ECERDC KEKAL KOMITED UNTUK MENINGKATKAN PERTUMBUHAN EKONOMI DI PAHANG MENERUSI PERTANIAN DAN PELANCONGAN SEBAGAI SEKTOR UTAMA

PAHANG, 25 FEBRUARI 2020: Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) komited untuk merancakkan pembangunan sosioekonomi negeri Pahang menerusi beberapa projek utama dalam sektor pertanian dan pelancongan. Projek-projek ini dilaksanakan bagi menarik pelaburan baharu ke negeri Pahang dan pada masa yang sama pembangunan modal insan terus diutamakan bagi mengurangkan pengangguran, mencegah kemiskinan pada masa hadapan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.

“ECERDC bekerjasama rapat dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk menarik kemasukan pelaburan ke sektor-sektor utama bagi memperkasakan ekonomi. Kami mengambil pendekatan menyeluruh untuk meningkatkan pelaburan, termasuk membangunkan tarikan pelancongan serta menerajui pembangunan modal insan bagi membangunkan tenaga kerja tempatan yang bersedia untuk menyertai industri. Melalui usaha yang berterusan ini, kami menyasarkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu untuk rakyat di negeri Pahang,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC di Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang yang diadakan hari ini.

 

PELABURAN

ECERDC menyasarkan untuk menarik RM5.1 bilion pelaburan komited ke Pahang pada tahun 2021. Untuk mencapai matlamat ini, ECERDC akan terus meningkatkan aktiviti-aktiviti promosi bagi merealisasikan dan menarik pelaburan baharu ke Pahang, terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan. Ini termasuk kerjasama rapat bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA – termasuk pejabat di luar negara), dewan-dewan perniagaan dan rakan-rakan saluran yang lain.

ECERDC juga akan terus mempromosikan taman-taman perindustrian utama di Pahang seperti Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Taman Automotif Pekan (PAP), Taman Teknologi Pahang dan Taman Industri Halal Gambang kepada para pelabur.

Ekosistem, sumber dan infrastruktur di negeri ini menjadikannya sebuah destinasi pembuatan yang berdaya saing. Kerajaan Negeri Pahang telah membangunkan “Kawasan Khas Daerah Gebeng Kecil” untuk memudahcara pelaburan dan perniagaan. Selain itu, Pusat Kemudahan Pelaburan Gebeng (GIFC) telah ditubuhkan oleh ECERDC bersama Kerajaan Negeri bagi mempercepatkan proses merealisasikan pelaburan di negeri Pahang.

 

PERTANIAN

Pertanian merupakan tumpuan pembangunan utama di Pahang, dengan adanya kawasan pertanian yang luas untuk menyokong usaha meningkatkan jaminan makanan negara. Bagi meningkatkan lagi pembangunan pertanian, ECERDC telah mengenal pasti dan bekerjasama rapat dengan para pelabur swasta bagi membangunkan industri tenusu di Pahang Barat dan mencontohi kejayaan di Muadzam Shah. Projek ini akan menyumbang ke arah memenuhi permintaan susu segar dan daging di dalam negara serta menyediakan peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk penduduk tempatan seperti penternak dan usahawan tani.

Beberapa kawasan padang ragut telah dikenal pasti di negeri ini dan ECERDC sedang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan pihak-pihak yang berkaitan untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan projek lembah tenusu ini berjalan lancar.

 

LOGISTIK DAN INFRASTRUKTUR

Pembangunan projek infrastruktur strategik seperti Central Spine Road (CSR), yang mana jajaran dari Kota Bharu hingga ke Bentong dijangka siap pada tahun 2025 akan memainkan peranan penting dalam keseluruhan pembangunan ekonomi di Pahang dan ECER kerana ia akan membuka jalan untuk pertumbuhan ekonomi di kawasan-kawasan pedalaman.

Antara projek infrastruktur yang akan dilaksanakan ialah pembinaan saluran paip bagi bekalan air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng yang akan bermula pada bulan Jun 2021. Projek ini dijangka akan meningkatkan daya tarikan Gebeng kepada para pelabur. Kelebihan lain Negeri Pahang untuk para pelabur ialah kedudukan Pelabuhan Kuantan yang menjadikannya sebagai pintu gerbang yang ideal untuk menembusi pasaran ASEAN dan Asia Pasifik. Kelebihan ini akan menggalakkan lagi perdagangan antarabangsa dan juga pelaburan ke negeri ini.

 

PEMBANGUNAN PELANCONGAN

Sektor pelancongan akan terus menjadi pemacu ekonomi utama yang akan mendorong pertumbuhan sosioekonomi di Pahang dan melonjakkan pelancongan di ECER. Walaupun sektor ini amat terkesan dengan impak pandemik dan sekatan perjalanan, ECERDC akan terus membangunkan destinasi tarikan pelancong untuk menggalakkan pelancongan domestik dan memastikan sektor ini dibangunkan secara mampan.

