PROGRAM-PROGRAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN ECER MEMBERI IMPAK DI MERSING

Masa depan yang cerah buat para peserta dengan penambahbaikan tahap pendapatan dan pewujudan lebih banyak peluang keusahawanan

 

MERSING, JOHOR, 6 FEBRUARI: Program-program pembangunan modal insan yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor telah memperkasakan rakyat di ECER untuk mendapat manfaat dan menyumbang ke arah transformasi ekonomi yang berterusan di Wilayah tersebut.

Program-program pembangunan modal insan ECERDC seperti empower ECER dan entrepreneur ECER membantu meningkatkan peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk rakyat dengan memberikan kemahiran-kemahiran yang bernilai tinggi. Antaranya adalah program pengukuhan akademik, program peningkatan kemahiran yang didorong industri dan kursus latihan kemahiran komprehensif yang menyasarkan peningkatan keupayaan rakyat dalam menjana pendapatan. Program-program ini adalah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), yang bertujuan untuk membolehkan pertumbuhan yang saksama, inklusif dan mapan di seluruh Malaysia.

Sejak program empower ECER dilancarkan di Mersing pada 2013, sebanyak 3,100 orang peserta yang kebanyakannya daripada golongan B40 telah menerima manfaat. Pada tahun 2019, 177 peserta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER telah menjadi usahawan. Majoriti daripada mereka memperoleh pendapatan bulanan antara RM1,000 ke RM5,000 malah mereka turut mewujudkan lebih 160 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Program entrepreneur ECER menumpukan kepada peningkatan prestasi  usahawan-usahawan sedia ada melalui kolaborasi bersama SIRIM dalam pembangunan produk, pembungkusan, pelabelan, penjenamaan, pensijilan MeSTI dan Halal; manakala kolaborasi bersama Maybank dan Agrobank sebagai rakan strategik membolehkan pembiayaan mudah di mana ECER membiaya 50% daripada kadar faedah. Sehingga kini, ECERDC telah melahirkan seramai 388 usahawan mikro dan IKS, di mana 60% daripada mereka kini beroleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000, 38% berpendapatan antara RM10,000 hingga RM100,000 manakala 2% teratas merekodkan pendapatan melebihi RM100,000.

“Pada tahun 2019, program Latihan Akademik empower ECER telah membantu 200 pelajar berprestasi rendah memperbaiki pencapaian akademik mereka. Hasilnya, 72% telah Mencapai Tahap Minimum (MTM) berbanding 16% MTM sebelum menyertai program. Pencapaian ini adalah amat signifikan oleh itu, saya berharap  program ini akan diteruskan untuk manfaat warga ECER, terutamanya di Mersing,” kata Menteri Besar Johor, YAB Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika Majlis Konvokesyen dan Anugerah Usahawan empower ECER Mersing di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim hari ini.

Konvokesyen tersebut diadakan untuk peserta-peserta yang telah melengkapkan program empower ECER manakala majlis penyampaian anugerah bagi mengiktiraf peserta empower ECER Mersing yang paling berjaya dan juga peserta yang mendapat keputusan cemerlang bagi UPSR 2019.

Di majlis tersebut, tiga (3) usahawan menerima Anugerah Usahawan empower ECER dan empat (4) peserta menerima Anugerah Juara empower ECER bagi pencapaian mereka dalam UPSR 2019. Sijil dan anugerah tersebut disampaikan oleh YAB Menteri Besar.

Mursina Binti Zainuddin, salah seorang peserta program dan penerima anugerah utama iaitu Anugerah Usahawan Gemilang empower ECER telah berjaya meningkatkan taraf hidup keluarganya. Beliau yang kini menjalankan perniagaan sate sejuk beku dan katering yang berjaya telah menyertai kursus Bijak Niaga @ MyBusiness di bawah program empower ECER, di mana beliau telah mempelajari kemahiran keusahawanan dan memulakan semula perniagaan sate keluarganya hanya berbekalkan resepi keluarga. Perniagaan sate tersebut mendapat keuntungan kira-kira RM2,000 sebulan ketika diuruskan oleh bapanya. Namun kini, Mursina memperoleh pendapatan lebih daripada RM12,000 sebulan dengan kemahiran yang dipelajari daripada program empower ECER. Kejayaan Mursina bukan sahaja mengubah nasib keluarganya, malah turut memberikan kesan limpahan kepada komuniti setempat kerana beliau kini mempunyai lima orang pekerja untuk membantu beliau menjalankan perniagaannya.

“Saya amat bersyukur dengan adanya program empower ECER. Saya bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup keluarga, saya juga dapat membantu penduduk-penduduk dalam komuniti ini dengan menyediakan peluang pekerjaan,” kata bekas kerani tersebut.

