PERDANA MENTERI LANCAR AKUAPOLITAN KUALA NERUS
Program Pembangunan Bersepadu dan Mampan untuk Menaik Taraf dan Mengubah Kehidupan Komuniti Nelayan

KUALA TERENGGANU, TERENGGANU, 23 MEI 2016 YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, hari ini melancarkan Projek Akuapolitan Kuala Nerus, Terengganu, sebuah program bersepadu untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat nelayan.

Perdana Menteri diiringi oleh YAB Haji Ahmad Razif bin Abd Rahman, Menteri Besar Terengganu, ke majlis pelancaran yang diadakan sempena lawatan kerja beliau ke Terengganu.

Projek Akuapolitan, yang dibangunkan dengan kerjasama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Terengganu ini memiliki ciri-ciri seperti skim Felda, tetapi khusus untuk masyarakat nelayan. Projek ini akan dimulakan dengan penyertaan seramai 400 orang nelayan bersama keluarga mereka.

“Projek Akuapolitan boleh dianggap sebagai ‘Felda Laut’ (Sea Felda) satu skim yang mirip Felda tetapi disesuaikan untuk para nelayan. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk menaikkan taraf hidup masyarakat nelayan namun pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan bagi kedua-dua rantaian nilai perikanan dan bukan perikanan demi memastikan transformasi yang lebih berkesan,” kata Menteri Besar Terengganu YAB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman di majlis pelancaran projek Akuapolitan Kuala Nerus, di Seberang Takir, hari ini.

Projek ini akan mewujudkan sebuah ekosistem perikanan yang bersepadu dan mampan termasuklah pembinaan terminal perikanan, pusat pemprosesan ikan, pasar ikan segar dan restoran-restoran. Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat tempatan malah akan menarik minat pelaburan dalam sektor perikanan dan pelancongan, seterusnya memberikan lebih banyak peluang perniagaan, pekerjaan dan peningkatan kemahiran di kalangan masyarakat setempat.

Akuapolitan Kuala Nerus yang telah dilancarkan di sini dengan disaksikan oleh penduduk  dari daerah-daerah berdekatan, akan melibatkan tiga teras strategik iaitu pembangunan modal insan, pembangunan ekonomi menerusi peningkatan aktiviti pengkomersialan dan pembangunan infrastruktur. Ketiga-tiga teras ini menyokong pendekatan menyeluruh dan komitmen Kerajaan ke arah meningkatkan taraf hidup masyarakat nelayan yang rata-rata berada dalam kategori pendapatan B40, selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-11.

Menyentuh tentang rasional di sebalik program Akuapolitan, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif  Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menjelaskan, “Selaras dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan, ECERDC telah membangunkan program Akuapolitan melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri serta agensi-agensi persekutuan dan negeri untuk menggabungkan elemen-elemen penting dalam menghasilkan program perikanan yang holistik, menyeluruh dan mampan untuk masyarakat nelayan.”

Dengan meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama dalam memajukan kedudukan sosial dan ekonomi nelayan, para peserta Akuapolitan dan keluarga mereka akan didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran teknikal melalui Program Latihan Akademik empower ECER dan program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER . Para peserta akan diberi latihan serta panduan yang berterusan melalui Program Anjakan Paradigma yang bertujuan memberi mereka keyakinan dan semangat untuk berjaya.

Selain itu, menerusi program entrepreneur ECER, usahawan mikro yang sedia ada akan diberikan bantuan bagi meningkatkan produk mereka melalui penambahbaikan pengeluaran untuk mematuhi pensijilan Halal, pembungkusan dan penjenamaan. Program ini akan dijalankan dengan kerjasama SIRIM, Agrobank dan Maybank.

“Matlamat Akuapolitan adalah untuk meningkatkan pendapatan nelayan dan taraf hidup keluarga mereka. Untuk itu, kami telah melaksanakan pendekatan yang mengutamakan insan bagi membawa transformasi yang bermakna untuk komuniti ini. Kami memberi tumpuan kepada inisiatif membina keupayaan bagi memastikan para nelayan memiliki kemahiran yang sesuai untuk maju ke hadapan. Ahli keluarga mereka juga tidak dilupakan di mana kami memberikan latihan kemahiran, keusahawanan dan akademik untuk membawa transformasi yang kita harapkan,” tambah Datuk Seri Issace lagi.

