KELSTONE DAN JOGMEC MENANDATANGANI MEMORANDUM PERJANJIAN (MOA) BAGI MEMAJUKAN PENEROKAAN NADIR BUMI DI KELANTAN

Wakil-wakil dari Kelstone Sdn Bhd dan JOGMEC sebelum pemeteraian Memorandum Perjanjian, yang difasilitasi di bawah Memorandum Kerjasama ECERDC–JOGMEC

KOTA BHARU, KELANTAN 19 DISEMBER 2025 – Kelstone Sdn Bhd bersama Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC) hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalin kerjasama dalam menilai potensi sumber nadir bumi di kawasan terpilih di Kelantan.

MoA ini difasilitasi oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di bawah rangka kerja Memorandum Kerjasama (MoC) ECERDC–JOGMEC, yang menyokong kolaborasi tersusun untuk pembangunan nadir bumi secara mampan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Di bawah MoA ini, Kelstone dan JOGMEC akan melaksanakan program tinjauan yang dipersetujui untuk menilai potensi teknikal serta aspek penting bagi pembangunan bertanggungjawab, selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa. Jawatankuasa pengurusan bersama akan mengawasi pelaksanaan, dengan ECERDC turut serta sebagai pemerhati.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen Kelstone dan JOGMEC untuk memajukan penerokaan nadir bumi secara bertanggungjawab, mengukuhkan hubungan kerjasama Malaysia–Jepun, serta menyokong pembangunan rantaian nilai nadir bumi yang mampan selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Inisiatif ini menandakan satu langkah penting dalam merealisasikan potensi nadir bumi negeri Kelantan sambil memastikan aktiviti penerokaan dan pembangunan masa depan dijalankan dengan telus, mampan, dan selaras dengan objektif pembangunan nasional serta wilayah.