ECERDC PERKUKUH KETERJAMINAN MAKANAN DAN PELANCONGAN LESTARI MELALUI DUA PROJEK UTAMA
Penyerahan Projek Lembah Tenusu Jemaluang dan Pusat Informasi Hutan Hujan Peta menandakan kemajuan penting dalam pertumbuhan mampan, disertai pelaburan komited RM2.6 bilion untuk Segamat dan Mersing
PUTRAJAYA, 7 OKTOBER 2025 – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menyerahkan dua projek mercu tanda di Johor, mengukuhkan kedudukan negeri tersebut dalam bidang keterjaminan makanan dan pelancongan lestari. Penyempurnaan Projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) di Mersing dan Pusat Informasi Hutan Hujan Peta (RDC) di Segamat menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan, inklusif serta mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi jangka panjang negeri ini.
ECERDC hari ini mengumumkan penyerahan JDV berikutan pengeluaran Sijil Siap dan Pematuhannya pada 18 September 2025. Sebagai hab tenusu moden bersepadu pertama di Johor, JDV direka untuk memperkukuh keselamatan makanan negara dengan meningkatkan pengeluaran susu segar sambil mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan bernilai tinggi di seluruh rantaian nilai di Mersing.
Pada masa yang sama, RDC yang siap sepenuhnya pada tahun 2024 dan dibuka kepada orang ramai awal tahun ini telah diserahkan kepada Perbadanan Taman Negara Johor. Pusat itu bakal memperkukuh profil pemuliharaan di peringkat antarabangsa dan meletakkan negeri ini sebagai destinasi utama untuk ekopelancongan dan pendidikan biodiversiti.
Bagi menyokong inisiatif ini, ECERDC turut melaksanakan kerja-kerja menaik taraf jalan sepanjang 29.46 km dari Kahang ke Sungai Emas, yang menjadi laluan utama ke Taman Negara Johor Endau-Rompin Peta (TNJER Peta). Sehingga September 2025, projek ini telah mencapai 91% kemajuan dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini. Setelah siap, jalan ini akan meningkatkan kesalinghubungan serta akses kepada penduduk tempatan dan pelancong yang menuju ke TNJER Peta. Infrastruktur ini dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi setempat serta memperkukuh potensi sektor ekopelancongan di kawasan tersebut.
Penyempurnaan projek-projek ini turut dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Johor, yang menekankan projek-projek ini sebagai pencapaian utama dalam memacu pelaburan, pertumbuhan mampan dan pembangunan komuniti di negeri Johor.
Dalam ucapannya, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menggariskan kesan transformatif daripada inisiatif ini; ” Penyempurnaan Projek JDV bukan sahaja memperkukuh keterjaminan makanan, malah turut membuka peluang baharu kepada komuniti setempat
melalui pewujudan pekerjaan dan pembangunan rantaian nilai. Dengan peningkatan infrastruktur seperti perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari Gemas ke Johor Bahru yang bakal siap, daerah seperti Mersing dan Segamat akan lebih berdaya saing untuk menarik pelaburan, perdagangan dan pelancongan.”
Semasa mesyuarat ICC ECER Johor, dilaporkan sehingga September 2025, ECERDC telah memperoleh RM2.6 bilion pelaburan komited untuk daerah Segamat dan Mersing, melepasi sasaran tahunan RM100 juta. Daripada jumlah ini, sektor pembuatan menyumbang 93%, manakala pertanian menyumbang 7%, dengan projek-projek ini dijangkan secara kolektif akan mewujudkan 574 peluang pekerjaan baharu untuk masyarakat tempatan.
Pelaburan yang direalisasikan pula berjumlah RM30.2 juta, disumbangkan sepenuhnya oleh sektor pembuatan. Penyumbang utama ialah pembangunan Loji Pemprosesan Maokil di Labis. Pelaburan ini telah memperkenalkan inisiatif biokompos yang memproses tandan buah kosong dan efluen kelapa sawit yang dirawat separa melalui penguraian aerobik. Proses ini mengurangkan sisa industri sambil menghasilkan kompos organik yang kaya dengan nutrien yang dipasarkan sebagai baja bio, sekali gus menunjukkan kemajuan rantau ini dalam amalan kelestarian dalam sektor minyak sawit.
“Pelaburan komited di Mersing dan Segamat mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi pertumbuhan jangka panjang kedua-dua daerah ini. Projek-projek ini bukan sahaja mewujudkan pekerjaan dan peluang ekonomi bernilai tinggi untuk masyarakat tempatan, tetapi juga mengukuhkan peranan daerah sebagai hab peneraju untuk pembangunan mampan dan inklusif di ECER,” kata Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Mesyuarat ini juga menekankan potensi peluang melalui penyiapan ETS dan sistem Rapid Transit System (RTS) Johor Bahru-Singapura, yang dijangka meningkatkan aksesibiliti dan daya tarikan pelancongan negeri Johor secara keseluruhan. Peningkatan mobiliti ini akan merancakkan ekopelancongan, budaya, pertanian dan pesisir pantai di daerah seperti Segamat dan Mersing, serta menarik lebih ramai pelancong ke taman negara, bandar warisan, pasar tradisional, dusun buah-buahan dan pulau-pulau di sekitar Johor. Ini dijangka membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti tempatan sambil memperkukuh kedudukan Johor sebagai pintu masuk utama bagi pelaburan, pelancongan dan pertumbuhan serantau.
Selain menjadi pemangkin pelaburan, ECERDC turut menegaskan komitmennya dalam memperkasakan pembangunan komuniti secara inklusif. Antara usaha utama ialah pelaksanaan program IPR-INTAN di Segamat, sebuah ladang fertigasi moden yang pembinaan infrastrukturnya bermula secara berfasa sejak bulan April 2025, termasuk pembinaan dua daripada lapan rumah hujan yang mula dijalankan pada pertengahan Ogos 2025. Sesi temuduga peserta dijadualkan berlangsung pada Oktober 2025, dengan operasi ladang bermula secara berperingkat pada bulan yang sama.
Projek yang meliputi 20 ekar ini menggabungkan konsep fertigasi terbuka dan tanaman berstruktur pelindung hujan (rain-shelter), menyediakan peluang pekerjaan kepada 42 peserta. Melalui pengenalan teknologi pertanian moden dan jangka panjang, program ini mencerminkan komitmen ECERDC ke arah pertumbuhan yang inklusif dan berdaya tahan.
Mesyuarat ICC ECER Johor turut dihadiri oleh pegawai kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri termasuk: Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; Tuan Haji Ahmad Nazir Haji Mohd Nasir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Johor; Tuan Haji Mohammed Shakib Haji Ali, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor; Dr. Mohd Khalid Abdul Samad, Pengarah Pembangunan Negeri Johor; Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak, Timbalan Ketua Setiausaha, Bahagian Kewangan dan Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri; Datuk Bahria Mohd Tamil, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Pelaburan), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Tuan Haji Mohd Ezzudin Sanusi, Pegawai Daerah Segamat; dan Encik Jamil Hasni Abdullah, Pegawai Daerah Mersing.
-TAMAT-