Seorang lagi penerima Anugerah, Muhammad Farid Izzudin Bin Malikhazulkifli kini menguruskan kantin di Politeknik Mersing selepas menyertai program empower ECER. Sebelum ini, beliau bekerja sebagai peniaga makanan di pasar malam. Kini, beliau memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 sebulan hasil daripada perniagaannya dan mempunyai lapan orang pekerja.

“Saya berasa amat gembira menerima anugerah pada hari ini. Sejak dahulu lagi, saya ingin menceburi bidang perniagaan dan kursus ini telah mengajar saya banyak perkara mengenai cara-cara untuk menjalankan sebuah perniagaan yang berjaya. Saya bercita-cita untuk mengembangkan lagi perniagaan saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ECERDC di atas bantuan dan bimbingan yang telah diberikan kepada saya,” kata Muhammad Farid, penerima Anugerah Usahawan Muda empower ECER.

Setakat ini, lebih daripada 100,000 rakyat di ECER telah menerima manfaat daripada program-program pembangunan modal insan ECERDC. Hampir 95% daripada mereka tergolong dalam komuniti B40, yang mana 70% merupakan golongan belia dan 70% adalah peserta wanita. Ini mencerminkan pendekatan ECERDC yang inklusif dalam memperkasakan rakyat.

“Meningkatkan kesejahteraan rakyat di ECER sentiasa menjadi fokus kesemua projek dan program ECERDC. Kami akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor dan agensi-agensi yang berkenaan untuk melaksanakan program pembangunan modal insan seperti yang digariskan di dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) bagi memperkasakan rakyat demi memastikan pertumbuhan yang mampan dan saksama di ECER. Pencapaian peserta-peserta ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk terus menjalankan program pembangunan modal insan yang berimpak tinggi ini. Kami ingin memastikan bahawa tiada yang ketinggalan dalam transformasi sosioekonomi Wilayah ini,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Majlis Konvokesyen dan Anugerah Usahawan empower ECER Mersing ini diadakan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Johor yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Johor pagi ini.

ECER kini dalam fasa lonjakan seterusnya dengan pelaksanaan EMP 2.0, yang bertujuan untuk mentransformasi Wilayah ini menjadi ekonomi yang dipacu oleh produktiviti dan bernilai tambah tinggi menjelang tahun 2025. Untuk meningkatkan lagi pembangunan sosioekonomi di daerah ini, program-program pembangunan modal insan ECERDC telah dirangka khusus bagi menyokong aktiviti-aktiviti pelancongan di Mersing, sekaligus membolehkan rakyat, terutama sekali golongan berpendapatan rendah untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang terhasil daripada limpahan ekonomi di Mersing.

Di bawah EMP 2.0, bagi sektor pelancongan di Mersing, inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah semulajadi akan diteruskan melalui konsep ekopelancongan “Hutan Hujan ke Terumbu Karang” (R2R) ECER. Projek-projek utama yang akan memberi impak kepada rakyat di Mersing adalah pembangunan Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) di Pulau Besar dan pembangunan Pelancongan Kampungstay Air Papan. Pembinaan PIPTLSI dijangka siap pada suku ketiga tahun ini manakala pembangunan Pelancongan Kampungstay Air Papan sedang berada dalam fasa reka bentuk di mana pembinaan juga dijangka akan bermula pada suku ketiga tahun ini.

PIPTSLI akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi kepulauan Mersing dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan di bawah satu bumbung seperti kaunter maklumat, pusat pameran, surau, klinik, balai polis dan sebuah kafeteria yang mempunyai pemandangan laut,  manakala Kampungstay Air Papan pula akan mentransformasi inap desa tradisional kepada Pelancongan Berasaskan Komuniti selaras dengan kajian oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Projek-projek lain di dalam perancangan adalah Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau Mersing (EMFPP) yang akan menyediakan platform untuk Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) berasaskan ikan untuk menaik taraf perniagaan mereka; dan Lembah Tenusu Jemaluang, sebuah pembangunan industri tenusu bersepadu yang dijangka akan menyumbang 11% kepada pengeluaran susu negara. Projek ini dijangka akan membawa masuk pelaburan sebanyak RM30 juta, mewujudkan 200 peluang pekerjaan dan membangunkan 30 usahawan Agro.

“Meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi peluang pekerjaan dan keusahawanan merupakan ciri utama dalam projek-projek pembangunan dan program-program ECERDC di Mersing. Dengan asas kukuh yang dibina sepanjang sepuluh tahun yang lalu, kami akan terus meningkatkan kebolehan rakyat untuk  mengambil bahagian dan menyumbang kepada kemakmuran wilayah ini, selaras dengan EMP 2.0 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 Kerajaan,” kata Encik Baidzawi.

– TAMAT –

Mengenai ECER dan ECERDC

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan halatuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Wilayah ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.

Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun sebagai destinasi yang unik, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan. Ia merangkumi kawasan seluas lebih 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.3 juta penduduk, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk Malaysia.

Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)

Tel: 03-2035 0182 / 010-408 1085

Emel: mazlinda@ecerdc.com.my