empower ECER MENTRANSFORMASI KEHIDUPAN ORANG ASLI DI SUNGAI RUAL, KELANTAN

Program-program pembangunan modal insan ECERDC bantu tingkatkan kesejahteraan rakyat B40

 

KOTA BHARU, 13 FEBRUARI 2020: Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pembangunan modal insan untuk meningkatkan kesejahteraan golongan B40, termasuk komuniti Orang Asli. Program-program pembangunan modal insan ECERDC yang bersifat inklusif seperti empower ECER dan entrepreneur ECER telah terbukti keberkesanannya dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi peningkatan tahap pendidikan dan penyediaan kursus kemahiran bernilai tinggi menerusi program-program pengukuhan akademik dan kursus-kursus peningkatan kemahiran komprehensif yang dipacu industri bagi meningkatkan keupayaan rakyat untuk memperoleh pendapatan yang lebih kukuh. 

ECERDC memberi tumpuan khusus kepada pembangunan sosioekonomi Orang Asli. Contohnya di Kampung Sungai Rual, Jeli, Kelantan, program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER telah berjaya meningkatkan taraf hidup dan pendapatan 51 peserta Orang Asli. Kursus-kursus kemahiran yang dilaksanakan disesuaikan dengan sosioekonomi Orang Asli iaitu kraftangan, masakan dan jahitan.

Salah seorang peserta program yang telah menjadi usahawan adalah Muhammad Samsol Bin Haron, 22 tahun, daripada komuniti Orang Asli. Sebelum menyertai kursus Bijak Niaga @ My Business di bawah program empower ECER, Muhammad Samsol membantu bapanya menoreh getah dengan pendapatan tidak menentu. Beliau berazam untuk mempelajari kemahiran baharu agar memperoleh pendapatan yang lebih tinggi untuk menyara keluarganya. Dengan ilmu yang dipelajari, beliau telah membuka gerai burger dan kini memperoleh pendapatan yang stabil iaitu lebih daripada RM2,000 sebulan. Sebagai pengiktirafan ke atas pencapaian beliau dalam mengatasi cabaran dan meningkatkan taraf hidup keluarganya, beliau telah dianugerahkan “Anugerah Khas Usahawan empower ECER” di Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah empower ECER yang diadakan pada hari ini untuk meraikan kejayaan para peserta empower ECER di Kelantan.

“Saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk menyertai program empower ECER yang telah meningkatkan taraf  hidup keluarga saya. Saya berharap agar kejayaan ini boleh menjadi inspirasi kepada komuniti Orang Asli yang lain untuk memulakan perniagaan sendiri,” kata Muhammad Samsol. 

Sejak program empower ECER dilancarkan di Kelantan pada tahun 2013, lebih daripada 25,000 peserta yang sebahagian besarnya tergolong dalam kumpulan B40 telah menerima manfaat. Pada tahun 2019, seramai 4,738 orang peserta telah menerima manfaat dan daripada jumlah ini, 910 orang peserta berjaya menjadi usahawan dan majoriti daripada mereka memperoleh pendapatan purata antara RM1,000 ke RM10,000 sebulan. Mereka turut mewujudkan sebanyak 1,496 peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Di majlis tersebut, seramai 18 orang peserta menerima Anugerah Usahawan empower ECER, sebagai pengiktirafan atas pencapaian mereka yang amat baik manakala 32 orang peserta Latihan Akademik empower ECER yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR 2019 menerima Anugerah Juara empower ECER. Anugerah-anugerah tersebut disampaikan oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad bin Yakob.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Samsol atas pencapaian beliau. Diharapkan kejayaan beliau akan memberi inspirasi kepada komuniti Orang Asli yang lain untuk melibatkan diri dalam program pembangunan modal insan ECERDC agar mereka dapat mempelajari kemahiran baharu dan memperoleh pendapatan yang lebih kukuh untuk menyara keluarga mereka,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC di majlis tersebut yang dianjurkan bersempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Kelantan.

Anugerah utama, Anugerah Usahawan Gemilang empower ECER, dimenangi oleh Marwani Binti Abdullah. Produk ‘signature’ beliau adalah Mini Pizza Muslim yang bukan sahaja dijual di Kelantan, tetapi juga di Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur. Marwani yang dahulunya seorang suri rumah, kini menguruskan sebuah kantin di Kuala Krai dengan bantuan lapan orang pekerja yang mana kesemuanya merupakan ibu tinggal. Pendapatannya kini melebihi RM30,000 sebulan dan membolehkan beliau menghantar tiga orang anaknya untuk menyambung pelajaran ke universiti. 

