ECERDC PACU KEMAJUAN PEMBANGUNAN KELANTAN MELALUI INISIATIF INFRASTRUKTUR DAN PELABURAN STRATEGIK

KOTA BHARU, 23 OKTOBER 2025 – Momentum pembangunan di negeri Kelantan terus diperkukuh melalui inisiatif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), dengan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur utama yang giat dilaksanakan serta peningkatan signifikan dalam pelaburan komited. Peningkatan ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi jangka panjang negeri ini.

Sehingga September 2025, ECERDC berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM1.12 bilion di Kelantan, dengan sektor pembuatan menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negeri. Pelaburan ini telah mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Selain itu, pelaburan komited berjumlah RM736 juta yang melibatkan sektor pertanian, perkhidmatan dan industri dijangka dapat menjana lebih 1,300 peluang pekerjaan baharu apabila realisasinya selesai kelak.

Projek Jambatan Palekbang–Kota Bharu kekal sebagai salah satu inisiatif transformasi utama yang dilaksanakan oleh ECERDC di Kelantan. Setelah siap dibina nanti, jambatan ini akan memperkukuhkan ketersambungan jalan raya antara Kota Bharu dan Tumpat, mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar, serta membuka laluan pelaburan baharu di daerah utara Kelantan. Infrastruktur strategik ini dijangka merancakkan aktiviti perdagangan, logistik dan pelancongan tempatan, sekali gus menjadi pemangkin utama kepada fasa pertumbuhan ekonomi seterusnya dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan, berkata, “Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan ECERDC memainkan peranan penting dalam merangka pelan pembangunan jangka panjang Kelantan serta pembangunan serantau. Kerajaan Negeri akan memastikan setiap inisiatif, sama ada dari segi pembangunan infrastruktur mahupun fasilitasi pelaburan, berjalan seiring dengan keutamaan pembangunan negeri. Perkongsian strategik ini membolehkan Kerajaan Negeri menyokong projek-projek berimpak tinggi yang memperkukuh sektor ekonomi utama, membuka peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan taraf hidup rakyat. Melalui perancangan dan pembangunan lestari yang rapi, kami jelas menzahirkan hala tuju untuk menjadikan Kelantan lebih kompetitif dan berdaya tahan,” ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan.

“Momentum pembangunan Negeri Kelantan yang semakin meningkat ini mencerminkan keyakinan kukuh pelabur dan semua pihak berkepentingan terhadap potensi negeri untuk berkembang dalam jangka masa panjang. Projek-projek infrastruktur utama seperti Jambatan Palekbang–Kota Bharu yang kini telah mencapai tahap siap 22%, serta projek sambungan pengangkutan utama persekutuan seperti rangkaian Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link (ECRL)) akan memperbaiki kesalinghubungan dan mengukuhkan kedudukan Kelantan dalam koridor ekonomi serantau. Projek-projek pemangkin ini diharap dapat membuka laluan pelaburan baru, menggerakkan pertumbuhan industri dan pelancongan, serta memperbaiki kualiti hidup komuniti setempat. ECERDC komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri serta agensi persekutuan bagi memastikan pembangunan ini memberi impak menyeluruh dan lestari kepada warga Kelantan,” kata Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Perkembangan pesat infrastruktur di Kelantan menegaskan kepentingan peningkatan kesalinghubungan dalam mendorong pertumbuhan ekonomi. Projek-projek utama seperti Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU), serta naik taraf jalan penghubung utama, terus memperkukuh akses di seluruh negeri. Inisiatif ECERDC akan melengkapi dan mempercepat pembangunan ini, sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan, pengembangan industri serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif di Kelantan.

Sebagai kesinambungan kepada usaha tersebut, ECERDC sedang giat melaksanakan beberapa projek strategik bagi memperkukuh ekosistem industri negeri dan mempertingkatkan ekonomi rentas sempadan, antaranya:

  • Taman Industri Tok Bali (TBIP) – meningkatkan infrastruktur industri bagi menarik pelabur dalam sektor marin dan logistik.
  • Menaiktaraf fasiliti dan Jeti Tok Bali – memperkukuh kapasiti pelabuhan serta peranan Tok Bali sebagai hab logistik utama.
  • Naik taraf kemudahan awam dan infrastruktur bandar sempadan di Rantau Panjang – menyokong pertumbuhan perdagangan sempadan dan pelancongan melalui kemudahan yang lebih baik.

Selain itu, ECERDC turut meneruskan pembangunan Loji Rawatan Air Kelar (Fasa 2) bagi menambah kapasiti bekalan air ke kawasan Pasir Mas dan sekitarnya. Pada masa sama, pembangunan Zon Pelancongan Bersepadu Geting di Tumpat sedang giat dijalankan bagi menyokong strategi kepelbagaian pelancongan negeri serta menggalakkan keusahawanan tempatan.

Dalam sektor pertanian, ECERDC telah menyiapkan Pusat Pengumpulan Susu Kambing (GMCC) di Pasir Puteh yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri pada 27 Ogos 2025. Pusat ini dijangka mula beroperasi pada Januari 2026 dan akan membantu penternak kecil menembusi pasaran lebih stabil, meningkatkan pengeluaran susu berasaskan nilai tambah serta mengukuhkan pendapatan mereka secara berterusan.

Mesyuarat ICC ECER Kelantan turut disertai dengan Majlis Menandatangani Perjanjian Tiga Pihak (Tripartite) antara ECERDC, Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN Kelantan) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK), serta Perjanjian Komersial antara PKPNK dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Awang (PPK Bukit Awang).

Perjanjian ini memperkukuh pelaksanaan Projek IPR-INTAN Machang, satu inisiatif seluas 50 ekar di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), melibatkan 100 peserta B40 dalam penanaman cili menggunakan sistem fertigasi berasaskan teknologi Internet of Things (IoT). Projek ini bertujuan memastikan peserta memperoleh pendapatan minimum RM2,000 sebulan, di samping memupuk agropreneur moden dan memperkukuh keselamatan makanan negara.

Turut hadir dalam Mesyuarat ICC ECER Kelantan ialah Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean bin Tengku Feissal, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan; Dato’ Haji Nik Raisnan Haji Daud, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan; Encik Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan; Puan Mazillah Azleen Mat Nor, Pengarah PLANMalaysia@Kelantan; Encik Jasri Kasim, Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan; Dr. Ravikumar Suppiah, Timbalan Pengarah (Pembangunan Koridor), Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi; Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak, Timbalan Ketua Setiausaha (Bahagian Kewangan dan Pembangunan), Jabatan Perdana Menteri; dan Encik Mohd Rafizal Rahim, Pengarah Bahagian Dasar Pelaburan dan Pemudahcara Perdagangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).