PROJEK-PROJEK BERIMPAK TINGGI BANTU ECER LONJAK PELABURAN, PELUANG PEKERJAAN DAN KEUSAHAWANAN
Pelaburan Berjumlah RM109.15 Bilion Berjaya Ditarik Masuk Setakat Ini, Wujudkan 140,000 Peluang Pekerjaan Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 7 OGOS 2017: Transformasi sosioekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) terus berjalan lancar dengan kejayaan pelaksanaan projek-projek infrastruktur berimpak tinggi, promosi pelaburan dan program-program pembangunan modal insan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi  Pantai Timur (ECERDC).

ECER semakin hampir mencapai sasaran pelaburan menjelang tahun 2020, iaitu sebanyak RM110 bilion, susulan pemeteraian perjanjian dan memorandum persefahaman bernilai RM9.9 bilion pada hari ini dalam sektor-sektor utama seperti pembuatan, pelancongan, bio-ekonomi dan hartanah. Ini sekaligus menjadikan jumlah pelaburan komited di ECER berjumlah RM109.15 bilion. Malah, transformasi di ECER telah memberi impak positif terhadap kehidupan Rakyat, dengan lebih 140,000 pekerjaan dan 26,000 peluang keusahawanan diwujudkan di kawasan-kawasan bandar dan luar bandar.

Majlis hari ini menyaksikan pertukaran dokumen antara ECERDC dengan empat belas (14) pelabur asing dan domestik di ECER, termasuk syarikat-syarikat Bumiputera di bawah program TERAJU@ECER. Pelaburan-pelaburan yang dimeterai ini dijangka akan mewujudkan lebih banyak peluang keusahawanan dan lebih 4,000 pekerjaan untuk Rakyat di ECER. Acara bersejarah ini disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, yang juga merupakan Pengerusi ECERDC, selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis ECERDC yang kedua untuk tahun 2017.

Apa yang lebih membanggakan, pertumbuhan pelaburan di ECER sepanjang 10 tahun lalu telah menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ECER yang telah meningkat sebanyak RM9.7 bilion, bersamaan dengan 1.8% daripada kadar pertumbuhan sebanyak 3.9% sejak tahun 2007.

“Transformasi sosioekonomi ECER sememangnya berjalan lancar susulan usaha bersepadu Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensinya termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), serta Kerajaan-kerajaan Negeri di ECER. Sejak tahun 2008, pelaksanaan projek-projek dan program-program berimpak tinggi ECER telah membolehkan Wilayah ini terus membangun seperti yang telah digariskan dalam agenda transformasi nasional. Ini telah membawa impak positif kepada kehidupan Rakyat, khususnya melalui peningkatan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan,” kata YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

“Sejak beberapa tahun lalu, kami juga telah membina sebuah ekosistem yang dinamik di Wilayah ini di mana setiap projek pelaburan mewujudkan manfaat serta kesan limpahan yang ketara terhadap keseluruhan rantaian nilai ekonomi, termasuklah perniagaan, usahawan, pekerja serta penyedia perkhidmatan, lantas menjadikan lanskap sosioekonomi ECER bertenaga, mampan dan berdaya tahan,” tambahnya.

 

Pelaburan Langsung Domestik (DDI) merupakan teras bagi pelaburan keseluruhan di Wilayah ini dengan menyumbang sebanyak 52% daripada jumlah pelaburan keseluruhan di ECER berbanding dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak 48%. Sebahagian besar daripada pelabur-pelabur domestik ini terdiri daripada perusahaan bersaiz kecil dan sederhana (PKS), yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan terutamanya di kawasan luar bandar.

Di kalangan usahawan Bumiputera, sebanyak enam (6) syarikat tempatan terlibat di dalam pertukaran dokumen hari ini. Mereka merupakan antara 165 projek yang telah  mendapat manfaat daripada insentif-insentif ECERDC atau Dana Mudahcara TERAJU@ECER, atau kedua-duanya.  Pelaburan-pelaburan ini, yang bernilai RM15.6 bilion, menyumbang 15% kepada jumlah pelaburan diluluskan di ECER, sejajar dengan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR) 2.0 untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui pembabitan yang lebih luas dalam ekonomi. Lebih 18,000 peluang pekerjaan dijangka akan diwujudkan daripada pelaburan syarikat-syarikat Bumiputera tersebut.

Potensi untuk peningkatan pelaburan ke Wilayah ini juga turut dipacu oleh tenaga kerja dan usahawan tempatan yang berkebolehan di ECER. Bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat untuk para pekerja berkemahiran pada ketika ini dan masa hadapan, program-program pembangunan modal insan ECERDC seperti Program empower ECER yang bertujuan meningkatkan lagi kemahiran peserta dewasa dan pencapaian akademik para pelajar di kawasan luar bandar terus dipergiatkan. Program entrepreneur ECER pula telah membantu 6,453 usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Sehingga Jun 2017, lebih 106,210 isi rumah atau 10% daripada populasi ECER telah menerima manfaat daripada program-program pembangunan modal insan ECERDC, dengan 97% daripada peserta berasal dari komuniti berpendapatan 40 peratus terendah (B40), yang mencerminkan pendekatan inklusif ECERDC dalam membangunkan ECER. Di samping itu, kira-kira 18,000 usahawan mikro, kecil dan sederhana telah diwujudkan daripada program-program tersebut, yang telah menjana lebih 33,000 peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan.

“Sehingga kini, lebih separuh daripada keseluruhan peluang pekerjaan yang diwujudkan di ECER merangkumi jawatan-jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan, serta profesional. Dalam hal ini, adalah penting bagi kami untuk terus meningkatkan kemahiran bakat-bakat tempatan melalui program-program pendidikan dan peningkatan kemahiran untuk memenuhi keperluan modal insan Wilayah ini,” kata Datuk Seri Issace.

ECER akan terus mengukuhkan integrasi dan kesalinghubungan dengan rantau Asia Pasifik melalui pelaksanaan projek-projek infrastruktur berimpak tinggi seperti Peluasan Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur (Fasa 3) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Projek-projek strategik ini dijangka akan mendorong lebih banyak pelaburan ke Wilayah tersebut apabila siap kelak, serta meningkatkan pertumbuhan KDNK dan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk warga tempatan.

Peluasan Pelabuhan Kuantan yang dijangka siap tahun hadapan akan mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Kuantan sebagai “Gerbang ke Asia Pasifik” dan menyumbang kepada pertumbuhan industri-industri berkaitan pelabuhan dan maritim.

Lebih signifikan lagi, laluan ECRL sepanjang 600km akan menjadi tunjang utama bagi infrastruktur pengangkutan, yang akan terus memastikan transformasi sosioekonomi yang seimbang dan bersepadu di Wilayah tersebut termasuklah di pekan-pekan kecil. Projek pengubah strategi ini akan menghubungkan dua pelabuhan utama di Semenanjung Malaysia iaitu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan, dan kesalinghubungan yang lebih baik ini dijangka akan meningkatkan KDNK di ECER sebanyak 1% hingga 1.5% lagi.

“Selaras dengan agenda transformasi nasional, kemajuan ECER hari ini merupakan satu perjalanan berterusan yang telah diperkukuhkan oleh ketahanan dan sokongan Rakyat dalam memacu perubahan dan transformasi di peringkat akar umbi.  Dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi era baharu pembangunan ECER, kami akan mengkaji semula insentif-insentif dan dasar-dasar sedia ada untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta dan memastikan transformasi yang berterusan untuk kesejahteraan Rakyat,” rumus Datuk Seri Issace.

– TAMAT –