“Kami sentiasa terinspirasi dengan perubahan dalam kehidupan para peserta dan juga kesan kejayaan mereka ke atas komuniti setempat. Transformasi para peserta memberi galakan dan motivasi kepada kami untuk mempertingkatkan usaha bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menerima manfaat daripada program-program pembangunan modal insan ECERDC,” kata Encik Baidzawi.

Secara keseluruhannya, lebih daripada 100,000 rakyat di ECER telah mendapat manfaat daripada program-program pembangunan modal insan ECERDC. Daripada jumlah ini, 70% adalah daripada golongan belia dan 70% adalah peserta wanita. Ini mencerminkan pendekatan inklusif ECERDC dalam inisiatif pemerkasaan rakyat.

Selain daripada empower ECER, ECERDC telah melaksanakan program-program pembangunan modal insan yang lain seperti entrepreneur ECER untuk memperkasakan usahawan-usahawan mikro, kecil dan sederhana. Program entrepreneur ECER menumpukan kepada peningkatan prestasi  usahawan-usahawan sedia ada melalui kolaborasi bersama SIRIM dalam pembangunan produk, pembungkusan, pelabelan, penjenamaan, pensijilan MeSTI dan Halal; manakala kolaborasi bersama Maybank dan Agrobank sebagai rakan strategik membolehkan pembiayaan mudah di mana ECER membiaya 50% daripada kadar faedah. Sehingga kini, ECERDC telah membangunkan seramai 2,932 usahawan mikro dan PKS. 

Di samping itu, program Latihan Akademik empower ECER telah memberi bimbingan kepada 2,332 pelajar berprestasi rendah di Kelantan untuk meningkatkan pencapaian mereka dalam bidang akademik. Para peserta telah Mencapai Tahap Minimum (MTM) 77% berbanding sebelum menyertai Latihan Akademik empower ECER, di mana MTM yang dicapai hanyalah 48%.

Untuk masyarakat Orang Asli di Kelantan, program Latihan Akademik empower ECER kini dilaksanakan di tiga (3) buah sekolah Orang Asli, di mana seramai 320 pelajar telah menerima manfaat pada tahun 2019. Melalui program ini, penguasaan 3M (Membaca, Menulis, Mengira) telah meningkat daripada 6% kepada  45%. 

ECER kini dalam fasa pertumbuhan seterusnya dengan pelaksanaan Pelan Induk ECER 2.0, yang menyasarkan untuk mentransformasi wilayah ini menjadi wilayah yang dipacu oleh produktiviti dan mempunyai ekonomi bernilai tambah menjelang tahun 2025 menerusi penerapan Industri 4.0 sebagai teras utama. Ini juga selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 yang diasaskan berdasarkan teras pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kejuruteraan semula sosial. 

Di Kelantan, beberapa projek berimpak tinggi telah pun siap dan dijangka akan memberi kesan gandaan kepada komuniti setempat. Salah satu daripada projek yang telah siap dan akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Kelantan adalah Plaza IMT-GT di Bukit Bunga, Jeli. Plaza IMT-GT merupakan sebuah kompleks yang strategik, terletak di sempadan Malaysia-Thailand yang akan memacu perdagangan dan pelancongan rentas sempadan di Kelantan. Plaza ini juga dijangka akan merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan tersebut kerana ia melengkapi pusat-pusat komersial berdekatan seperti Pasaraya Bukit Bunga dan Hentian R&R Bukit Bunga. 

“ECERDC kekal komited untuk menambahbaik prospek ekonomi masa hadapan dan meningkatkan taraf hidup rakyat di Kelantan. Justeru itu, kami akan terus melaksanakan program-program pembangunan modal insan berimpak tinggi untuk rakyat, disamping memacu pertumbuhan infrastruktur dan pelaburan. Menerusi program empower ECER, rakyat boleh mendapat manfaat dan menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi di Wilayah ini. Kami ingin memastikan bahawa tiada yang ketinggalan dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi. Ini adalah selaras dengan RMK-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, yang bertujuan untuk membolehkan pertumbuhan wilayah dan pengagihan ekonomi yang saksama di seluruh negara,” kata Encik Baidzawi.

 

– TAMAT –

Mengenai ECER dan ECERDC 

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan halatuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Wilayah ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.  

Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun sebagai destinasi yang unik, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan. Ia merangkumi kawasan seluas lebih 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.3 juta penduduk, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk Malaysia. 

Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.

 

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Tengku Mazlinda Tengku Mahmood

Pengurus, Perhubungan Media 

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)

Tel: 03-2035 0182 / 010-408 1085

Emel: mazlinda@ecerdc.com.my