ECERDC SERAH PROJEK IKONIK KUANTAN 188

Mercu Tanda Baharu Bakal Merancakkan Aktiviti Pelancongan dan Sosioekonomi 

 

PAHANG, 26 FEBRUARI 2020: Kuantan 188 (dahulunya dikenali sebagai Menara Teruntum), menara yang terletak di tengah-tengah Kuantan Waterfront, sebuah mercu tanda ikonik dan strategik yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Negeri Pahang hari ini.

Sebuah majlis untuk menyempurnakan penyerahan tersebut telah diadakan di tapak Kuantan 188. Di majlis ini, Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdi bin Wan Ismail telah menerima kunci menara tersebut daripada Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). 

“ECERDC berbangga menyerahkan Kuantan 188 kepada Kerajaan Negeri Pahang setelah pembinaan infrastruktur awam yang ikonik dan strategik ini disiapkan dengan jayanya. Mercu tanda baharu ini adalah kebanggaan Kuantan dan Pahang kerana ia merupakan menara tertinggi di Pantai Timur dan menara kedua tertinggi di Malaysia, selepas Menara Kuala Lumpur. Saya yakin, ikon baharu ini akan merancakkan lagi industri pelancongan negeri ini serta mewujudkan aktiviti limpahan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” kata Encik Baidzawi sewaktu majlis penyerahan tersebut.

“Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Pahang untuk melaksanakan pelbagai projek awam berimpak tinggi dalam usaha bagi merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama. Kami berbesar hati kerana dapat memainkan peranan dalam merealisasikan pembangunan projek Kuantan 188 ini. Ia merupakan sebahagian daripada strategi ECERDC untuk “mewujudkan destinasi” dengan menyediakan asas yang diperlukan bagi menarik minat dan menambah nilai kawasan-kawasan berdekatan yang berupaya untuk merangsang pelancongan dan aktiviti-aktiviti ekonomi lain,” tambahnya.

Kuantan 188 merupakan mercu tanda terbaharu di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Konsep reka bentuknya yang tegak dan meruncing diinspirasikan daripada bentuk hujung bilah lembing, seperti yang tertera di Jata Negeri Pahang. Reka bentuk dek tinjau menara tersebut pula diinspirasi oleh bebunga dan dedaun pokok Teruntum Putih. 

Menara tersebut adalah sebahagian daripada siri pembangunan untuk menambah baik Kuantan Waterfront, sebuah aset premium yang perlu dipelihara dan dioptimumkan untuk penduduk tempatan. Ia telah direka khusus untuk menjadi tarikan pelancongan utama bagi pelancong tempatan dan luar negara. Dari dek pemerhatian menara yang terletak pada ketinggian 92 meter, para pengunjung boleh menikmati pemandangan 360 darjah Bandaraya Kuantan dan Sungai Kuantan yang memukau. Tarikan-tarikan lain yang terdapat di menara tersebut termasuk sebuah restoran pada ketinggian 98 meter, sebuah dek pemerhatian terbuka, jejantas udara dan pelantar terjunan berpandu dari aras 104 meter. Para pengunjung yang menggemari aktiviti lasak boleh melakukan pendakian tiang pada ketinggian 160 meter di puncak keluli setinggi 66 meter. 

Pembinaan bermula pada Ogos 2017 dan ia siap sepenuhnya pada September 2019. Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) telah dikeluarkan pada November 2019. Menara tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai pada bulan Ogos tahun ini. 

 

“Kuantan 188 akan melengkapi tarikan pelancongan lain yang memaparkan kekayaan sejarah, warisan, dan khazanah alam semulajadi negeri Pahang. Dengan dek tinjau, restoran dan aktiviti-aktiviti lain yang ditawarkan di menara tersebut, serta tarikan lain di kawasan berhampiran, Kuantan Waterfront secara keseluruhan akan kekal menjadi tarikan pelancong untuk tahun-tahun akan datang. Ini akan menghasilkan kesan limpahan ekonomi yang akan merancakkan lagi pembangunan sosioekonomi ECER, khususnya di  Pahang,” kata Encik Baidzawi. 

Selain daripada Kuantan 188, projek-projek pelancongan lain di Pahang yang dilaksanakan oleh ECERDC yang telah siap pada tahun lepas ialah penaiktarafan kemudahan di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Pusat Penemuan Hutan Hujan (Rainforest Discovery Centre) yang interaktif di Taman Negeri Endau-Rompin dan Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS).

Projek ikonik ini adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan yang telah dirancang oleh ECERDC untuk pembangunan Pahang. Di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0), Pahang dijangka menarik RM31 bilion pelaburan swasta menjelang 2025 yang akan mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan dan lebih 23,000 peluang keusahawanan.

Negeri Pahang telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam tempoh sedekad yang lalu sebagai sebuah destinasi pelaburan utama bagi ECER. Pahang telah bertapak kukuh dalam sektor pembuatan, pelancongan, serta minyak gas dan petrokimia di ECER. Ianya dapat dilihat melalui kehadiran para pelabur di taman-taman perindustrian utamanya iaitu Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Taman Automotif Pekan (PAP), Taman Teknologi Pahang (PTP) dan Taman Halal Gambang. 

“Usaha-usaha ECERDC bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat tempatan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan. Pelaburan-pelaburan swasta dan pembangunan yang berterusan di Kuantan dan Pahang telah menunjukkan impak positif kepada rakyat. Ini adalah sejajar dengan visi Pembangunan Wilayah yang Seimbang di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama kerajaan,” kata Encik Baidzawi.

 

– TAMAT –

 

Mengenai ECER dan ECERDC 

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan halatuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Wilayah ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.  

Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun sebagai destinasi yang unik, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan. Ia merangkumi kawasan seluas lebih 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.3 juta penduduk, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk Malaysia. 

Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Tengku Mazlinda Tengku Mahmood

Pengurus, Perhubungan Media 

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)

Tel: 03-2035 0182 / 010-408 1085

Emel: mazlinda@ecerdc.com.my