PENCAPAIAN KUKUH ECER PADA TAHUN KESEPULUH PENUBUHAN
Sasaran pelaburan RM110 bilion menjelang 2020 berjaya dicapai tiga tahun lebih awal

KUALA LUMPUR, 10 JANUARI 2018: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) meraikan tahun kesepuluh penubuhannya dengan asas yang kukuh susulan pelaksanaan projek-projek dan program-program berimpak tinggi sejak sedekad yang lalu, demi memastikan Rakyat menerima manfaat daripada transformasi sosioekonomi berterusan di Wilayah tersebut.

Sehingga kini, transformasi ECER telah membawa impak positif kepada lebih 950,000 Rakyat atau 11% daripada jumlah keseluruhan penduduk Wilayah tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini termasuk ribuan Rakyat di kawasan bandar dan luar bandar yang kini menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik melalui lebih 154,500 peluang pekerjaan dan 27,000 peluang keusahawanan yang wujud, hasil daripada pelaburan swasta dan program-program pembangunan modal insan di ECER.

Sehingga penghujung tahun 2017, ECER telah berjaya menarik pelaburan swasta berjumlah  RM111.6 bilion, sekaligus menjangkaui sasaran pelaburannya sebanyak RM110 bilion menjelang 2020, tiga tahun lebih awal. Ini merupakan satu sumbangan signifikan terhadap Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) ECER dengan peningkatan sebanyak RM9.7 bilion atau bersamaan dengan 1.8% daripada kadar pertumbuhan 3.9% antara tahun 2007 dan 2016.

“Prestasi cemerlang ECER dalam transformasi sosioekonominya merupakan bukti kukuh terhadap penyampaian projek-projek Infrafrakyat berimpak tinggi oleh Kerajaan Persekutuan, projek-projek pelaburan swasta, serta program-program pembangunan modal insan yang inklusif yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri yang terlibat. Usaha-usaha ini telah merapatkan jurang sosioekonomi antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia, dan meningkatkan taraf hidup Rakyat melalui penjanaan kemakmuran dengan meningkatkan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Daripada jumlah keseluruhan pelaburan swasta di ECER, Pelaburan Langsung Domestik (DDI) telah muncul sebagai salah satu penyumbang utama terhadap pertumbuhan ekonomi dan sumber penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada Rakyat. Pelaburan-pelaburan tempatan, yang kebanyakannya didorong oleh usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menyumbang sebanyak 46% daripada jumlah keseluruhan pelaburan di ECER, sekaligus mengukuhkan peranan mereka sebagai nadi utama pertumbuhan sosio-ekonomi di Wilayah ini.

Pelaburan syarikat Bumiputera di bawah program TERAJU@ECER juga telah memberi sumbangan ketara iaitu sebanyak 14% daripada jumlah keseluruhan pelaburan swasta di ECER.  Pelaburan-pelaburan tersebut melibatkan 177 projek bernilai RM16.2 bilion di ECER yang telah mendapat manfaat daripada insentif cukai ECERDC atau Dana Mudahcara TERAJU@ECER, atau kedua-duanya. Daripada pelaburan tersebut, lebih 19,100 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan untuk Rakyat.

“Peningkatan dalam pelaburan langsung domestik jelas menunjukkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan inklusif di ECER, yang menjadi pemangkin terhadap usahawan-usahawan tempatan. Kini, para usahawan tempatan menerajui transformasi sosioekonomi dalam kelompok komuniti masing-masing dengan mewujudkan ekosistem untuk pekerjaan dan perniagaan, yang seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup Rakyat,” tambah Datuk Seri Issace.

Sektor perniagaan tani juga telah memainkan peranan penting dalam memacu transformasi sosioekonomi luar bandar di ECER. Projek-projek perkongsian awam-swasta seperti Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) telah menyumbang kepada bekalan tenusu negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap import susu. Sebuah Kilang Pemprosesan Tenusu di MSCRIC dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2018 dan akan meningkatkan lagi pengeluaran domestik. Di samping itu, projek Ladang Nanas Bersepadu Rompin (RIPP) telah mengeksport nanas jenis MD2 ke Jepun buat julung-julung kalinya, malah turut menjadikan Korea dan China sebagai pasaran eksport utamanya. Lebih penting lagi, kedua-dua projek tersebut telah membuka pelbagai peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada penduduk tempatan yang tinggal di kawasan pedalaman, termasuklah para petani dan masyarakat Orang Asli.

