ECERDC UMUM PELANTIKAN KEPIMPINAN BAHARU En. Baidzawi Che Mat dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Dato’ Ragu Sampasivam sebagai Ketua Pegawai Operasi

KUALA LUMPUR, 5 MAC 2019: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan En. Baidzawi Che Mat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bermula dari 4 Mac 2019. En. Baidzawi mengambil alih kepimpinan Datuk Seri Jebasingam Issace John yang kini bertugas sebagai Ketua Eksekutif di Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Sebagai CEO, En. Baidzawi akan bertanggungjawab dalam memberi bimbingan strategik dan pemantauan ke atas pelaksanaan projek-projek dan program-program ECERDC di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Pengalaman beliau selama hampir tiga dekad dalam pengurusan kewangan di dalam sektor minyak dan gas di Malaysia dan antarabangsa, serta kepimpinan dan pengalaman En. Baidzawi jelas menunjukkan bahawa beliau sememangnya amat bersesuaian untuk menerajui ECERDC ke peringkat seterusnya. En. Baidzawi telah menyertai ECERDC pada tahun 2016 sebagai Pengurus Besar Bahagian Kewangan.

ECERDC turut mengumumkan pelantikan Dato’ Ragu Simpasivam sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO). Dato’ Ragu mula berkhidmat dengan ECER sejak penubuhannya pada tahun 2008 sebagai Pengurus Kanan dalam Bahagian Pengurusan Risiko. Kemudian, beliau telah dilantik untuk mengetuai Bahagian Perancangan Korporat Stategik sebagai Pengurus Besar.

Di bawah kepimpinan En. Baidzawi dan Dato’ Ragu, ECERDC yakin bahawa pembangunan sosioekonomi ECER akan dapat terus dirancakkan lagi menerusi kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi Kerajaan Negeri. Ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan dalam memastikan pembangunan yang seimbang, inklusif dan mampan di Malaysia.

Pihak Majlis, Pengurusan dan warga ECERDC turut ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada Datuk Seri Issace atas kepimpinan dan bimbingan strategik beliau sejak penubuhan ECERDC pada tahun 2008. Datuk Seri Issace telah mengetuai satu pasukan khas untuk menyediakan Pelan Induk ECER, yang menggariskan tema khusus serta projek-projek dan program-program strategik dan pemangkin untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat. Susulan itu, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC yang pertama.

 

-TAMAT-