USAHAWAN KOPI DURIAN “MUSANG KING” DARI KELANTAN TANDATANGANI MOU UNTUK EKSPORT PRODUK RM3 JUTA KE CHINA

CCD_6265 CCD_6379 ICC KELANTAN 081115-1 ICC KELANTAN 081115-2

KOTA BHARU, 8 NOVEMBER: Program pembangunan keusahawanan entrepreneur ECER yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ternyata membuahkan hasil apabila salah satu pesertanya, Mitra Food Industries Sdn Bhd, hari ini menandatangani MOU dengan syarikat Zhuolun (Nanning Guangxi) Co. Ltd. dari China untuk mengeksport produk kopi bernilai RM3 juta ke negara tersebut.

Mitra Food Industries, yang beroperasi di Kota Bharu, Kelantan, merupakan pengeluar Kopi Durian “Musang King”, Cappuccino dan White Coffee, di mana produk-produk tersebut akan dibekalkan kepada Zhuolun (Nanning Guangxi) Co. Ltd yang beroperasi di Nanning untuk tempoh setahun.

Syarikat tersebut merupakan salah satu daripada 53 syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari Kelantan yang menyertai program entrepreneur ECER yang dijalankan oleh ECERDC dengan kerjasama pihak SIRIM. Program ini bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan berjaya di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), terutamanya di kalangan IKS, selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

MOU tersebut ditandatangani di sini hari ini oleh Pengarah Urusan Mitra Food Industries, Roslaimi Arifin, manakala Zhuolun (Nanning Guangxi) Co. Ltd diwakili oleh pengarahnya, Xie Xiaoyu. Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Di bawah program entrepreneur ECER-SIRIM tersebut, SIRIM berperanan membimbing dan memberikan latihan kepada pada usahawan di ECER, khususnya mereka yang terlibat dalam pengeluaran makanan, dalam aspek pembangunan kualiti produk, pelabelan dan penjenamaan, persijilan halal, pengurusan kewangan dan pemasaran.

Antara lain, modul latihan bagi program ini meliputi pembungkusan dan rekabentuk produk, maklumat mengenai fakta nutrisi, kawalan kualiti, promosi di pasaran antarabangsa, permohonan GMP/HACCP dan persijilan ISO, sistem pengurusan kilang, pengoptimuman proses dan perluasan pasaran.

Mitra Food Industries merupakan salah satu daripada enam IKS dari ECER yang dibawa oleh ECERDC ke Nanning, China baru-baru ini, untuk mempamerkan produk-produk makanan halal mereka di Ekspo China-ASEAN ke-12 (CAEXPO) 2015 yang berlangsung pada 18-21 September 2015.

Syarikat-syarikat tersebut dipilih berdasarkan kriteria ketat yang ditetapkan oleh ECERDC dan MATRADE, yang meliputi aspek-aspek pematuhan terhadap piawaian produk Malaysia dan antarabangsa, serta penjenamaan dan pembungkusan. Keenam-enam syarikat tersebut telah menerima persijilan Halal daripada JAKIM yang diiktiraf di seluruh dunia.

Selain Mitra Food Industries, MH Mohd Industries Sdn Bhd merupakan satu lagi IKS dari Kelantan yang turut dibawa oleh pihak ECERDC untuk menyertai CAEXPO 2015. Beroperasi di Tumpat, MH Mohd Industries menghasilkan sos lada hitam, sos cili dan kicap, dan ia juga kini sedang dalam rundingan untuk mengeksport produknya ke China.

“ECERDC berasa bangga kerana produk-produk yang dihasilkan oleh IKS dari ECER, termasuklah dari negeri Kelantan, kini diiktiraf di peringkat antarabangsa, hasil daripada penyertaan mereka di dalam program entrepreneur ECER yang dijalankan oleh pihak kami dengan kerjasama SIRIM,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John.

“Kejayaan ini juga membuktikan bahawa program pembangunan usahawan entrepreneur ECER bukan sahaja berupaya membantu usahawan dari segi pembangunan produk, malah ia turut menerapkan elemen kemampanan dengan meluaskan pasaran produk IKS hingga ke peringkat antarabangsa. Dengan ini, syarikat IKS dari ECER dapat berkembang maju dan mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi ECER,” katanya.

Datuk Seri Issace berkata, berdasarkan sambutan positif yang diterima oleh para usahawan ECER di CAEXPO 2015, pihak ECERDC bercadang untuk menampilkan lebih ramai usahawan dari wilayah tersebut bersama produk-produk mereka di acara CAEXPO di China pada tahun hadapan.

Selain SIRIM, ECERDC turut melaksanakan program entrepreneur ECER dengan kerjasama Agrobank dan Maybank, di mana program tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 2,000 usahawan di ECER, di mana 617 daripadanya adalah dari Kelantan. Syarikat-syarikat tersebut kini menerima pendapatan bulanan antara RM5,000 hingga RM300,000, malahan ada yang lebih daripada itu.

“Menerusi platform CAEXPO 2015 di Nanning, China yang telah diselaraskan oleh ECERDC pada bulan September lalu, syarikat kami telah berpeluang mempromosi pelbagai jenis produk kopi dan menjalinkan rangkaian perdagangan dengan pengimport dari negara tersebut,” kata Pengarah Urusan Mitra Food Industries, Roslaimi Arifin.

“MOU yang ditandatangani hari ini membuktikan bahawa produk keluaran IKS dari negeri Kelantan mampu bersaing di peringkat antarabangsa, terutama di pasaran negara China yang mempunyai potensi yang sangat besar,” kata beliau.

“Melalui program entrepreneur ECER di bawah kerjasama SIRIM, syarikat kami telah mendapat manfaat bukan sahaja dari segi peningkatan jenama dan kualiti produk, malah pasaran dapat dikembangkan sehingga ke peringkat antarabangsa melalui pelbagai aktiviti promosi yang dianjurkan seperti CAEXPO 2015,” tambahnya.