering seluas 25 hektar, dijangka siap pada bulan Ogos 2018.

“Kedudukan Kuantan yang strategik serta berhampiran dengan negara China menjadikannya sebagai pemangkin pertumbuhan utama untuk ECER. Bandar ini telah dikenal pasti untuk menjadi sebuah Bandar Pelabuhan yang terkemuka di Malaysia, sama seperti bandar Rotterdam di Belanda yang dikenali sebagai “Gateway to Europe”. Ini akan menarik lebih banyak aktiviti pelaburan dan perdagangan di Zon Ekonomi Khas ECER secara amnya dan MCKIP secara khususnya,” jelas Datuk Seri Issace.