ECERDC BANTU USAHAWAN DI ECER MENGADAPTASI PERNIAGAAN DENGAN NORMAL BAHARU

Program Bantuan Segera COVID-19 dilancarkan untuk kurangkan kesan kewangan terhadap para usahawan mikro dan PKS

PUTRAJAYA, 7 JUN 2020: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah meningkatkan usaha untuk membantu mengurangkan impak ekonomi terhadap rakyat di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akibat pandemik COVID-19 dan membantu usahawan mengadaptasi perniagaan mereka dengan ‘normal baharu’.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah program latihan dan peningkatan kemahiran bagi para usahawan mikro dan komuniti B40 di Wilayah ini untuk menjalankan perniagaan serta menawarkan produk dan perkhidmatan mereka secara atas talian. Selain itu, ECERDC juga telah melaksanakan program bantuan segera COVID-19 dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor serta rakan-rakan strategik dan institusi kewangan bagi meringankan impak kewangan akibat krisis global ini.

“Kesejahteraan dan kebajikan rakyat di ECER sentiasa menjadi keutamaan kami. Penularan wabak COVID-19 sememangnya telah memberi impak yang besar kepada semua lapisan masyarakat terutama sekali komuniti B40 di Wilayah ini. Ini adalah kerana komuniti B40 mempunyai pendedahan dan pengetahuan yang terhad mengenai ekonomi digital ,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC semasa sidang media selepas menyampaikan taklimat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal ekonomi, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed berhubung pembangunan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur bertempat di Taman Industri Halal Pasir Mas hari ini.

“Situasi yang dihadapi sekarang membuktikan kepentingan pengetahuan digital di mana kebanyakan syarikat telah beralih ke model perniagaan atas talian untuk memastikan perniagaan mereka terus bertahan. Kami sedang mempertingkatkan usaha untuk menyediakan peralatan, kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan oleh rakyat bagi menyesuaikan perniagaan dan juga pekerjaan mereka mengikut model atas talian supaya mereka dapat mencari pendapatan dalam keadaan yang mencabar ini.”

“ECERDC telah membantu usahawan menjual produk mereka menerusi platform atas talian seperti Shopee dan Lazada, dan ada diantara mereka telah merekodkan peningkatan jualan walaupun dalam tempoh PKP. Kami juga telah mula mendaftar para usahawan dengan Odamakan @ ECER, sebuah platform jualan makanan atas talian yang membolehkan para pelanggan memesan makanan kegemaran mereka dan dihantar kepada mereka dengan cepat. Setakat ini, kami telah mendaftar usahawan-usahawan di lima (5) jajahan di Kelantan (Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Mas, Machang dan Ketereh). Para usahawan ini merupakan peniaga-peniaga yang beroperasi di rumah, pemilik-pemilik restoran dan gerai makanan. Para pelanggan berpeluang memilih pelbagai jenis makanan melalui platform ini,” tambahnya lagi.

Inisiatif Digital

Walaupun ECERDC berdepan dengan cabaran dan pandemik yang mengganggu keseluruhan kemajuan ekonomi oleh ECERDC, namun banyak usahawan telah menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Kebanyakan peserta empower ECER dan entrepreneur ECER kini berjaya menggunakan platform digital untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Sebelum PKP, kebanyakan daripada usahawan-usahawan ECER menggunakan media sosial untuk mempromosikan produk mereka. Akan tetapi, dengan bantuan ECERDC mereka kini beralih ke ekonomi digital dengan memanfaatkan platform pemasaran domestik dan antarabangsa seperti Shopee dan Lazada, serta platform penghantaran sedia ada seperti OdaMakan, GetRunner dan Sama Sama Lokal oleh Maybank. Selain daripada mendaftarkan usahawan sebagai penjual di platform-platform ini, ECERDC juga menggalakkan mereka untuk menjadi penghantar (rider).

Setakat ini, seramai 500 usahawan sudah menjalankan perniagaan menerusi Shopee dan Lazada. ECERDC menyasarkan untuk membantu mendaftar seramai 1,300 usahawan menjelang September. Manakala, seramai 566 usahawan pula telah berdaftar dengan platform-platform penghantaran dan ECERDC menyasarkan untuk mendaftar 800 lagi penjual menjelang September.

