LOJI RAWATAN AIR GANCHONG BAKAL BEROPERASI PADA MAC 2017
Loji penuhi keperluan air terawat untuk industri dan pembangunan baru

KUANTAN, PAHANG, 6 SEPTEMBER 2016 – Loji Rawatan Air (LRA) Ganchong di Pekan dijangka siap dan mula beroperasi pada bulan Mac 2017 dan akan memenuhi keperluan bekalan air bersih terawat untuk kegunaan industri, komersial dan domestik di kawasan Peramu, Pahang Tua dan Kuala Pahang.

Loji yang kini sudah 85% siap akan mempunyai keupayaan untuk menghasilkan 80 juta liter air terawat setiap hari. Jumlah ini diyakini mampu memenuhi keperluan industri dan pengguna di sini untuk tempoh sepuluh tahun yang akan datang sehingga tahun 2025. Permintaan air bersih telah meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini berikutan pembangunan pesat yang dialami di wilayah ini.

“Bekalan air bersih yang dihasilkan  pada masa ini adalah tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan yang  semakin meningkat dari kawasan perindustrian di Peramu, Pahang Tua dan Kuala Pahang. Pada tahun 2015, permintaan di kawasan ini dianggarkan sebanyak 47.67 juta liter sehari manakala kapasiti semasa yang dihasilkan oleh loji rawatan air sedia ada di Peramu dan Sekor masing-masing hanya 20.25 juta liter dan 19.68 juta liter setiap hari. Oleh itu, kita jangkakan apabila Loji Rawatan Air Ganchong mula beroperasi pada tahun 2017, masalah kekurangan bekalan air akan dapat diseleasaikan dan ini akan  membantu merancakkan lagi aktiviti-aktiviti perindustrian di kawasan terbabit,” kata YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Taklimat mengenai kemajuan projek LRA Ganchong telah dibentangkan dalam mesyuarat Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob hari ini.

Selain itu, ECERDC dan Kerajaan Negeri Pahang turut merancang untuk menambah kapasiti pengeluaran LRA Ganchong sebanyak dua kali ganda kepada 160 juta liter sehari. Projek ini akan meningkatkan jumlah bekalan air bersih ke kawasan pembangunan sedia ada dan pembangunan baru di Rompin dan Nenasi menjelang 2018.

“Negeri Pahang telah mengalami pertumbuhan sosioekonomi yang pesat dengan kemasukan ramai pelabur, industri dan juga penduduk ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Hasil pembangunan ini, permintaan terhadap air terawat juga turut meningkat untuk memenuhi keperluan industri serta pertumbuhan kawasan pembangunan yang baru dan yang sedia ada,” tambah Datuk Seri Issace.

Pembinaan LRA Ganchong merupakan antara salah sebuah projek infrastruktur utama di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMKe-10) sebagai pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan dan pembangunan ekonomi di Wilayah ini yang akan memberi manfaat kepada rakyat melalui penyediaan peluang ekonomi dan peningkatan taraf hidup mereka.

PRESTASI PELABURAN YANG KUKUH

Dari segi pelaburan, sehingga bulan Julai 2016, negeri Pahang telah berjaya menarik pelabur ke negeri ini dan menjana pelaburan sebanyak RM47.7 bilion yang telah mewujudkan lebih dari 48,325 peluang pekerjaan kepada rakyat. Ini adalah hasil daripada infrastruktur strategik, projek serta program berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC untuk membawa masuk pelaburan ke negeri Pahang, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat di sini.

Sementara itu, empat buah taman perindustrian di negeri ini iaitu Taman Industri Kuantan Malaysia-China (Malaysia-China Kuantan Industrial Park atau MCKIP), Taman Halal Gambang, Taman Automotif Pekan dan Taman Bio Bersepadu Kuantan terus menjadi pemacu utama pelaburan di negeri ini. Secara kolektif, taman-taman perindustrian ini telah menerima pelaburan yang diluluskan berjumlah RM12.5 bilion bagi tempoh antara 2007 sehingga Julai 2016, dan seterusnya dijangka mewujudkan sebanyak 13,760 peluang pekerjaan. MCKIP mendahului senarai dengan menarik masuk hampir RM11.1 bilion pelaburan yang diluluskan dan mewujudkan 12,415 peluang pekerjaan untuk Rakyat.

Manakala itu, sektor pelancongan di Pahang turut berkembang rancak dengan beberapa pelaburan baru yang diluluskan berjumlah RM61.6 juta termasuk pembinaan sebuah resort bertaraf empat bintang di Kuala Rompin oleh Lanjut Golf Sdn. Bhd. dan sebuah hotel baru di Kuantan oleh Skytree Hotel Sdn. Bhd. Kedua-dua projek pembangunan ini dijangka akan mewujudkan hampir 200 peluang pekerjaan.

Sektor IKS (Industri Kecil dan Sederhana) Bumiputera juga telah menyumbang kepada pertumbuhan pelaburan di Pahang berikutan peningkatan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi tempatan. Sehingga kini, sebanyak 35 buah syarikat Bumiputera dari Pahang telah mendapat pelbagai manfaat daripada insentif yang disediakan oleh ECERDC menerusi program TERAJU@ECER. Pelaburan yang diluluskan daripada syarikat-syarikat ini berjumlah RM6.88 bilion dan dijangka dapat mewujudkan 3,841 peluang pekerjaan. Menerusi program Dana Mudahcara TERAJU@ECER, sebanyak 14 projek telah diterima antara tahun 2012 hingga Julai 2016, dengan pelaburan berjumlah RM358.4 juta bertumpu kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan.

PEMBANGUNAN YANG INKLUSIF DAN MAMPAN DI PAHANG

Selaras dengan model ekonomi baru Malaysia yang memberi tumpuan yang saksama kepada ekonomi berlandaskan modal dan ekonomi berlandaskan rakyat, ECERDC telah meneruskan program pembangunan modal insan yang memberi tumpuan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan bawah 40% (B40).

Sehingga kini, seramai 34,638 orang telah mendapat manfaat termasuk 7,460 usahawan mikro yang dipupuk menerusi program-program pembangunan modal insan. Para usahawan mikro ini seterusnya telah menjana lebih daripada 10,444 peluang pekerjaan baru untuk masyarakat setempat yang membuktikan hasil faedah limpahan daripada inisiatif pembangunan modal insan tersebut.

Baru-baru ini, seramai 12 orang usahawan telah diberi peluang untuk memulakan perniagaan mereka di Kompleks Hasil Laut dan Medan Ikan Bakar di Kuala Pahang. Projek yang siap pada April 2016 yang lepas dijadual akan mula beroperasi pada Oktober 2016.

ECERDC juga turut bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)  untuk memastikan projek-projek Agropolitan terus menyokong ekonomi tempatan selain meneruskan usaha membangunkan pelbagai projek di enam buah daerah yang sebelum ini dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ).

“Kami akan terus melaksanakan projek-projek infrastruktur berimpak tinggi di Pahang di bawah Rancangan Malaysia ke-11 bagi memastikan pelaburan dan sumber manusia yang sewajarnya dapat dibawa masuk ke ECER.  Matlamat utama kami adalah untuk memajukan taraf sosioekonomi ECER selaras dengan Dasar Transformasi Negara,” jelas Datuk Seri Issace.