TERENGGANU CATAT PERTUMBUHAN PELABURAN YANG KUKUH

Tarik pelaburan bernilai RM700 juta pada tahun 2019 yang mewujudkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan.

 

KUALA TERENGGANU, TERENGGANU, 11 FEBRUARI 2020: Model pembangunan bersepadu Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Terengganu telah meningkatkan keyakinan pelabur dan menarik pelaburan komited bernilai RM700 juta. Pertumbuhan pesat dalam sektor pertanian merupakan penyumbang utama kepada prestasi pelaburan yang kukuh ini dengan merangkumi 54% daripada keseluruhan pelaburan komited, diikuti oleh sektor pembuatan (24%) dan pelancongan (22%).

“Aktiviti pelaburan yang rancak merupakan pemacu utama bagi prestasi kukuh ekonomi Negeri Terengganu. Apa yang menarik mengenai prestasi ekonomi tahun lalu adalah sektor pertanian merekodkan pelaburan yang terbesar, bukan sektor pembuatan mahupun pelancongan. Ini menunjukkan bahawa Terengganu kini menjadi destinasi pelaburan yang menarik untuk pelbagai sektor bagi pelabur domestik dan asing. Perkara ini sekaligus memacu ekonomi tempatan menerusi pewujudan pekerjaan untuk rakyat dan peluang perniagaan bagi komuniti setempat,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu hari ini. Mesyuarat ICC tersebut dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu.

Antara tahun 2007 dan Disember 2019, Terengganu telah berjaya memperoleh pelaburan domestik dan asing bernilai lebih daripada RM34.7 bilion menerusi projek-projek dan program-program ECERDC. Hasilnya, lebih daripada 34,000 peluang pekerjaan dan 3,700 peluang keusahawan telah diwujudkan untuk rakyat.

“Bagi meneruskan momentum ini, ECERDC akan menumpukan kepada inisiatif-inisiatif penarikan pelaburan dalam sektor-sektor lain seperti peralatan perubatan, petrokimia, bahan kimia khusus, mineral industri, tenaga boleh diperbaharui, perniagaan tani dan pelancongan dengan memanfaatkan kelebihan Terengganu dalam sumber semula jadi dan pulau-pulaunya yang cantik,” kata Encik Baidzawi.

Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC dan Kerajaan Negeri Terengganu juga telah membangunkan beberapa projek yang telah menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan di Terengganu, termasuk jambatan angkat ikonik di Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) yang telah disiapkan pada tahun 2019. Menyambungkan Muara Selatan dan Muara Utara, projek ini telah menjadi destinasi pelancongan ikonik baharu dan memacu sektor pelancongan di Terengganu. Selain itu, projek ini juga menyokong industri-industri hiliran marin di sekitar Pulau Duyong.

“Kami akan menggiatkan usaha untuk memastikan Terengganu kekal menjadi destinasi pelaburan yang menarik di ECER. ECERDC kekal komited untuk merealisasikan sasaran pelaburan kami iaitu untuk menarik RM70 bilion lagi ke ECER menjelang tahun 2025 seperti yang digariskan dalam Pelan Induk ECER 2.0. Daripada RM70 bilion tersebut, Terengganu dijangka untuk menarik pelaburan sebanyak RM26 bilion, mewujudkan 36,600 peluang pekerjaan dan 15,550 usahawan menjelang tahun 2025. Sasaran ini akan dicapai dengan formula kami iaitu menerusi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi dan program-program pembangunan modal insan strategik. Kami akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi negeri Terengganu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan PETRONAS untuk menarik pelaburan-pelaburan swasta yang boleh menjana pekerjaan berkualiti untuk warga tempatan, di samping mengukuhkan potensi wilayah ini sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan dinamik,” kata En. Baidzawi.

Pembangunan modal insan merupakan satu lagi elemen yang kritikal dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. Program-program pembangunan modal insan inklusif ECERDC seperti empower ECER dan entrepreneur ECER membantu meningkatkan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk rakyat dengan memberikan mereka kemahiran yang diperlukan oleh industri. Program-program ini adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang bermatlamat untuk membolehkan pertumbuhan yang saksama, inklusif dan mampan di seluruh Malaysia.

Malahan, majlis konvokesyen dan penyampaian anugerah yang diadakan pada hari ini dianjurkan bagi meraikan kejayaan peserta-peserta program empower ECER di Terengganu. Keseluruhannya, seramai 800 orang peserta menerima sijil tamat kursus Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER. Di majlis tersebut, 11 orang peserta menerima Anugerah Usahawan empower ECER sebagai pengiktirafan di atas pencapaian mereka yang amat baik manakala seramai 15 orang peserta Latihan Akademik empower ECER menerima Anugerah Juara empower ECER kerana mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR 2019.

Anugerah utama diberikan kepada Norhasimah Abd Ghani, pemenang Anugerah Usahawan Gemilang empower ECER. Norhasimah kini mempunyai kilang produk sejuk beku sendiri untuk produk utamanya, ketupat palas, dan memperoleh pendapatan lebih daripada RM21,000 sebulan. Dengan bantuan 4 orang pekerja, beliau berupaya menghasilkan antara 30,000 ke 40,000 ketupat palas berbagai perisa setiap bulan. Produk ketupatnya telah mendapat pensijilan Halal dan kini turut dijual di Singapura dan juga Arab Saudi.

Salah seorang daripada penerima Anugerah Juara empower ECER iaitu Muhammad Qaedi Sidqi Bin Mohd Nasir. Anak seorang nelayan di Kuala Nerus, Qaedi telah mendapat keputusan 6A dalam peperiksaan UPSR. Keputusan beliau merupakan perubahan yang drastik berbanding keputusan sebelum menyertai program empower ECER iaitu 2B, 3C dan 1E.

Selain daripada program empower ECER, ECERDC juga telah melaksanakan program-program pembangunan modal insan yang lain seperti entrepreneur ECER untuk membantu usahawan mikro, kecil dan sederhana dan peserta Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP) untuk melahirkan pekerja mahir dalam kalangan warga setempat untuk memenuhi keperluan para pelabur.

Pada tahun 2019 sahaja, Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER dan program-program entrepreneur ECER yang dilaksanakan di Terengganu telah mewujudkan seramai 426 usahawan dan 959 peluang pekerjaan untuk rakyat dengan purata gaji bulanan sebanyak RM2,000. Program Latihan Akademik pula telah memberi bimbingan kepada 1,518 pelajar berprestasi rendah untuk meningkatkan pencapaian mereka dalam bidang akademik, dengan Mencapai Tahap Minimum (MTM) 76%. Sebelum pelajar melibatkan diri dalam program Program Latihan Akademik, MTM yang dicapai hanyalah 38%.

“Melihat kepada impak program-program ini kepada komuniti-komuniti tempatan telah mendorong kami untuk terus meningkatkan kapasiti rakyat. Program empower ECER mempunyai rekod prestasi yang baik, justeru itu kami akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Terengganu dan agensi-agensi lain yang relevan untuk melaksanakan program-program pembangunan modal insan inklusif ECERDC bagi mempertingkatkan kualiti hidup rakyat dan menjadikan mereka lebih yakin untuk melibatkan diri dan menyumbang kepada kemakmuran Wilayah ini,” tambah Encik Baidzawi.

 

– TAMAT –

Mengenai ECER dan ECERDC

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan halatuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Wilayah ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.

Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun sebagai destinasi yang unik, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan. Ia merangkumi kawasan seluas lebih 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.3 juta penduduk, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk Malaysia.

Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.