Di samping itu, program-program pembangunan modal insan ECERDC seperti empower ECER, entrepreneur ECER dan Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP) telah memberi manfaat kepada lebih daripada 461,000 penduduk secara langsung dan tidak langsung. Daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak 97% adalah dari golongan B40 terutamanya menerusi program empower ECER.

Program empower ECER menyasarkan golongan B40 dan Orang Asli serta belia di luar bandar. Program ini terdiri daripada program Latihan Akademik dan program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang telah memberi manfaat kepada 51,400 pelajar dan 14,500 peserta dewasa. Bagi memastikan lebih ramai Rakyat menerima manfaat daripada program empower ECER ini, ia akan diperluaskan lagi ke Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Puteh di Kelantan, menjadikan jumlahnya kepada 29 daerah secara keseluruhan. Di samping itu, program entrepreneur ECER yang dilaksanakan dengan kerjasama SIRIM, Maybank dan Agrobank, telah memberi manfaat kepada 6,450 usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk mengembangkan perniagaan masing-masing termasuk di pasaran antarabangsa.

“Kejayaan ECER sepanjang tempoh tersebut telah mewujudkan asas yang kukuh bagi membolehkan Wilayah ini melangkah ke fasa trasformasi sosioekonomi seterusnya, sejajar dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050. Dalam hal ini, ECER telah memulakan lonjakan seterusnya ke arah transformasi ekonomi berasaskan pengetahuan dan berteraskan produktiviti dengan mengambil kira keperluan Industri 4.0. Sehubungan itu, ECERDC, bersama-sama dengan Universiti Malaysia Pahang dan universiti tersohor dari Jerman, Technische Universitat Munchen (TUM), akan membangunkan Pusat Kompetensi ASEAN untuk Industri 4.0 di Taman Teknologi Pahang. Ini merupakan sebahagian daripada strategi negara untuk meningkatkan lagi kemahiran tenaga kerja tempatan, malah pada masa yang sama, memacu aktiviti berteraskan pengetahuan dan inovasi untuk industri. Selain itu juga, pihak kami akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk melaksanakan lebih banyak projek dan program berimpak tinggi, terutamanya dalam meningkatkan infrastruktur kesalinghubungan di Wilayah ini,” tambah Datuk Seri Issace.

Di samping itu, projek-projek InfraRakyat termasuklah Kompleks Serambi Teruntum di Pahang dan Mersing Harbour Centre di Mersing, Johor, telah menyediakan platform untuk para usahawan kecil dan sederhana di kawasan terbabit meningkatkan pendapatan masing-masing dengan menawarkan produk-produk dan perkhidmatan mereka kepada masyarakat tempatan dan pelancong.

Salah satu pencapaian penting untuk tahun 2018 ialah permulaan operasi Pelabuhan Kuantan sebagai sebuah pelabuhan laut dalam yang mampu menampung keperluan kapal-kapal yang lebih besar dan trafik yang lebih tinggi, sekaligus mengukuhkan kedudukan ECER sebagai Gerbang ke Rantau Asia Pasifik. Penyempurnaan projek peluasan Pelabuhan Kuantan di bawah Fasa 1A juga akan menggandakan kapasiti pelabuhan tersebut kepada 52 juta tan berat muatan (FWT). Hal ini akan berlaku serentak dengan permulaan operasi penuh kilang keluli bersepadu moden  milik Alliance Steel (M) Sdn. Bhd., yang merupakan salah satu pelaburan terbesar di Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Sementara itu, momentum pertumbuhan di seluruh ECER akan dirancakkan lagi dengan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Kerja-kerja pembinaan telah pun bermula di beberapa kawasan di sepanjang laluan ECRL, yang telah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk penduduk tempatan. Projek ini merupakan pengubah strategi atau ‘game-changer’ yang menghubungkan dua pelabuhan utama di Semenanjung Malaysia iaitu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan dengan kawasan-kawasan perindustrian utama serta hab-hab pelancongan, sambil menggalakkan pembangunan berteraskan transit di ECER. Sebagai nadi utama infrastruktur pengangkutan, peningkatan kesalinghubungan dan aktiviti-aktiviti ekonomi yang terhasil daripada projek ini dijangka akan meningkatkan lagi KDNK ECER sehingga sebanyak 1.5 peratus.