Pembangunan Modal Insan, Pertanian dan Pelancongan Menjadi Pemangkin Pemulihan Sosioekonomi
KUALA LUMPUR, 16 FEBRUARI 2020: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan menerajui dan menyelaras program pembasmian kemiskinan di Terengganu bagi membantu rakyat yang sedang berhadapan dengan cabaran akibat pandemik dan mengurangkan pengangguran.
Bagi pembangunan ekonomi jangka panjang di negeri Terengganu, pembangunan modal insan yang merangkumi program latihan kemahiran dan peningkatan kemahiran serta program mencegah kemiskinan menerusi sokongan pendidikan untuk para pelajar akan menjadi fokus utama bagi memenuhi keperluan semasa rakyat. Pada masa yang sama, usaha pemulihan ekonomi wilayah ECER akan memberi tumpuan kepada perniagaan tani serta pengukuhan infrastruktur pelancongan di dalam negeri bagi memastikan kemampanan jangka panjang sebagai persediaan apabila pelancongan dibenarkan semula.
“Semasa Mesyuarat Majlis ECERDC pada bulan Januari lepas, YAB Perdana Menteri menekankan bahawa usaha membasmi kemiskinan perlu menjadi salah satu agenda utama strategi pembangunan Pantai Timur bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Berikutan semakan semula had Pendapatan Garisan Kemiskinan (PGK) negara dari RM980 kepada RM2,502 bagi negeri Terengganu pada tahun 2020, bilangan isi rumah yang berada di bawah garis kemiskinan di negeri ini dijangka meningkat daripada 11,280 kepada 38,859. Kadar kemiskinan dalam kalangan 1,007 Orang Asli di Terengganu adalah mutlak.”
“Bagi menangani masalah ini, ECERDC akan menerajui dan menyelaras program membasmi kemiskinan di ECER. Pada masa yang sama, kami akan meneruskan program pembangunan modal insan berteraskan kehendak pasaran dan projek pembangunan strategik untuk menarik pelaburan ke Wilayah ini. Langkah ini akan membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan yang baharu dan mengurangkan kadar pengangguran,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC di mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Terengganu yang diadakan hari ini.
PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Program pembangunan modal insan ECERDC dilaksanakan menerusi dua strategi yang selari bagi memenuhi keperluan semasa rakyat untuk mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi di dalam ekonomi yang berubah dengan pantas serta mencegah kemiskinan pada masa yang akan datang. Program akan tertumpu kepada usaha mengubah corak pemikiran kumpulan sasaran dan memberikan kemahiran yang membolehkan mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik atau menjadi usahawan.
Sebagai respons kepada wabak COVID-19, ECERDC telah meluaskan Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP) di bawah PENJANA-ECERDC untuk menyokong para pelabur dan rakyat dalam tempoh jangka pendek. Program ini menawarkan kursus-kursus teknikal bagi melengkapkan para peserta dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri dan mendapatkan penempatan kerja. Program Train & Place ECERDC bermatlamat melatih 1,600 orang pekerja mahir setahun dan memastikan penempatan kerja dalam masa sebulan selepas mereka menamatkan latihan. Sehingga kini, seramai 1,229 orang peserta telah menamatkan latihan dan seramai 3,771 orang peserta lagi dijangka akan menamatkan latihan mereka pada bulan Mei 2021.
Di dalam usaha untuk memerangi kemiskinan, tumpuan khusus akan diberikan kepada Isi Rumah Orang Asli termasuk pelajar darjah 5 dan 6 di sekolah-sekolah Orang Asli di Sungai Berua dan Sungai Pergam.
ECERDC juga membangunkan usahawan menerusi program empower ECER. Seramai 1,359 orang usahawan baharu telah diwujudkan dan diberi kemahiran seperti simpan kira dan pendigitalan. ECERDC turut membantu peserta mendaftarkan perniagaan mereka. Satu program mentor yang melibatkan bimbingan, latihan sambil kerja dan lawatan industri turut dianjurkan. Menerusi program entrepreneur ECER, seramai 1,520 orang usahawan telah dibantu untuk mengembangkan perniagaan mereka. Ini termasuklah meningkatkan kualiti pengeluaran, pembungkusan, penjenamaan dan persijilan.