Sehingga kini, seramai 300 orang pelajar dari tujuh buah sekolah telah menyertai Latihan Kemahiran Akademik empower ECER, manakala 200 orang peserta yang terdiri daripada para belia yang menganggur, ibu tunggal dan suri rumah pula akan dilatih di bawah program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER yang telah bermula pada pertengahan bulan Mei 2016 di pusat latihan empower ECER di Kuala Nerus.

Teras kedua tertumpu kepada peningkatan aktiviti pengkomersialan termasuk aktiviti berkaitan perikanan dan bukan perikanan. Melalui aktiviti perikanan komersial, para peserta akan didedahkan kepada aktiviti perikanan laut dalam, pemprosesan produk hasil laut, mengusahakan restoran dan aktiviti perikanan rekreasi yang akan membolehkan mereka menyertai secara aktif seluruh rangkaian nilai sektor perikanan. Aktiviti bukan perikanan pula akan membuka peluang pekerjaan alternatif di mana masyarakat nelayan boleh menyertai pusat perniagaan IKS (Industri Kecil dan Sederhana), hotel butik, panggung budaya dan juga muzium hidupan laut.

Bagi memastikan keperluan para peserta sektor komersial dan ekonomi dipenuhi, Koperasi Akuapolitan Kuala Nerus akan turut ditubuhkan. Koperasi ini akan bekerjasama dengan sektor swasta dalam model syarikat induk atau syarikat usaha sama yang telah terbukti berjaya dalam program-program ECERDC yang lain. Manfaatnya termasuklah pendapatan yang stabil, dividen tahunan untuk anggota serta peluang mengikuti program latihan dan mentor.

Teras ketiga adalah pembangunan infrastruktur termasuk kerja-kerja menaik taraf terutamanya di Kampung Seberang Pak Abu yang meliputi perumahan, pusat memproses ikan, jeti, kompleks IKS, kemudahan penyelenggaraan bot serta jalan raya yang lebih baik bagi meningkatkan kesalinghubungan. Pembangunan yang dilaksanakan ini akan menyokong usaha membangunkan modal insan dan aktiviti pengkomersialan.

“Program Akuapolitan Kuala Nerus ini kelak akan menyediakan pelbagai peluang kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran serta memperoleh pendapatan yang lebih tinggi sehingga RM5,000 sebulan,” tambah Datuk Seri Issace.

Semasa pelancaran, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM180 juta bagi melaksanakan projek Akuapolitan melalui ECERDC. Beliau turut menyampaikan sijil kepada sekolah-sekolah yang menyertai program Latihan Kemahiran Akademik empower ECER dan juga wakil peserta program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak juga menyampaikan sijil pengiktirafan kepada tiga peserta program entrepreneur ECER yang telah memperoleh pencapaian yang cemerlang.

“ECERDC menyedari keperluan untuk mewujudkan sebuah ekosistem yang bukan sahaja mendidik malah memberi peluang kepada para individu membuat pilihan yang boleh meningkatkan pendapatan dan mutu kehidupan mereka. Ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membina masa depan yang mampan untuk komuniti nelayan melalui projek Akuapolitan. Di sini, ECERDC dan agensi-agensi yang terlibat akan memastikan keperluan semasa Rakyat dipenuhi, dan pada masa yang sama tidak menjejaskan peluang generasi akan datang untuk sama-sama maju dan menjadi sebahagian daripada warga Wilayah maju menjelang tahun 2020,” kata Datuk Seri Issace.

Selain daripada projek Akuapolitan, ECERDC dengan kerjasama Kerajaan Negeri turut membangunkan projek-projek lain bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif di Wilayah ECER. Melalui usaha ECERDC dan Kerajaan Negeri, pelaburan berjumlah RM27.2 bilion telah berjaya dibawa masuk antara tahun 2007 hingga April 2016 yang menjana lebih 30,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Terengganu, manakala program pembangunan modal insan pula telah memberi manfaat kepada lebih 10,000 orang rakyat di negeri ini.