agrofood@ECER TERUS DIPACU DENGAN PELANTIKAN KUMPULAN SYARIKAT INDUK UNTUK PENGOPERASIAN LEMBAH TENUSU JEMALUANG

Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing (EMFPP) dan Projek Fertigasi Cili di Segamat
akan mula beroperasi

ISKANDAR PUTERI, 6 APRIL 2023: Projek industri tenusu berskala komersial kedua di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus maju ke hadapan dengan pelantikan syarikat Kulim (Malaysia) Berhad, A2 Fresh Holdings Sdn. Bhd. dan Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd. (JDVSB) sebagai Kumpulan Syarikat Induk (Anchor Group) yang akan mengendalikan keseluruhan operasi di Lembah Tenusu Jemaluang, Mersing (JDV).

Majlis pertukaran dokumen perjanjian di antara Kerajaan Negeri Johor, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SSI), pihak ECERDC dan Kumpulan Syarikat Induk yang dilantik telah diadakan selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Johor hari ini. Pelantikan secara rasmi ini akan membolehkan Kumpulan Syarikat Induk untuk melabur, mengurus dan mengendalikan keseluruhan operasi Lembah Tenusu Jemaluang memulakan fasa pelaksanaan inisiatif Lembah Tenusu ECER yang seterusnya bagi meningkatkan pengeluaran susu nasional agar dapat menyumbang ke arah memperkukuhkan sekuriti makanan negara.

JDV dijangka akan menghasilkan 5.4 juta liter susu segar setiap tahun dengan peningkatan sebanyak 10 peratus pengeluaran susu segar tempatan sepanjang tiga tahun beroperasi, sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk susu import. Pembangunan lembah tenusu ini dijangka siap pada bulan Julai 2024 dan pelantikan Kumpulan Syarikat Induk ini akan mewujudkan kerjasama yang lebih erat dengan ECERDC bagi memastikan proses peralihan dan operasi berjalan lancar dalam memenuhi permintaan masa hadapan.

“Visi Maju Johor 2030 adalah untuk memastikan Negeri Johor ini menjadi negeri yang bukan hanya maju dari aspek ekonomi dan pembangunan infrastruktur, malah merentasi semua sektor secara holistik. Kerajaan Negeri Johor berbesar hati menyokong pembangunan projek JDV ini yang seiring dengan Dasar Agro Makanan Negeri yang akan menyumbang secara signifikan ke arah mencapai sasaran KDNK negara sebanyak RM260 bilion menjelang 2030,” kata Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi setelah menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani mewakili Kerajaan Negeri Johor, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, YB Dato’ Haji Mohammed Ridha bin Dato’ Haji Abd. Kadir mewakili Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SSI), ECERDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat manakala wakil-wakil Kumpulan Syarikat Induk di majlis pertukaran dokumen perjanjian tersebut ialah En. Mohd Faris Adli Shukery, Pengarah Kulim (Malaysia) Berhad, En. Johan Nasir Yeo, Ketua Pegawai Eksekutif A2 Fresh Holdings Sdn. Bhd. dan En. Muhammad Khairi Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd.

Majlis tersebut disaksikan oleh YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor dan YB Datuk Zahari bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor. Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa ICC Johor termasuk YBhg. Dato’ Haji Ashari bin Haji Kasnan, Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Johor, YBrs TPr. Saidin bin Lateh, Pengarah PLANMalaysia@Johor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Johor) serta wakil-wakil dari syarikat-syarikat induk.

Dalam acara yang sama, YAB Menteri Besar Johor turut menyaksikan pertukaran perjanjian antara ECERDC, Pejabat Daerah Segamat dan syarikat Grasicili Farm Sdn. Bhd. yang akan menawarkan peluang pekerjaan melalui projek fertigasi cili kepada golongan miskin tegar di daerah Segamat.

“Seiring dengan seruan Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu tonggak ekonomi dan menyokong Dasar Agro Makanan Kerajaan Negeri Johor, ECERDC telah menggiatkan pelaksanaan agrofood@ECER bagi memastikan wilayah ECER dapat memberi sumbangan yang signifikan ke arah memperkukuh keterjaminan makanan negara. Justeru, pelantikan Kumpulan Syarikat Induk untuk projek JDV adalah pencapaian yang bermakna buat ECERDC. Pada masa yang sama, program Pembangunan Modal Insan ECERDC juga akan menampilkan komponen pertanian yang sejajar dengan Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dan ECERDC akan memperluaskan program fertigasi cili ke daerah Segamat, yang baru-baru ini menjadi sebahagian daripada wilayah ECER,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing (EMFPP), salah satu komponen inisiatif agrofood@ECER dalam pembangunan industri perikanan akan membolehkan pengusaha tempatan mengambil bahagian dalam aktiviti hiliran perikanan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). EMFPP yang bakal diserahkan kepada pihak LKIM dijangka akan mewujudkan 90 peluang pekerjaan baharu.

Ahli Jawatankuasa ICC Johor juga diberi penerangan mengenai usaha ECERDC untuk mempromosi dan memacu ekonomi tempatan menerusi pelbagai projek ekopelancongan ‘Dari Hutan Hujan ke Terumbu Karang’ seperti KampungStay@TelukBuih yang bakal menawarkan pengalaman penginapan dalam suasana kampung yang unik buat pelancong. Projek ini akan diserahkan kepada Majlis Daerah Mersing untuk pengoperasian. Projek pembangunan kompleks PETA Rainforest Discovery Center (RDC) yang sedang dibina pula bakal menjadi One-Stop-Center (Hentian Setempat) buat para pelancong dan pelawat di Taman Negara Endau-Rompin Johor.