PUTRAJAYA, 13 Ogos, 2015: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Swansea University dari United Kingdom yang bakal membuka laluan bagi kolaborasi antara pihak industri dan akademia di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), di samping mempromosikan kerjasama antara kedua-dua universiti tersebut dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Di bawah MOU tersebut, kedua-dua universiti berkenaan akan menjalin kerjasama dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan dan akademik, yang antara lainnya meliputi, pemindahan ilmu dan pembangunan produk untuk tujuan komersial, memudahcara kemasukan bagi kursus dan program pengajian di universiti masing-masing, serta pertukaran kakitangan dan pelajar.
Bagi aktiviti penyelidikan, fokus akan diberikan kepada bidang-bidang kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perubatan, serta teknologi dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan bio-sains. Projek perintis yang dicadangkan ialah kerjasama penyelidikan antara Pusat Penyelidikan Aliran Bendalir Termaju (CARIFF), UMP dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Tenaga (ESRI), Swansea University.
Kepakaran CARIFF ialah dalam bidang teknologi dinamik bendalir, khususnya dalam bidang pengurangan geseran (drag reduction), sistem aliran pelbagai fasa (multiphase flow systems), teknologi minyak dan gas, serta dinamik cecair reaktif. Kepakaran ESRI pula ialah dalam sektor tenaga, khususnya berkaitan isu-isu keselamatan dalam pembangunan dan pengembangan proses-proses tenaga sedia ada, juga dalam penggunaan dan penyepaduan tenaga “hijau” baharu yang selamat. ESRI pada masa ini telah pun bekerjasama dengan pelbagai syarikat multinasional dari industri minyak dan gas, perawatan air, serta pembuatan bahan.
“Kami amat berbangga kerana Swansea University telah memilih UMP dan ECER bagi kerjasama yang bersejarah ini, yang merupakan satu perkembangan yang positif, bukan sahaja untuk industri dan komuniti akademik tetapi juga untuk rakyat di Wilayah ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John.
“Peranan ECERDC dalam kolaborasi ini ialah untuk menggabungkan kekuatan dan kepakaran unik kedua-dua universiti berkenaan melalui kolaborasi industri-akademik yang akan memanfaatkan para pelabur di ECER, khususnya dalam membangunkan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri,” kata Datuk Seri Issace.
Beliau menambah bahawa kolaborasi tersebut adalah sejajar dengan wawasan Kerajaan untuk mentransformasi ECER menjadi sebuah destinasi pelaburan yang unggul, dengan pertumbuhan yang dipacu oleh ekonomi berasaskan pengetahuan.
“ECERDC, UMP dan Swansea University menyedari bahawa penyelidikan dan pembangunan mampu menghasilkan inovasi yang cemerlang dalam bidang-bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi kejuruteraan, perubatan, sains hayat dan pengkomputeran berprestasi tinggi, yang merupakan bidang-bidang utama dalam ekonomi berasaskan pengetahuan,” jelas beliau.
“Kerjasama industri dan akademik, ditambah pula dengan peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan kedua-dua buah negara sebagai pemudahcara, sudah tentunya akan dapat membantu merangsang pembangunan inovasi untuk dijadikan produk komersil dan perkhidmatan yang mampu menyumbang kepada penjanaan peluang-peluang pekerjaan baharu untuk penduduk tempatan. Ini seterusnya akan membantu mempertingkat dan mengubah kualiti kehidupan rakyat dan komuniti setempat agar menjadi lebih baik.”
Pada majlis pertukaran dokumen perjanjian yang berlangsung hari ini, ECERDC turut bertukar dokumen kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi perlantikan ketiga-tiga universiti tersebut sebagai penyedia latihan untuk Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER di negeri-negeriTerengganu, Kelantan dan Pahang.
empower ECER adalah program pembangunan modal insan yang dilaksanakan oleh ECERDC dengan tujuan untuk memperkukuh dan memperkasakan komuniti tempatan di ECER melalui latihan kemahiran akademik dan keusahawanan. Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha ECERDC untuk merapatkan jurang ekonomi yang wujud di antara wilayah pantai timur dan pantai barat, serta menangani kemiskinan di kawasan luar bandar dan di kalangan 40% rakyat yang berada di peringkat paling bawah di Wilayah ini, selaras dengan pendekatan inklusif dan menyeluruh yang diambil pihak Kerajaan dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER direka khusus untuk graduan menganggur, golongan dewasa yang berpendapatan rendah, serta para ibu tunggal, dengan objektif untuk melengkapkan mereka dengan latihan kemahiran dan ilmu keusahawanan yang mencukupi, bagi mempertingkatkan kebolehpasaran mereka untuk diambil bekerja atau memulakan perniagaan sendiri.
Kini, empower ECER sedang dilaksanakan di 20 lokasi di seluruh ECER dan telah memberi manfaat kepada lebih 33,400 pelajar luar bandar dan lebih 11,600 peserta dewasa yang menyertai Program Latihan Akademik dan Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang ditawarkan.
Bagi peserta dewasa yang menyertai Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER, adalah dijangkakan sehingga 80% daripada mereka akan memperolehi pekerjaan apabila tamat kursus kelak atau memiliki pengetahuan dan pengalaman praktikal yang mencukupi untuk memulakan perniagaan sendiri, dengan keupayaan untuk menjana pendapatan tambahan di antara RM500 dan RM1,500 sebulan, atau lebih.