PELANCARAN SDG BERSASAR WILAYAH TIMUR 2026 BAWA PENDEKATAN BERASASKAN KEPERLUAN KOMUNITI
Bermula di Paya Besar, siri program diteruskan ke Besut, Lojing dan Kuala Lipis dengan pengisian mengikut keutamaan setempat
KUANTAN, PAHANG 1 November 2026: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, telah menganjurkan Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bersasar Wilayah Timur 2026 yang dilancarkan di Paya Besar, Kuantan, sebagai permulaan siri program yang menghubungkan keperluan komuniti dengan kepakaran dan perkhidmatan agensi.
Pelancaran ini telah disempurnakan bagi pihak YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, oleh YB Dato’ Ir. Razali bin Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Sri Mohd Shahar bin Abdullah, yang mewakili Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir.
Bertemakan “Komuniti Berdaya, Masa Hadapan Mampan”, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai SDG serta menterjemahkan agenda pembangunan mampan kepada tindakan yang dekat dengan kehidupan rakyat. Siri seterusnya dirancang di Besut, Lojing dan Kuala Lipis, dengan pengisian disesuaikan mengikut keperluan dan potensi komuniti di setiap lokasi.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Syamsul Farizz Nadzeri, berkata program bersasar membolehkan agensi memberikan panduan dan sokongan berdasarkan keperluan masyarakat di setiap lokasi.
“Pembangunan mampan bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi juga sejauh mana kemajuan tersebut dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat, memperluas akses kepada peluang dan memastikan tiada golongan yang ketinggalan. Selaras dengan matlamat SDG, ECERDC, dengan kerjasama Kementerian Ekonomi dan agensi-agensi kerajaan, berusaha menterjemahkan agenda ini kepada tindakan yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat melalui penyediaan maklumat, bimbingan dan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan komuniti.
“Di Paya Besar, pendekatan ini diterjemahkan melalui pengisian yang memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan masyarakat, termasuk pengurusan kewangan, sokongan keluarga dan pencegahan penipuan. Melalui penglibatan agensi berkaitan, orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat serta mengetahui saluran bantuan yang boleh dimanfaatkan. Maklum balas yang diterima juga akan menjadi panduan dalam merangka pengisian program seterusnya supaya tindakan yang dilaksanakan benar-benar menepati keperluan komuniti di setiap lokasi,” katanya.
Penganjuran di Paya Besar turut disertai perasmian The EAST, yang menjadi lokasi pembentangan Voluntary Local Review (VLR) Kuantan dan sesi Pocket Talk.
Antara pengisian utama ialah sesi Pocket Talk, pameran agensi dan aktiviti interaktif yang mengetengahkan isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat, termasuk pengurusan kewangan, keselamatan jalan raya, kesihatan mental, keselamatan keluarga dan pencegahan penipuan. Pengisian ini menyediakan ruang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat, memahami perkhidmatan yang tersedia serta mengetahui saluran sokongan yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
Pembentangan VLR Kuantan pula memberikan gambaran tentang kemajuan SDG dan bidang yang memerlukan perhatian di peringkat tempatan. Maklumat tersebut menjadi input kepada agensi dalam menentukan keutamaan tindakan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan mengikut keperluan komuniti.
Dalam aspek pembangunan generasi muda, aktiviti berkaitan pendidikan untuk pembangunan mampan, sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut diketengahkan bagi meningkatkan pendedahan belia kepada kemahiran, pengetahuan dan peluang yang relevan dengan keperluan masa hadapan.
Usahawan mikro dan peniaga tempatan turut diberi ruang untuk memperkenalkan produk serta berinteraksi dengan pengunjung. Penglibatan ini bertujuan meningkatkan keterlihatan perniagaan tempatan dan menggalakkan masyarakat meneroka peluang mendapatkan bimbingan, sokongan serta akses kepada inisiatif agensi berkaitan.
Pelancaran ini turut memperkukuh usaha menyepadukan agenda SDG dengan hala tuju pembangunan negara dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Selaras dengan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Pelan Pembangunan ECER 2026–2030 (EDP 2030), pembangunan yang inklusif memerlukan kerjasama berterusan untuk memastikan peluang ekonomi, peningkatan kemahiran dan kemudahan sokongan dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat di seluruh wilayah.
Melalui program SDG Bersasar Wilayah Timur 2026, ECERDC berharap dapat memperkukuh kefahaman masyarakat bahawa pembangunan mampan bukan sekadar agenda global, sebaliknya satu usaha bersama yang bermula daripada tindakan harian, kerjasama komuniti dan peluang yang dapat dimanfaatkan oleh semua.