PERNIAGAAN TANI
Pertanian merupakan fokus ekonomi utama di negeri ini selaras dengan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 yang mensasarkan untuk menggunakan anggaran 12,000 hektar tanah pertanian bagi menjamin keselamatan makanan negara. Visi bagi negeri Terengganu adalah untuk mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan menjadi pengeluar makanan yang utama di Malaysia.
Bagi tujuan ini, ECERDC merancang untuk membangunkan Lembah Tenusu Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menjelang tahun 2023. Ini bagi memenuhi keperluan susu negara berikutan kejayaan sebuah lagi projek ECERDC iaitu Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) di Rompin, Pahang. Menurut Statistik Ternakan, Malaysia mengimport 1,724.5 juta liter susu dan produk susu manakala pengusaha tempatan hanya menghasilkan 43.3 juta liter susu segar pada tahun 2019. Projek ini dijangka dapat menambah 10 hingga 11% kepada pengeluaran susu segar tempatan. Import daging lembu yang tinggi bagi negara ini akan turut ditangani sebagai salah satu hasil daripada perniagaan tenusu.
ECERDC sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dibangunkan sebagai ladang lembu tenusu. ECERDC akan turut menyumbang kepada kemajuan industri tenusu menerusi pembangunan infrastruktur dan langkah-langkah sokongan lain. Usaha akan terus dilakukan untuk menggalakkan aktiviti pertanian sebagai perniagaan yang menarik dan menguntungkan, terutamanya perladangan industri lembu daging seperti pembiakan ‘lembu sado’ dan penternakan kambing tenusu serta perikanan.
ECERDC telah memulakan usaha untuk menangani bekalan kambing dan biri-biri melalui Ladang Kambing Boer Telaga Papan yang akan mengurangkan pergantungan terhadap daging import dan mewujudkan ladang ternakan yang mapan pada skala kecil dan juga besar. Manakala projek Agropolitan Besut-Setiu (BSA) pula menternak kambing biri-biri Dorper sebagai aktiviti utama di kawasan seluas 150 hektar yang juga merupakan ladang pembiakan Dorper yang terbesar di Terengganu. Projek ini juga merupakan program membasmi kemiskinan yang dilaksanakan oleh ECERDC di mana para peserta dan keluarga mereka mendapat manfaat daripada aktiviti pertanian. Tempat tinggal dan kemudahan komuniti turut disediakan di sini. Projek BSA telah memanfaatkan 85 orang peserta dan 340 orang ahli keluarga mereka dan membolehkan mereka keluar daripada garis kemiskinan.
ECERDC akan turut memberi perhatian kepada industri perikanan secara keseluruhan di Terengganu bagi membawa perubahan kepada kehidupan nelayan dan mentransformasi industri perikanan. Infrastruktur yang perlu dinaik taraf di kawasan perikanan utama seperti Chendering dan Pulau Kambing sedang dikenal pasti bagi memajukan lagi industri perikanan tempatan.
PELANCONGAN
“Sektor pelancongan telah terjejas teruk akibat pandemik. Walau bagaimanapun, ECERDC akan terus melaksanakan projek infrastruktur strategik bagi menghidupkan sektor pelancongan Terengganu,” kata Encik Baidzawi.
Taman Negeri Setiu Wetlands merupakan sebuah lagi projek penting di Terengganu. Kawasan ini terdiri daripada sembilan ekosistem yang terhubung antara satu sama lain dan memiliki flora, fauna dan hidupan liar yang unik termasuk beberapa jenis spesies ‘Terancam’ dan ‘Sangat Terancam’. Keutamaan dalam masa terdekat termasuklah mewujudkan Zon Pengurusan Setiu Wetlands dan mewartakan Wetlands sebagai Taman Negeri bagi melindungi ekologinya secara berkesan. Matlamat ECERDC adalah untuk menjadikan Setiu Wetlands sebagai salah satu destinasi ekopelancongan utama di Malaysia, terutamanya melalui Jejak Pelancongan Setiu (Setiu Tourism Trail).
