PROJEK-PROJEK BERIMPAK TINGGI BAWA TRANSFORMASI DALAM PERTUMBUHAN SOSIOEKONOMI KELANTAN

KOTA BHARU, 19 JUN 2017: Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Kelantan terus melaksanakan strategi transformasi holistik yang telah berjaya menarik RM12.7 bilion pelaburan swasta antara tahun 2007 dan Mei 2017. Projek-projek berimpak tinggi ini, yang disokong oleh promosi pelaburan dan program-program pembangunan modal insan bersifat inklusif, telah mewujudkan lebih 13,880 peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan taraf hidup lebih 25,000 penduduk, terutamanya dari kalangan golongan B40 di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar.

 

Usahawan Bumiputera merupakan antara pengupaya utama bagi pertumbuhan sosioekonomi Kelantan. Sehingga kini, 48 projek oleh syarikat-syarikat Bumiputera telah menerima insentif sama ada di bawah Pakej Insentif ECER atau Dana Mudahcara TERAJU@ECER atau kedua-duanya, dengan pelaburan bernilai RM4.59 bilion yang seterusnya telah mewujudkan 5,980 pekerjaan. Antara tahun 2012 hingga Mei 2017, TERAJU@ECER telah meluluskan Dana Mudahcara berjumlah RM85.6 juta kepada 37 penerima di negeri Kelantan, yang melibatkan pelaburan mencecah RM711.7 juta. Ini adalah sejajar dengan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera oleh Kerajaan Persekutuan.

 

“Agenda transformasi Kerajaan Persekutuan di Negeri Kelantan secara dasarnya memfokuskan kepada pemacuan projek-projek berimpak tinggi dan pelaburan untuk merangsang pertumbuhan sosioekonomi di negeri ini melalui pewujudan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan. ECERDC akan terus memastikan agar mekanisma efektif disediakan untuk memperkasakan usahawan-usahawan tempatan bagi menjadi pengupaya utama transformasi sosioekonomi di Kelantan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob di sini, hari ini.

 

Antara projek-projek yang telah siap yang bakal menjadi pemangkin pertumbuhan di Kelantan ialah Taman Halal Pasir Mas (PMHP) yang akan mengukuhkan kedudukan negeri tersebut sebagai sebuah hab industri halal dan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali  (TBIFP), serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Pengkalan Kubor – kedua-duanya berperanan utama dalam membangunkan Kelantan sebagai sebuah hab bagi aktiviti-aktiviti berasaskan perikanan dan marin.

 

Memanfaatkan permintaan global yang kian meningkat untuk produk-produk dan perkhidmatan halal, PHMP, yang dibangunkan secara bersama antara ECERDC dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di kawasan seluas 108 ekar, setakat ini telah menerima pelaburan komited berjumlah RM22 juta dan mewujudkan 100 peluang pekerjaan baharu. Sehingga kini, 84 peratus daripada Fasa 1 PMHP telah diduduki dan ia dijangka akan dihuni sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2017.

 

Sementara itu, TBIFP yang berkeluasan 225 ekar di Pasir Puteh disasarkan untuk menjana aktiviti-aktiviti ekonomi dan meningkatkan pendaratan ikan di Kelantan, dengan memfokuskan kepada produk-produk berasaskan ikan yang diproses, otoshimi, makanan ikan dan industri-industri sokongan seperti kilang pembuatan ais. Ditambah dengan integrasi sektor eko-pelancongan marin dan hospitaliti, TBIFP dijangka akan menarik lebih banyak pelaburan swasta dalam masa terdekat.

 

Turut dalam perancangan ialah pelan ECERDC untuk memulihara dan mempromosikan tradisi kampung tempatan dengan membangunkan Kampung Laut sebagai sebuah “Kampung Warisan”. Pembangunan ini dijangka akan merancakkan aktiviti-aktiviti sosioekonomi di kampung tersebut dengan menawarkan peluang-peluang keusahawanan melalui promosi juadah dan kraftangan tempatan. Satu lagi projek utama ialah Plaza IMT-GT di Bukit Bunga, yang terletak di kedudukan strategik di sepanjang kawasan sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok dan Pengkalan Kubor-Tak Bai. Plaza tersebut dijangka akan meningkatkan aktiviti-aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan melalui penyediaan sebuah pusat komersial yang lebih kondusif dan strategik untuk para usahawan tempatan mempromosi dan memasarkan produk-produk mereka.

 

Pembangunan di Kelantan juga bakal menjadi lebih rancak dengan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Projek InfraRakyat sepanjang 600km ini akan meningkatkan kesalinghubungan dan pergerakan di negeri tersebut termasuk di daerah-daerah Tumpat, Kota Bharu dan Tok Bali. Kawasan-kawasan ini juga akan dihubungkan dengan hab-hab logistik lain termasuk Pelabuhan Kuantan di Pahang dan Pelabuhan Klang di Selangor melalui Kuala Lumpur. Hasilnya, lebih banyak pusat pertumbuhan akan diwujudkan dan ini akan meningkatkan ekonomi negeri, lantas mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk komuniti-komuniti tempatan.

 

Dari segi pembangunan modal insan, program-program empower ECER dan entrepreneur ECER yang dilaksanakan oleh ECERDC telah melahirkan lebih 4,100 usahawan mikro, kecil dan sederhana, dan bersama-sama dengan projek Agropolitan, telah menyediakan hampir 8,250 peluang pekerjaan untuk Rakyat.

 

Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER di Kelantan setakat ini telah memberi manfaat kepada 3,020 peserta, yang mana 80% daripadanya telah berjaya meningkatkan pendapatan masing-masing antara RM1,000 dan RM3,000 sebulan setelah tamat latihan. Program entrepreneur ECER juga telah membuahkan kejayaan untuk 1,780 pesertanya, yang mana ramai daripada mereka telah berjaya meningkatkan jualan sekurang-sekurangnya sebanyak 30 peratus dan seterusnya mewujudkan lebih 5,830 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti masing-masing.

 

“Kami terus kekal komited dalam meningkatkan status ekonomi dan menaikkan taraf hidup penduduk di Kelantan; bukan sahaja melalui pelbagai projek berimpak tinggi atau pembangunan infrastruktur awam, namun yang lebih penting, dengan memperkasakan Rakyat melalui usaha-usaha pembangunan modal insan kami. Kami mahu memastikan agar tiada rakyat yang ketinggalan dalam perjalanan negara untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi,” jelas Datuk Seri Issace.