PELAJAR empower ECER DIPERSIAPKAN UNTUK MERAIH KECEMERLANGAN DALAM SPM Pelajar berpendapatan rendah di ECER yakin untuk mencapai kejayaan dengan sesi akademik dan motivasi ECERDC yang holistik

8 NOVEMBER 2018, KUALA LUMPUR: Sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula pada 13 November 2018, lebih daripada 2,500 pelajar Tingkatan 5 dari 105 buah sekolah di Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor sudah bersiap sedia untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang selepas mengikuti program Latihan Akademik empower ECER tahun ini.

Program empower ECER merupakan sebuah inisiatif oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan-rakan strategik, termasuk universiti-universiti tempatan dan organisasi bukan kerajaan. Usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi inklusif dan saksama Kerajaan dalam memastikan generasi muda di negeri-negeri Pantai Timur, khususnya pelajar berprestasi rendah yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah, mampu mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Pencapaian ini seterusnya akan membuka peluang kepada mereka untuk melanjutkan pendidikan dan memperoleh kejayaan dalam kerjaya mereka, bagi mencapai mobiliti sosial yang lebih baik pada masa akan datang.


Pelbagai aktiviti, seperti kursus akademik, motivasi dan kepimpinan yang disediakan untuk membimbing pelajar empower ECER.

 

Menyedari cabaran-cabaran akademik yang dihadapi oleh pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, program empower ECER menggunakan pendekatan khusus dan menyeluruh untuk membantu para peserta mencapai keputusan akademik yang lebih baik. Selain daripada kelas tuisyen bagi subjek-subjek teras, kursus motivasi dan kepimpinan turut ditawarkan bagi menambah baik kemahiran interpersonal dan meningkatkan semangat pelajar untuk mengecapi kejayaan. Bagi menggalakkan penglibatan aktif pelajar, program ini menggunakan kaedah pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan, serta disokong oleh penglibatan aktif tenaga pengajar dan ibu bapa.


Nurul Nadhirah, peserta empower ECER, bersama ahli keluarganya dan di sekolah.

 

Nurul Nadhirah bt Mohd Nor dari Tanah Merah, Kelantan, merupakan salah seorang daripada peserta empower ECER yang mana keluarganya menyara hidup dengan pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan. Pada tahun lalu, Nurul memperoleh 3A dalam peperiksaan akhir tahun. Walaupun diduga dengan kesempitan hidup, pelajar SMK Dato’ Mahmod Paduka Raja 1 ini gigih menghadiri kelas tuisyen, serta kursus motivasi dan jati diri di bawah program empower ECER. Hasilnya, Nurul telah berjaya mempertingkatkan prestasi pelajaran dan meraih keputusan 7A dalam peperiksaan percubaan SPM baru-baru ini. Nurul berazam untuk memperoleh keputusan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan SPM dan melanjutkan pelajaran ke universiti, sekaligus meningkatkan peluangnya untuk mendapat kerjaya yang berkualiti agar beliau dapat mengubah nasib keluarganya.


Menyedari kepentingan pendidikan, Fatin Nur Ain, pelajar dari SMK Ungku Husin, bercita-cita untuk menjadi guru dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

 

Fatin Nur Ain binti Kamaruddin percaya bahawa kemiskinan tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Berkat motivasi dan galakan yang diberikan oleh fasilitator empower ECER, pelajar SMK Ungku Husin, Mersing, Johor ini meluangkan sekurang-kurangnya 5 jam sehari selepas waktu persekolahan untuk mengulang kaji pelajaran. Fatin Nur telah berjaya memperoleh 6A dalam peperiksaan percubaan SPM barubaru ini setelah melibatkan diri dalam program empower ECER, berbanding keputusan sebelum ini iaitu 3A. Dengan memperoleh keputusan yang cemerlang, beliau berharap untuk memenuhi cita-citanya untuk menjadi seorang guru dan meringankan beban ibu bapanya di samping menyumbang kembali kepada masyarakat melalui pendidikan.

Pencapaian Nurul dan Fatin Nur merupakan antara salah satu daripada kisah kejayaan program empower ECER. Di antara tahun 2010 dan 2017, program Latihan Akademik empower ECER telah memberikan impak yang besar kepada lebih daripada 51,400 pelajar berprestasi rendah di seluruh ECER, melibatkan 441 buah sekolah termasuk 18 sekolah Orang Asli. Program ini terbukti keberkesanannya, di mana sebanyak 81% daripada jumlah keseluruhan peserta telah berjaya meningkatkan prestasi mereka dalam akademik selepas mengikuti program ini. Ini akan memberi peluang kepada para peserta untuk melanjutkan pelajaran dan mencapai kejayaan yang lebih besar dalam kehidupan pada masa akan datang.

 

-TAMAT-