ECERDC juga sedang meningkatkan kemahiran para usahawan dengan mengadakan latihan e-dagang dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membantu mereka meneruskan dan mempertingkatkan lagi perniagaan. ECERDC juga berkolaborasi dengan pengagregat seperti eLokal untuk memudahkan penjualan produk menerusi platform-platform atas talian bagi para usahawan yang mempunyai pengetahuan digital yang terhad. Pada masa yang sama, bagi meningkatkan kesedaran dan membantu usahawan untuk beralih ke perniagaan berasaskan digital, ECERDC menerusi kolaborasi bersama rakan-rakan strategik sedang mengadakan sesi perkongsian pengetahuan dalam bentuk webinar.
Baru-baru ini, sebuah bengkel telah diadakan dengan kerjasama MDEC untuk membantu usahawan menjadi penjual dan penghantar (rider) bagi platform-platform penghantaran sedia ada. Bengkel ini dijalankan dengan jayanya dengan penyertaan lebih 200 orang peserta. Ia merupakan sesi webinar yang pertama daripada empat siri yang akan berlangsung sehingga awal bulan Julai.

Antara peserta yang telah mendapat manfaat daripada inisiatif-inisiatif ini adalah Anwar Fathiyyudin bin Mohd Ariffin, 20, yang kini menawarkan perkhidmatan membaiki telefon secara on-call. Selain itu, Anwar turut menyediakan perkhidmatan penghantaran di kawasan Guchil, Kuala Krai. Seorang lagi usahawan iaitu pengusaha restoran di Kampung Telaga, Mazurah Bt Abd Lah, 45, telah mengubah perniagaan beliau kepada penghantaran piza dan makanan barat bagi meneruskan perniagaan.

Tindakan pantas ECERDC dalam membantu rakyat beralih ke digital dapat dilaksanakan disebabkan asas transformasi digital Wilayah ini telah pun dirangka dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0). Sepanjang dua tahun lalu, ECERDC telah menerajui transformasi digital Wilayah ini menerusi ACES yang merupakan kerjasama antara TUM International GMBH (TUM) dari Jerman dan ECERDC. PKP telah mempercepatkan penggunaan platform atas talian oleh rakyat dalam menjalankan perniagaan mereka.

Memberi Sokongan kepada Rakyat dan Para Pelabur dalam Normal Baharu

Selain membantu rakyat melangkah masuk ke era digital, ECERDC turut melaksanakan bantuan segera jangka pendek untuk mengurangkan impak kewangan yang dihadapi oleh para usahawan mikro, PKS dan pelabur yang terjejas akibat pandemik COVID-19 di Wilayah ini.
ECERDC telah melancarkan program bantuan segera untuk meringankan beban kewangan usahawan mikro dan PKS di Wilayah ini. Di bawah pakej rangsangan Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kerajaan telah menetapkan kadar faedah pinjaman PKS pada hanya 3.5%. ECERDC dengan kerjasama Agrobank dan Maybank, akan membayar 50% daripada kadar faedah ini bagi membantu usahawan mikro dan PKS yang dibangunkan oleh ECERDC.

ECERDC turut membantu usahawan-usahawan mikro untuk memohon Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama rapat rakan-rakan strategik seperti Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

ECERDC dan rakan-rakan strategik bekerjasama dengan usahawan-usahawan mikro tempatan ini untuk membantu mendaftar perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi membolehkan mereka memohon bantuan kerajaan.
“Kami akan terus mengenal pasti peluang untuk bekerjasama dengan semua rakan-rakan strategik kami untuk meningkatkan kemahiran komuniti-komuniti di ECER dan merapatkan jurang digital di wilayah ini. Kami juga akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan strategik kami untuk melancarkan lebih banyak program dan inisiatif bagi membantu rakyat di ECER untuk pulih daripada impak ekonomi pandemik COVID-19,” tambah Encik Baidzawi Che Mat lagi.

– TAMAT –


Tentang ECER dan ECERDC
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan halatuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Wilayah ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.

Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun sebagai destinasi yang unik, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.

Ia merangkumi kawasan seluas lebih 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.3 juta penduduk, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk Malaysia. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.

Nota:
empower ECER dan entrepreneur ECER ialah program pembangunan modal insan dan keusahawanan yang diperkenalkan oleh ECERDC untuk membangunkan komuniti dan tenaga kerja tempatan di ECER bagi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam kemajuan Wilayah ini. ECERDC kini sedang menyusun semula program-program bagi memastikan para peserta memiliki keupayaan yang sesuai bagi menghadapi normal baharu.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0182 / 010-408 1085
e-mel: mazlinda@ecerdc.com.my