USAHAWAN ECER KE PERSADA ANTARABANGSA
20 usahawan dari Wilayah Ekonomi Pantai Timur bakal pasarkan produk ke negara China

NANNING, CHINA, 10 September 2016: Seramai 20 orang usahawan Bumiputera dari Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah diberi peluang keemasan untuk memasarkan produk mereka ke persada antarabangsa melalui penglibatan di pameran China-ASEAN (CAEXPO) 2016 ke-13 yang akan berlangsung di Nanning, China mulai 11 hingga 14 September ini. 20 usahawan tersebut adalah peserta entrepreneur ECER dari negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor.

Peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa di negara China yang merupakan salah sebuah pasaran terbesar dunia akan memberi impak yang positif kepada industri tempatan dari segi peningkatan peluang pelaburan dan pekerjaan di ECER. 20 orang usahawan  tersebut telah dipilih khas oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk menyertai pameran CAEXPO kali ini.

Tahun ini, ECERDC akan membuka 21 buah gerai pameran di CAEXPO dengan jumlah penyertaan delegasi, peserta dan usahawan yang teramai, yang menandakan komitmen ECERDC untuk membangunkan usahawan tempatan dari Wilayah ini. Para usahawan yang terpilih mensasarkan jumlah jualan eksport bernilai RM10 juta melalui penyertaan dalam ekspo perdagangan ini.

“Keupayaan bersaing dan seterusnya menakluki pasaran global adalah penting bagi usahawan untuk mencapai kejayaan. Usaha kami untuk memperkasakan para usahawan ke pasaran luar negara adalah selaras dengan pelan tindakan entrepreneur ECER yang mempunyai empat peringkat iaitu mikro, kecil, sederhana dan antarabangsa. Setelah berjaya mengembangkan perniagaan dan operasi mereka ke peringkat global, para usahawan ini akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di ECER,” kata YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

“Penyertaan kami di CAEXPO adalah untuk memanfaatkan hubungan kerja yang rapat dengan China serta menyediakan platform kepada para usahawan untuk mendapat pendedahan antarabangsa. Pada tahun 2015, kami telah menyaksikan pencapaian yang menggalakkan apabila enam daripada sembilan peserta entrepreneur ECER kami muncul sebagai pengeksport baru selepas menyertai CAEXPO. Secara kumulatif, mereka telah berjaya mencatat jumlah jualan sebanyak RM3 juta dan potensi jualan eksport sebanyak RM14.6 juta setahun. Hasil daripada pendedahan dan peluang antarabangsa yang didapati daripada penyertaan di CAEXPO, kami telah menambah bilangan peserta usahawan daripada enam orang kepada 20 orang pada tahun ini,” jelas Datuk Seri Issace.

CAEXPO adalah ekspo tahunan yang diadakan di negara China yang bertujuan mempromosikan kerjasama dan pembangunan antara China dan negara-negara ASEAN yang lain. 20 buah syarikat yang dipilih untuk menyertai CAEXPO 2016 telah menjalani proses pemilihan yang ketat yang ditetapkan oleh ECERDC, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), SIRIM serta Kerajaan China yang termasuk pematuhan terhadap piawaian produk makanan antarabangsa serta penjenamaan dan pembungkusan.

Bagi sesetengah usahawan, misalnya Mitra Food Industries Sdn. Bhd. dan Softa Marketing Sdn. Bhd.,penyertaan pada kali ini merupakan penyertaan mereka yang kedua. Pada tahun lepas, syarikat-syarikat tempatan ini telah berjaya mendapat kontrak eksport bernilai lebih daripada RM5 juta dan menandatangani kerjasama strategik untuk mengeksport produk mereka yang kini diiktiraf di peringkat global. Memandangkan sambutan positif dari negara China, syarikat-syarikat ini telah menginovasikan produk mereka untuk memenuhi keperluan rakan strategik serta citarasa pasaran China.

Encik Roslaimi Bin Ariffin, Pengarah Urusan Mitra Food Industries Sdn. Bhd. berkata, berikutan kejayaan yang dicapai melalui perkongsian yang dibentuk serta jualan eksport yang dijana hasil penyertaan CAEXPO sebelum ini, beliau berhasrat untuk mewujudkan tapak yang lebih kukuh di China.

“Pengalaman daripada pelbagai pameran perdagangan antarabangsa telah menunjukkan kepada kami betapa pentingnya memiliki daya tahan yang tinggi dalam bidang perniagaan, pandai menyesuaikan diri serta pantas memanfaatkan peluang untuk mengubah idea perniagaan menjadi kenyataan. Sambutan menggalakkan yang diterima daripada jualan Musang King Durian Coffee, Cappucino dan White Coffee daripada syarikat kami telah membolehkan kami mengembangkan operasi perniagaan kami dengan lebih pantas,” beliau berkata ketika ditemui di majlis pembukaan Malaysia Pavillion di Nanning International Convention and Exhibition Centre (NICEC) oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Dato’ Seri Ong Ka Chuan, di sini, hari ini.

Mengulas peluang syarikatnya menyertai ekspo perdagangan antarabangsa, Puan Shukuriah Binti Abdul Ghafar, Ketua Pegawai Eksekutif AdeqSue Resources Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang terkenal dengan produk pes ikan bakar dan sos tiga rasa berkata, “Kami teruja dengan peluang untuk meluaskan pasaran kami melalui landasan global seperti ini, terutama sekali setelah bertahun-tahun berusaha keras. Bimbingan dan latihan yang diterima melalui program entrepreneur ECER bukan sahaja memberikan kami dua teras utama dalam ekosistem keusahawanan iaitu dana dan peluang menembusi pasaran, malah nasihat tentang bagaimana kami boleh mewujudkan perniagaan yang mampan dalam menghadapi pasaran global yang sangat kompetitif.” Sepertimana peserta usahawan yang lain, Puan Shukuriah turut berkongsi bahawa pendedahan yang diterima di CAEXPO dan sokongan oleh ECERDC memberikan mereka minat serta keyakinan untuk menakluki pasaran baru di China.

ECERDC telah melaksanakan program pembangunan usahawan entrepreneur ECER dengan kerjasama daripada SIRIM dan Agrobank, yang mensasarkan usahawan tempatan di ECER yang mahu mengembangkan perniagaan mereka. Melalui program yang dijalankan oleh SIRIM, para peserta diberi panduan dan latihan tentang mutu produk, pelabelan dan penjenamaan, pensijilan Halal, pengurusan kewangan dan pemasaran. Memandangkan dana dan modal merupakan faktor penting dalam membantu usahawan bertapak, ECERDC turut membentuk perkongsian strategik dengan Agrobank untuk menawarkan para peserta panduan serta akses kepada pembiayaan kewangan.

Sempena dengan CAEXPO, ECERDC akan turut mempromosikan peluang pelaburan dan perkongsian awam-swasta di kalangan pelabur China di ECER melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Nanning. Delegasi Malaysia diketuai oleh YB Dato’ Seri Ong Ka Chuan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II.