ECERDC CAPAI SASARAN EMP 2.0 DENGAN PRESTASI PELABURAN KUKUH, MULA FASA PEMBANGUNAN BAHARU WILAYAH EKONOMI PANTAI TIMUR
Pencapaian 2025 jadi asas pelaksanaan Pelan Pembangunan ECER 2026–2030
PUTRAJAYA, 20 JANUARI 2026 – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya menyempurnakan Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) yang dilaksanakan dari tahun 2018 hingga 2025, dengan merekodkan prestasi pelaburan yang kukuh, pelaksanaan projek yang menepati jadual serta kemajuan berterusan dalam memperkukuh asas sosioekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), sekali gus membuka laluan kepada fasa pembangunan seterusnya menerusi Pelan Pembangunan ECER 2026–2030 (EDP 2026–2030).
Di dalam tempoh pelaksanaan EMP 2.0, ECERDC telah melepasi sasaran yang ditetapkan dengan merekodkan pelaburan komited berjumlah RM75 bilion dan pelaburan direalisasikan berjumlah RM55 bilion, mengatasi sasaran pelaburan sebanyak RM70 bilion dan RM49 bilion. Dalam tempoh ini, lebih 79,000 peluang pekerjaan dan lebih 25,000 peluang keusahawanan telah diwujudkan, menyokong pertumbuhan pendapatan, pengembangan industri dan penglibatan komuniti di Kelantan, Terengganu, Pahang serta daerah Mersing dan Segamat di Johor.
Tempoh pembangunan ini turut menyaksikan perubahan positif dalam corak populasi dan migrasi di Pantai Timur, mencerminkan peningkatan tahap daya huni (liveability) dan peluang pekerjaan di wilayah ini. Selepas sekian lama mencatatkan migrasi keluar bersih (net out-migration), ECER merekodkan aliran masuk migrasi pada tahun 2024. Walaupun pelbagai faktor menyumbang kepada perubahan ini, peluasan peluang pekerjaan, penambahbaikan kesalinghubungan dan pelaksanaan projek pembangunan utama di bawah EMP 2.0 telah memainkan peranan sokongan yang signifikan. Lebih separuh daripada pergerakan migrasi ini melibatkan migrasi intra-negeri, menandakan pengekalan tenaga kerja tempatan yang lebih kukuh.
Pada tahun 2025, ECERDC telah berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM10.01 bilion, sekali gus mencapai sasaran tahunan RM10 bilion. Pelaburan yang telah direalisasi ini telah menjana 5,300 peluang pekerjaan, mengukuhkan peranan ECER sebagai penyumbang penting kepada pertumbuhan negara yang seimbang, meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar.
Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada pelaburan direalisasikan pada tahun 2025, dengan nilai RM6.2 bilion atau 61.9% daripada jumlah keseluruhan, diikuti sektor minyak dan gas sebanyak RM2.2 bilion (22.2%), pelancongan RM1.1 bilion (10.8%), pertanian RM471 juta (4.7%) dan perkhidmatan RM37 juta (0.4%). Agihan ini membuktikan pembentukan asas ekonomi yang lebih seimbang dan berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan industri bernilai tinggi serta sektor berasaskan komuniti.
Pahang terus menerajui pertumbuhan pelaburan wilayah dengan pelaburan direalisasikan berjumlah RM7.35 bilion, diikuti Terengganu (RM1.41 bilion), Kelantan (RM1.13 bilion) serta daerah Mersing dan Segamat di Johor (RM121 juta). Antara projek utama yang mula direalisasikan sepanjang tahun ini termasuk sebuah loji petrokimia bernilai RM1.5 bilion di Pahang, kilang pembuatan pulverised quartz bernilai RM638.6 juta di Terengganu, serta projek jana kuasa hidro mini berkapasiti 84 megawatt bernilai RM1 bilion di Kelantan. Selain itu, pelaksanaan operasi Lembah Tenusu Jemaluang bernilai RM91 juta di Johor menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara dan rantaian nilai tenusu domestik.
Prestasi pelaburan direalisasikan yang kukuh ini turut disokong oleh pelaburan komited berjumlah RM12.4 bilion, mencerminkan saluran pelaburan masa hadapan yang mampan. Sektor pembuatan menyumbang RM9.7 bilion, diikuti perkhidmatan dan pertanian masing-masing sebanyak RM1.1 bilion, pelancongan RM500 juta dan minyak dan gas RM1.5 juta. Projek tenaga boleh diperbaharui, termasuk hidro mini, solar terapung dan pembangunan solar berskala besar mula dibangunkan secara signifikan dalam saluran pelaburan ini, menggariskan peranan ECER yang semakin berkembang dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia.
Sejajar dengan mandat pembangunannya, ECERDC telah menyiapkan beberapa projek pemangkin utama pada tahun 2025, termasuk penyiapan Lembah Tenusu Jemaluang di Mersing, Fasa 1B Kompleks PKS Taman Biopolimer Kerteh, pembinaan jalan penghubung Lapangan Terbang Kuala Terengganu ke Pusat Bandar Kuala Terengganu, serta kerja-kerja naik taraf Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating. Projek-projek ini telah meningkatkan kesiapsiagaan industri, keselamatan makanan, infrastruktur pelancongan dan kesalinghubungan antara wilayah.
Kemajuan turut dicatatkan bagi prakarsa utama yang sedang dilaksanakan. Kerja-kerja infrastruktur dan tanah di Taman Perindustrian Malaysia–China Kuantan (MCKIP) 3 berjalan dengan lancar, manakala fasa pertama Projek Promenad Pusat Bandar Kuala Terengganu semakin hampir ke peringkat penyiapan. Di Johor, kerja-kerja naik taraf jalan akses ke Taman Negara Johor Endau-Rompin dari Kahang ke Sungai Emas kini hampir siap, sekali gus menambah baik akses ke destinasi eko-pelancongan utama. Sementara itu, pembinaan Jambatan Palekbang–Kota Bharu di Kelantan kekal mengikut jadual untuk disiapkan pada tahun 2027.
Dengan penyempurnaan EMP 2.0, ECERDC kini akan beralih ke fasa pembangunan seterusnya berpandukan EDP 2026–2030, yang akan menyediakan hala tuju strategik bagi promosi pelaburan, penyampaian infrastruktur dan peningkatan sosioekonomi. Pelan ini akan menumpukan kepada industri bernilai tinggi, keselamatan makanan, pelancongan mampan, tenaga boleh diperbaharui dan kesalinghubungan logistik, sambil memastikan pertumbuhan yang inklusif dan selari dengan keutamaan nasional.
“Kemajuan berterusan yang dicapai ECERDC dalam aspek pelaburan, infrastruktur dan peluang pekerjaan mencerminkan keberkesanan pendekatan pembangunan yang dilaksanakan di ECER. Hasil ini bukan sahaja mengukuhkan asas ekonomi serantau, malah membawa manfaat yang ketara kepada kesejahteraan rakyat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat. “Menjelang pelaksanaan EDP 2026–2030, ECERDC akan memberi penekanan kepada kesinambungan pelaburan berkualiti tinggi serta pemerkasaan impak pembangunan yang lebih inklusif dan mampan. Komitmen kami adalah untuk membangunkan ekonomi serantau yang berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” tambah beliau.