ECERDC DAN JOGMEC MENANDATANGANI MEMORANDUM KERJASAMA UNTUK PEMBANGUNAN NADIR BUMI MAMPAN DI ECER

PUTRAJAYA, MALAYSIA 11 DISEMBER 2025 – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC) bagi memperkukuh kerjasama teknikal dalam penerokaan serta pembangunan nadir bumi (REE) dan sumber mineral lain di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Pada 26 Oktober 2025, semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia bersedia memperdalam kerjasama dengan Jepun merentasi rantaian nilai REE dan mineral kritikal, serta mengalu-alukan penglibatan Jepun dari penerokaan dan perlombongan huluan sehingga ke penapisan pertengahan dan pembuatan bernilai tinggi hiliran.

Di bawah Pelan Pembangunan ECER 2026–2030, sektor mineral adalah pemacu strategik bagi menarik pelaburan di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran. ECERDC terus memacu pembangunan industri nadir bumi di ECER dan sedang memposisikan wilayah ini sebagai hab utama dalam landskap pembangunan nadir bumi negara melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi.

Dengan usaha berterusan dalam penerokaan, amalan perlombongan mampan, pembangunan industri pertengahan dan hiliran serta kerjasama strategik bersama pelabur asing, ECER berada pada kedudukan kukuh untuk menarik pelaburan berskala besar. Ini turut disokong oleh kekuatan sumber mineral di mana dianggarkan hampir 70% rizab REE negara berada di negeri-negeri ECER.

Walaupun potensi sumber adalah besar, industri nadir bumi masih berdepan cabaran dalam penerokaan terperinci, termasuk kos tinggi bagi verifikasi dan penilaian sumber. Melalui MoC ini, ECERDC akan bekerjasama dengan JOGMEC, sebuah agensi pentadbiran di bawah pemantauan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun dengan memanfaatkan pengalaman global agensi itu dalam penerokaan dan penilaian sumber nadir bumi.

MoC ini menyediakan rangka kerja fleksibel bagi kerjasama yang meliputi:

  • Aktiviti penerokaan geologi dan penilaian sumber.
  • Pertukaran ilmu dan teknologi, pembangunan kapasiti serta sokongan analitikal.
  • Penyelarasan bersama kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pelaksanaan selaras dengan dasar nasional; dan
  • Pengukuhan hubungan antara penerokaan huluan dengan peluang pembangunan pertengahan dan hiliran.

Di bawah kerangka kerjasama ini, ECERDC akan menyelaras pelaksanaan aktiviti penerokaan bersama kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi memajukan kawasan prospek REE utama di ECER. Fasa awal kerjasama dijangka bermula di Kelantan dalam masa terdekat, menandakan langkah penting ke arah memperkukuh kesiapsiagaan huluan melalui hasil penerokaan yang diyakini, lestari dan bersedia untuk menarik pelaburan.

“ECER mempunyai asas sumber dan kesiapsiagaan industri untuk muncul sebagai koridor REE terkemuka Malaysia. Kerjasama bersama JOGMEC ini bakal mengukuhkan keupayaan huluan kita agar pembangunan industri dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab, kompetitif dan berdaya saing, selain memastikan rantaian nilai ECER bersedia untuk pelaburan jangka panjang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat.

MoC ini dimeterai pada waktu yang sangat signifikan bagi usaha membangunkan rantaian bekalan REE yang lengkap di ECER. Dalam segmen pertengahan, Lynas Malaysia, yang telah lama beroperasi di rantau ini, telah meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunannya daripada 7,200 tan kepada 10,800 tan setahun, dan turut merancang untuk memproses sehingga 5,000 tan nadir bumi berat setahun dalam fasa seterusnya. Dengan Lynas kini bersedia untuk memproses REE yang berpunca dari sumber tempatan, MoC ini akan memainkan peranan penting dalam memastikan aktiviti penerokaan dan perlombongan dijalankan secara bertanggungjawab dan mampan, sekali gus mengoptimumkan potensi huluan ECER serta menjamin bekalan bahan mentah berkualiti tinggi bagi menyokong pertumbuhan industri pertengahan.

Di peringkat hiliran, perjalanan REE ECER bakal melangkah ke fasa yang lebih maju melalui cadangan penubuhan kilang pembuatan magnet kekal rare earth di Kuantan, Pahang, yang akan dibangunkan melalui kerjasama antara Lynas Malaysia dan JS Link dari Korea Selatan. Loji magnet neodymium-iron-boron (NdFeB) berkapasiti 3,000 tan setahun ini, dengan anggaran pelaburan RM600 juta, disasarkan mula beroperasi sekitar 2027. Pembinaan loji ini akan menjadi titik perubahan penting bagi rantaian nilai ECER, mengukuhkan keupayaan penjanaan nilai hiliran dan memposisikan ECER sebagai antara lokasi terpilih di dunia dengan rantaian bekalan REE bersepadu daripada perlombongan lestari huluan hingga pembuatan hiliran berteknologi tinggi.

MoC ini berkuat kuasa serta-merta selepas ditandatangani dan sah sehingga 31 Mac 2028. Sepanjang tempoh ini, kedua-dua pihak akan melaksanakan aktiviti bersama berdasarkan persetujuan bersama dan kesediaan sumber.