Bagi menyokong usaha ini, ECERDC mencadangkan pendekatan pelancongan berasaskan komuniti (PBK) di Setiu Wetlands. Konsep pelancongan yang baharu ini merangkumi penglibatan penduduk tempatan sebagai pemandu pelancong. Pendekatan PBK memperkasakan masyarakat setempat dan pada masa yang sama melindungi warisan ekologi, sosial dan budaya tempatan. ECERDC berhasrat untuk memperkasakan masyarakat melalui Koperasi Pembangunan Setiu Wetlands.
Pemangkin industri pelancongan negeri ialah Kuala Terengganu City Centre (KTCC) termasuk Jambatan Angkat KTCC. Bagi meningkatkan lagi daya tarikan KTCC, ECERDC merancang untuk membangunkan KTCC Promenade bagi menghasilkan nilai ekonomi kepada masyarakat setempat.
INFRASTRUKTUR
Kerajaan menerusi ECERDC telah membuat pelaburan yang besar untuk infrastruktur bagi membolehkan dan memangkin pertumbuhan sosioekonomi dan pada masa yang sama memastikan kelestarian alam sekitar terutamanya melibatkan pelancongan pulau. Antara projek yang sedang dilaksanakan adalah pembinaan empat tanjung buatan (headlands) tambahan di Pantai Teluk Lipat, Dungun, dan kerja menaik taraf sistem solar hibrid di Pulau Kapas.
Pembinaan tanjung buatan bermula pada 30 Oktober 2020 dan dijangka siap pada penghujung bulan Ogos 2022. ECERDC telah siap membina empat (4) tanjung buatan di Teluk Lipat pada tahun 2017 dan ia mampu melindungi Teluk Lipat ketika musim tengkujuh sejak siap dibina.
Kerja menaik taraf sistem solar hibrid di Pulau Kapas telah bermula pada 15 Disember 2020 dan dijangka selesai pada akhir September 2021. Inisiatif tenaga boleh diperbaharui ini sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mencapai campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 20% menjelang tahun 2025. Pada masa ini, usaha untuk mengganti Genset sedang giat dilakukan. Pada bulan Mac 2021, tiga (3) Genset baharu akan dipasang sebagai standby Genset, sebagai persediaan untuk pembukaan semula resort di Pulau Kapas setelah tamat musim tengkujuh.
PELABURAN
Sehingga 8 Februari 2021, Terengganu berjaya menarik pelaburan swasta komited sebanyak RM2.2 bilion, iaitu 56% daripada sasaran pelaburan komited sebanyak RM3.9 bilion untuk tahun 2021. Daripada jumlah ini, sebahagian besar pelaburan komited datang daripada sektor pembuatan (99%). Sasaran pelaburan yang direalisasikan untuk tahun 2021 ialah RM3.2 bilion di mana 14% daripada pelaburan dalam perancangan telah pun dilaksanakan.
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi akibat wabak COVID-19, ECERDC akan memperhebatkan aktiviti untuk menarik pelaburan baharu terutama di dalam industri tenusu. Ini termasuklah mengukuhkan kerjasama dengan dewan-dewan perniagaan, termasuk usaha promosi yang memberi fokus kepada sektor tumpuan bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Terengganu Inc dan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF). ECERDC juga akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu untuk merealisasikan pelaburan di negeri ini, terutamanya projek pelaburan di KTCC.
KESIMPULAN
“Pembangunan masyarakat setempat dan memperkasakan mereka untuk menjana kekayaan melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan yang lebih baik adalah kunci kepada pembangunan sosioekonomi jangka panjang di Negeri Terengganu. ECERDC akan terus mempromosikan Wilayah ECER sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi pelabur tempatan dan asing, menawarkan infrastruktur yang sedia untuk perniagaan, kesalinghubungan yang berkesan dan program pembangunan modal insan yang proaktif. ECERDC juga komited untuk memelihara warisan semula jadi dan budaya negeri. Oleh itu, rancangan untuk membangunkan ECER sentiasa berteraskan kelestarian persekitaran dan masyarakat,” jelas Encik Baidzawi.
-TAMAT-