PEKAN, 23 Mei 2015 – Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini melakukan lawatan kerja ke Kompleks Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Serambi Pekan yang baharu sahaja dibuka di bandar diraja Pekan, di mana beliau telah beramah-mesra dengan para usahawan tempatan di kompleks tersebut dan juga orang ramai.
Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, serta para pegawai tinggi tempatan. Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut merasmikan pelepasan perlumbaan perahu panjang yang dianjurkan bersempena majlis perasmian Serambi Pekan yang terletak di tebing sungai berdekatan.
Di samping Serambi Pekan, ECERDC juga baharu sahaja melancarkan Kompleks Medan Selera Anjung Warisan di bandar diraja tersebut. Dengan kos pembinaan keseluruhan berjumlah RM12 juta, kedua-dua kompleks Anjung Warisan dan Serambi Pekan merupakan komponen utama bagi projek Pembangunan Pelancongan Warisan Pekan yang dilaksanakan oleh ECERDC bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan di daerah ini.
Anjung Warisan dan Serambi Pekan akan berperanan sebagai platform bagi usahawan-usahawan tempatan untuk mempamerkan produk-produk mereka kepada para pengunjung, sekaligus membantu memelihara budaya dan warisan negeri Pahang. Projek tersebut akan memberi manfaat kepada warga Pekan melalui pewujudan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu.
Selain daripada pembinaan kompleks Anjung Warisan dan Serambi Pekan, projek Pembangunan Pelancongan Warisan Pekan turut meliputi kerja-kerja penaiktarafan Pekan Waterfront serta pemuliharaan dan pemeliharaan Tasik Chini yang selesai dilaksanakan pada tahun 2011, penaiktarafan Muzium Sultan Abu Bakar yang siap disempurnakan pada tahun 2012, serta pengubahsuaian Masjid Sultan Abdullah untuk menjadi sebuah Muzium Kesenian Islam yang dijangka siap pada tahun ini. Terletak di lokasi strategik berdekatan dengan Pekan Waterfront, Anjung Warisan merupakan sebuah kompleks medan selera dua tingkat di mana para pengunjung boleh menikmati pelbagai juadah dan masakan asli negeri Pahang. Berkeluasan 12,098 kaki persegi, tingkat bawah Anjung Warisan menempatkan empat (4) buah gerai yang menjual makanan dan minuman, sementara tingkat atas pula menempatkan cawangan Restoran Nasi Kukus My Mama yang merupakan rantaian restoran tempatan yang terkenal di Pahang.
Serambi Pekanmerupakan kompleks 1½ tingkat yang dibina khusus untuk usahawan kecil dan sederhana bagi mempromosi dan memasarkan produk dan kraftangan tempatan negeri Pahang, seperti mana Pekan Rabu di Kedah dan Pasar Payang di Terengganu. Kompleks ini menyediakan sebuah ruang makan, dek tinjau yang menghadap Sungai Pahang, ruang khas untuk mempromosikan kraftangan, makanan dan pelbagai produk tempatan, serta kawasan pameran.
Serambi Pekan meliputi kawasan seluas 21,398 kaki persegi yang menempatkan enam (6) buah lot kedai dan 16 kiosk di tingkat bawah. Setakat ini, terdapat 22 peniaga di tingkat bawah yang menjual pelbagai jenis cenderamata tempatan seperti Tenun Pahang Diraja, hasil kraftangan Orang Asli, juadah istimewa Pahang seperti Puding Raja, serta pelbagai barangan lain.
Tingkat atas Serambi Pekan menempatkan PappaRich, yang merupakan sebuah rantaian restoran terkenal di Malaysia, serta empat (4) buah lot kedai.
Serambi Pekan terletak berhampiran dengan tarikan-tarikan utama di Pekan seperti Muzium Sultan Abu Bakar dan Masjid Sultan Abdullah. Kumpulan sasaran bagi Serambi Pekan termasuklah para pengguna jalan raya yang sedang dalam perjalanan di antara Kuantan dan Johor; pelajar-pelajar dari pusat-pusat pengajian tinggi tempatan seperti International College of Automotive (ICAM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Komuniti Pekan; serta penduduk tempatan yang tinggal di sekitar kawasan perindustrian Peramu.
“Selain mengukuhkan kedudukan Pekan sebagai sebuah destinasi pelancongan warisan, Anjung Warisan dan Serambi Pekan juga akan mewujudkan peluang yang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk menjadi vendor kraftangan tempatan, sekaligus mengekalkan tradisi dan budaya tempatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John.
Ini selaras dengan pendekatan ekonomi berteraskan modal dan ekonomi berteraskan rakyat yang ditekankan oleh ECERDC dalam melaksanakan kesemua projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang bermatlamat untuk memberi manfaat kepada rakyat, tambah beliau.
Datuk Seri Issace juga menambah, terdapat peningkatan yang ketara dalam jumlah pelawat ke Pekan sejak pelancaran rasmi Muzium Sultan Bakar yang telah diubah suai dan dinaiktaraf pada Oktober 2012. “Antara Oktober 2012 dan Februari 2015, jumlah pelawat ke Pekan telah meningkat kepada 250,000 orang, berbanding hanya 16,000 pelawat pada tahun 2009. ECERDC mensasarkan sebanyak 520,000 pelawat akan mengunjungi Pekan menjelang tahun 2020, dengan pewujudan lebih 900 peluang pekerjaan baru pada ketika itu,” kata beliau.
Bagi merancakkan lagi pelancongan di Pekan, pelbagai aktiviti seperti acara tahunan Karnival Rakyat akan diadakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Sejarah penubuhan bandar diraja Pekan, yang terletak di ECER dan merupakan sebahagian daripada Konurbasi Kuantan, adalah bersandarkan kepada kedudukannya yang strategik di pinggir Sungai Pahang.
Pekan telah mendapat manfaat daripada peranan silamnya sebagai sebuah pusat perdagangan serta statusnya sebagai bandar diraja, dan juga lokasinya yang berdekatan dengan Sungai Pahang dan pesisiran pantai, serta kewujudan rangkaian bangunan bersejarah di sekitar pesisiran sungai tersebut dan ekonomi bandar yang kian berkembang.
Usaha mempromosikan Pekan adalah berkisar kepada simbol-simbol penjenamaannya yang dikenali ramai seperti muzium di bandar tersebut, statusnya sebagai sebuah bandar diraja, kewujudan bangunan-bangunan bersejarah dan juga Sungai Pahang, yang menawarkan “pengalaman diraja” kepada para pengunjung.