KENYATAAN MEDIA BERSAMA

AKSES TERUS LPT2 –
PERSIMPANGAN BERTINGKAT PELABUHAN KUANTAN DIBUKA, PERKUKUH KESALINGHUBUNGAN DAN PERTUMBUHAN EKONOMI PANTAI TIMUR

KUANTAN, 3 September 2026 – YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang hari ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), yang menjadi satu lagi komponen penting dalam memperkukuh jaringan pengangkutan dan kesalinghubungan strategik di Pantai Timur.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya dan YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Ekonomi, bersama kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang, Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Ekonomi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), LPT2 Sdn. Bhd. serta agensi dan pihak berkepentingan.

Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan merupakan sebahagian daripada pembangunan Jalan KPC Port Link yang dilaksanakan oleh ECERDC bagi menyediakan akses terus antara LPT2 dengan Pelabuhan Kuantan, Taman Industri Kuantan Malaysia-China, Kuantan Port City serta kawasan pembangunan utama di sekitarnya. Persimpangan berkonsepkan reka bentuk trumpet ini boleh diakses dari kedua-dua arah, iaitu dari Kuala Terengganu dan Kuantan.

Pembukaan persimpangan ini dijangka memberi penjimatan masa perjalanan sehingga 30 minit berbanding penggunaan jalan sedia ada, selain membantu mengagihkan aliran trafik dengan lebih efisien dan mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan FT3 serta jalan-jalan utama sekitar Gebeng dan Pelabuhan Kuantan.

Dari aspek keselamatan, laluan alternatif ini dijangkabanda mengurangkan kebergantungan kepada FT03 yang melalui kawasan penempatan penduduk dan kemudahan awam, di samping mengurangkan pertembungan aliran trafik antara kenderaan jarak jauh, khususnya pengangkutan kargo dan kenderaan berat, dengan trafik tempatan.

Pembukaan akses baharu ini turut menyokong pertumbuhan kluster industri, perdagangan dan logistik yang merangkumi Pelabuhan Kuantan, MCKIP, kawasan perindustrian Gebeng dan Kuantan Port City. Setakat ini, sebanyak 14 syarikat telah melabur di MCKIP dengan jumlah pelaburan terkumpul RM22.5 bilion sejak tahun 2015, sekali gus mewujudkan lebih 9,100 peluang pekerjaan.

Kesalinghubungan yang lebih baik antara lebuh raya, pelabuhan dan kawasan perindustrian dijangka meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan logistik, memperkukuh daya saing industri serta membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan dan tenaga kerja tempatan. Potensi kawasan ini akan diperkukuh lagi dengan pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pertumbuhan dan pengembangan Pelabuhan Kuantan pada masa hadapan.

Seiring dengan selesainya pembangunan tersebut, penyerahan Plaza Tol Pelabuhan Kuantan oleh ECERDC kepada LPT2 Sdn. Bhd. melalui LLM menandakan peralihan kemudahan berkenaan kepada fasa operasi bagi memastikan ia dikawal selia dan diurus mengikut piawaian keselamatan, kualiti serta tahap perkhidmatan lebuh raya negara.

Plaza Tol Pelabuhan Kuantan akan mula beroperasi dan dibuka kepada semua pengguna lebuh raya pada 4 September 2026, jam 6.00 pagi. Pengguna dinasihatkan memastikan kad Touch ‘n Go atau SmartTAG mempunyai baki yang mencukupi serta sentiasa mematuhi had laju, papan tanda dan arahan keselamatan yang ditetapkan.

Kerjasama strategik antara LLM, ECERDC dan LPT2 Sdn. Bhd., dengan sokongan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang, mencerminkan komitmen bersama dalam menyediakan infrastruktur yang meningkatkan kesalinghubungan, keselamatan dan keselesaan pengguna, di samping menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.