ECERDC PACU PELABURAN DIREALISASI BERNILAI RM5 BILION DI PAHANG

Pelaburan Baharu dan Projek Eko-Pelancongan Berimpak Tinggi Dorong Pertumbuhan Seimbang di Pahang.

PUTRAJAYA, 9 OKTOBER 2025 – Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah memfasilitasi pelaburan direalisasikan berjumlah RM5 bilion dan pelaburan komited RM3.9 bilion di Pahang, mengukuhkan peranan negeri ini sebagai pemacu utama pertumbuhan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Pelaburan realisasi ini mewakili 90% daripada sasaran RM5.6 bilion ECERDC untuk Pahang pada tahun 2025, diterajui oleh sektor pembuatan (41%), minyak dan gas (34%), serta perkhidmatan (25%). Secara keseluruhan, pelaburan-pelaburan ini telah mewujudkan 2,846 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Pahang. Sementara itu, pelaburan komited berjumpah RM3.9 bilion, yang tertumpu dalam sektor pembuatan (95%) dan pertanian (5%), dijangka menghasilkan 3,185 peluang pekerjaan setelah direalisasikan sepenuhnya.

Pengumuman ini dibuat sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya hari ini, yang turut menampilkan dua acara iaitu pertukaran dokumen antara ECERDC dengan empat syarikat utama yang melabur di Pahang bernilai RM1.6 bilion, serta penyerahan Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating kepada Jabatan Perikanan Negeri Pahang.

Empat syarikat yang memeterai pelaburan mereka di Pahang adalah:

  • PKNP Fire Phoenix Data Center Sdn. Bhd. – untuk menubuhkan Pusat Data AI
  • Sinolion Wheels Technology Sdn. Bhd. – untuk menghasilkan rim roda aloi aluminium
  • Malaysian Solar Resources Sdn. Bhd. – untuk membangunkan kilang pembuatan teknologi hijau
  • Lionphos Sdn. Bhd. – untuk menghasilkan fosfat gred makanan dan gred elektronik

Majlis telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, selaku tetamu kehormat yang menyatakan; “Kerajaan Negeri Pahang menyokong sepenuhnya pelaburan-pelaburan ini sebagai langkah penting dalam misi pembangunan sosio-ekonomi negeri. Kerjasama strategik seumpama ini mendorong pertumbuhan mampan, memacu inovasi, dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat negeri ini. Projek-projek ini selari dengan matlamat kami untuk meningkatkan ketahanan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai destinasi pelaburan utama. Kami menghargai peranan penting ECERDC dan menjangkakan manfaat nyata daripada projek-projek ini untuk seluruh negeri.”

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat menambah bahawa kejayaan Pahang dalam meraih pelaburan bernilai tinggi dan memajukan projek strategik merentasi pelbagai sektor membuktikan keberkesanan model pembangunan seimbang ECERDC. “Dengan penyiapan Projek TCIC yang dijangka menggalakkan aktiviti pelancongan tempatan, Pahang berada dalam kedudukan terbaik untuk menarik minat pelabur baharu, mewujudkan pekerjaan mampan, dan mengukuhkan peranannya dalam rantaian bekalan domestik dan antarabangsa.”

Pusat TCIC yang baru disiapkan ini menandakan satu pencapaian penting dalam memacu pelancongan mampan di Pahang. Pusat ini akan berfungsi sebagai tunjang utama dalam melindungi spesies penyu terancam melalui program konservasi yang komprehensif, disamping berperanan sebagai pusat pendidikan untuk usaha pemuliharaan berterusan. Dengan menggabungkan elemen ekopelancongan dan pemuliharaan alam sekitar, pusat ini dijangka dapat merancakkan aktiviti ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan hijau, serta meningkatkan profil Cerating sebagai destinasi utama pelancongan bertanggungjawab – selari dengan matlamat kelestarian alam sekitar dan pembangunan pelancongan berasaskan komuniti.

Ahli Jawatankuasa ICC Terengganu juga dimaklumkan berkenaan projek Jalan Penghubung Bandar Pelabuhan Kuantan (KPC) yang akan dibuka tidak lama lagi – satu inisiatif infrastruktur penting yang direka untuk mengukuhkan ketersambungan logistik dan menyokong Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP). Pakej 1, 2, 3A, dan 4 telah berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan, manakala Pakej 3B yang merangkumi pembinaan jalan raya dua lorong sepanjang 13 kilometer dan plaza tol baharu dijadualkan siap pada 21 Oktober 2025. Setelah beroperasi sepenuhnya, projek ini akan meningkatkan akses lancar ke MCKIP dan Pelabuhan Kuantan dari Lebuhraya Pantai Timur (LPT2), seterusnya mempertingkatkan aliran perdagangan dan daya saing industri di wilayah ini.

Turut hadir dalam mesyuarat ICC Pahang ialah Ahli-Ahli Jawatankuasa termasuk termasuk Dato’ Sri Indera Nazri bin Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang; Dato’ Hamdan Hussin, Pengarah Pembangunan Negeri Pahang; Dato’ Razihan Adzharuddin, Pengarah Tanah dan Galian Pahang; Dato’ TPr. Nik Noraisu Nik Ibrahim, Pengarah PLANMalaysia Pahang; Datuk Bahria Mohd Tamil, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan & Pengurusan) MITI; En Zulkhairil Amar Mohamad, Timbalan Pengarah Belanjawan Negara, Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan; dan Dr. Ravikumar Suppiah, Timbalan Pengarah (Pembangunan Koridor), Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi.

-TAMAT-