Menara Kuantan 188 yang baharu dirasmikan dan kini dibuka untuk umum akan membantu memacu pelancongan bandar di Kuantan dan kawasan sekitarnya. Pelonggaran sekatan perjalanan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat oleh kerajaan diharapkan dapat menggalakkan masyarakat setempat untuk mengunjungi dan menikmati kawasan tarikan pelancongan yang berdekatan. Ini dapat membantu menghidupkan industri pelancongan domestik yang terjejas teruk susulan daripada sekatan yang dilaksanakan akibat wabak COVID-19.

Selain daripada pelancongan bandar, sektor ekopelancongan dan pelancongan warisan mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan. Beberapa projek pelancongan utama ECERDC di Pahang termasuk pembangunan pulau yang mampan di Pulau Tioman dan penaiktaran Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating yang akan menjadi tarikan kepada pelancong eko. Manakala, penaiktarafan bangunan warisan di Kuala Lipis pula akan meningkatkan pelancongan seni, budaya dan warisan di Pahang Barat.

 

PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Pembangunan modal insan di Pahang kekal menjadi keutamaan dan berperanan membantu rakyat menyesuaikan diri dan bertahan dalam realiti ekonomi baharu. Program pembangunan modal insan ECERDC dilaksanakan menerusi dua strategi yang selari; menyediakan rakyat dengan kemahiran supaya mereka mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi serta meningkatkan pengetahuan untuk mengelakkan kemiskinan pada masa yang akan datang.

Berikutan wabak COVID-19, ECERDC telah melaksanakan Program Pemerkasaan Graduan ECER (ETEP) di bawah PENJANA-ECERDC untuk menyokong para pelabur dan rakyat dalam jangka pendek. Program Latihan & Penempatan (Train & Place) dan Penempatan & Latihan (Place & Train) ECERDC menawarkan kursus-kursus teknikal bagi melengkapkan peserta dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri dan juga menawarkan penempatan kerja sebelum latihan bermula. Program-program ini akan memberi manfaat kepada seramai 5,500 orang peserta menjelang separuh pertama tahun 2021. Sehingga kini, seramai 1,083 orang peserta telah mendapat penempatan pekerjaan menerusi kedua-dua program ini. Peserta yang selebihnya dijangka akan menamatkan latihan mereka pada bulan Mei 2021.

ECERDC juga membangunkan usahawan menerusi program empower ECER. Seramai 2,378 usahawan baharu telah dibangunkan dan diberi latihan kemahiran seperti simpan kira dan pendigitalan, yang mana 70% daripada mereka telah menggunakan platform digital untuk meningkatkan jualan. ECERDC turut membantu peserta mendaftarkan perniagaan mereka. Menerusi program entrepreneur ECER, seramai 1,729 orang usahawan sedia ada telah dibantu untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan meningkatkan kualiti pengeluaran, pembungkusan, penjenamaan dan persijilan. Para usahawan ini telah mewujudkan lebih daripada 3,000 peluang pekerjaan untuk warga tempatan dalam komuniti mereka.

Untuk jangka masa panjang, program pembangunan modal insan ECERDC akan memberi penekanan kepada latihan-latihan yang menumpukan kepada kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan seperti kemahiran pendigitalan dan IR4.0. Ini adalah penting bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka pada masa akan datang.

ECERDC juga terus menyediakan program latihan dan pembangunan untuk masyarakat Orang Asli terutamanya di kawasan Pahang Barat yang mana hampir 40 peratus daripada masyarakat Orang Asli tinggal di kawasan ini. Tahun ini, ECERDC akan bekerjasama dengan Yayasan Pahang dan MyKasih untuk memberi latihan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Kuala Koyan di Kampung Orang Asli Pak Senam di Lipis dalam bidang penanaman cili menggunakan sistem fertigasi bagi meningkatkan hasil. Program pengayaan dan kelas tuisyen turut disediakan untuk anak-anak Orang Asli bagi membantu dan memudahkan pembelajaran mereka.

 

KESIMPULAN

“ECERDC kekal komited untuk memastikan pertumbuhan sosioekonomi yang mampan dan seimbang bagi rakyat negeri Pahang. Transformasi sosioekonomi untuk jangka masa panjang negeri ini akan didorong oleh projek-projek pembangunan berimpak tinggi yang telah dikenal pasti. Sektor pertanian dan pelancongan kedua-duanya akan menggalakkan pelaburan swasta. Sekaligus, ini akan mewujudkan kesan riak (ripple effects) seperti peningkatan peluang pekerjaan dan keusahawanan, serta menjadi faktor penting dalam pemerkasaan ekonomi di Pahang,” jelas Encik Baidzawi.