ECERDC CAPAI SASARAN PELABURAN DIREALISASIKAN TAHUN 2024

 Usaha Kolaboratif Pacu Pertumbuhan Ekonomi di Wilayah Pantai Timur 

 PUTRAJAYA, 15 Oktober 2024: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah melepasi sasaran pelaburan RM10 bilion bagi tahun 2024 dengan RM13.3 bilion pelaburan direalisasikan dalam wilayah ini setakat September 2024. Pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 8,700 peluang pekerjaan dalam pelbagai industri termasuk pembuatan keluli, petrokimia, produk biojisim, dan pelancongan. 

Di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) (2018 – 2025), ECERDC telah meraih pelaburan direalisasikan berjumlah RM44.4 bilion di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), melebihi 90 peratus sasaran RM49 bilion seperti yang ditetapkan di bawah EMP 2.0. Pelaburan ini telah mewujudkan lebih 69,000 peluang pekerjaan dan 23,000 peluang keusahawanan di wilayah ini. Dalam masa yang sama, ECERDC telah memudahcara pelaburan komited berjumlah RM58.6 bilion, mewakili 84 peratus sasaran RM70 bilion di bawah EMP 2.0. 

“ECERDC telah mencapai 90 peratus daripada sasaran RM49 bilion di bawah EMP 2.0 merupakan bukti jelas potensi ekonomi yang semakin meningkat di rantau ini. Pelaburan yang direalisasikan dan penciptaan pekerjaan telah meningkatkan ekonomi rantau ini dengan ketara. Usaha berterusan ECERDC, dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), meletakkan Wilayah Pantai Timur sebagai hab pelaburan strategik yang bersedia untuk menarik aliran masuk modal yang tinggi,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, selepas Mesyuarat Majlis ECER bilangan kedua tahun 2024 yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, hari ini. 

“Dalam mesyuarat hari ini, MIDA dan ECERDC telah memuktamadkan rangka kerja kerjasama, menandakan langkah penting dalam meningkatkan daya tarikan wilayah ini kepada pelabur. Sinergi antara MIDA dan ECERDC adalah penting dalam memastikan kelancaran dan kejayaan pemudahcaraan pelaburan di Wilayah Pantai Timur, dari peringkat awal sehingga fasa sokongan selepas pelaburan,” menurut YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat. 

Selaras dengan matlamat pembangunan saksama MADANI, Pelan Pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dari tahun 2026 hingga 2030 turut dibentangkan oleh ECERDC semasa mesyuarat tersebut. Pelan strategik ini memberi tumpuan kepada empat teras utama, termasuk meningkatkan keterjaminan makanan melalui bakul makanan (food basket) negara, mencipta destinasi pelancongan baharu seperti Pelancongan Rel ECER, 

pembangunan industri marin, termasuk pembinaan kapal dan pembaikan kapal, dan memajukan sektor pembuatan “Hard-to-Abate” seperti keluli, petrokimia dan mineral. 

Inisiatif ini akan disokong oleh pembolehdaya utama (key enabler) seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berfungsi sebagai jambatan darat antara Pantai Timur dan Barat, mengukuhkan kedudukan strategik Wilayah Pantai Timur sebagai pintu masuk ke China dan Asia Pasifik dengan perluasan pelabuhan dan lapangan terbang untuk meningkatkan perdagangan dan pelancongan. Pelan tersebut juga menekankan zon tenaga boleh diperbaharui, teknologi pengawalan karbon (CCUS), dan pengeluaran biotenaga, memastikan pertumbuhan mampan di Wilayah Pantai Timur. 

ECERDC menyasarkan sasaran untuk mencapai RM225 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, dipacu oleh kadar pertumbuhan tahunan sebanyak tujuh peratus. Projek utama dalam empat sektor ekonomi, bersama inisiatif pemangkin, dijangka menyumbang 60 peratus daripada jumlah pertambahan KDNK Wilayah Pantai Timur dalam tempoh ini. Fokus ini memberi penekanan kepada peranan wilayah ini yang signifikan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. 

Turut hadir dalam mesyuarat Majlis tersebut adalah YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu; YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang; YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor; dan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan. Menteri Ekonomi, YB Tuan Mohd Rafizi Ramli; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz serta YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara juga hadir dalam mesyuarat tersebut. 

-TAMAT- 

MENGENAI ECER AND ECERDC 

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan. 

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur. ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER. 

Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti. 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi: 

Nadhirah Naaim 

Eksekutif Kanan, Perhubungan Media 

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) 

Tel: 03-8885 0166 / 017-230 3924 

Emel: nadhirahn@ecerdc.com.my