ECERDC MENERAJUI PEMBANGUNAN INDUSTRI KENDERAAN REKREASI (RV) DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 24 FEBRUARI 2022: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kini menerajui pembangunan industri kenderaan rekreasi (RV) serta caravan di Malaysia, dengan memanfaatkan pertumbuhan global industri tersebut selepas pandemik.

ECERDC mengambil langkah pertama dengan mempertemukan penggubal-penggubal dasar dan pemain industri kenderaan rekreasi dan karavan terkemuka dari luar negara untuk menerokai rangka kerja bagi membangunkan industri tersebut di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), dan seterusnya di seluruh Malaysia.

Ahli-ahli Persatuan Karavan dari Jerman (Caravaning Industrie Verband e.V – CIVD) yang mewakili pemain industri RV Jerman telah menerima jemputan ECERDC untuk berkunjung ke Malaysia dan khususnya ECER dari 20 hingga 24 Februari bagi meninjau peluang pelaburan dan perniagaan, serta mengenal pasti hab karavan bagi pasaran ASEAN dan Asia Pasifik.

Delegasi CIVD telah menyertai mesyuarat meja bulat anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang dihadiri wakil daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensi-agensi terlibat termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Mesyuarat tersebut antara lainnya membincangkan pelbagai isu teknikal bagi pelaksanaan industri RV di Malaysia.

Dengan kedudukannya di tengah-tengah Asia Tenggara, Malaysia memberi peluang kepada pengeluar RV Jerman untuk meneroka peluang pelaburan di ECER. Ini termasuk menubuhkan kilang pemasangan RV bagi memenuhi keperluan pasaran domestik, ASEAN dan Asia Pasifik. ECERDC memainkan peranan untuk membantu memudahcara agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam pelaksanaan projek pemangkin yang strategik dan berimpak tinggi bagi membangunkan sosioekonomi di ECER, dan pembangunan industri RV adalah salah sebuah projek sedemikian.

Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC berkata: “Di Malaysia, pelancongan RV masih lagi di peringkat permulaan, walaubagaimanapun, industri ini mempunyai potensi untuk berkembang. Seperti pelancong luar negara, pelancong domestik juga mencari pilihan yang lebih selamat untuk melancong serta menikmati alam semula jadi. Terdapat sejumlah besar peminat karavan di Malaysia, dan bilangannya semakin meningkat.”

Dalam rangka lawatan tersebut, ECERDC turut membawa delegasi Jerman melawat hab automotif ECERDC, Taman Automotif Pekan (PAP), untuk menilai potensinya sebagai hab pemasangan RV bagi pasaran domestik dan eksport. PAP adalah sebuah taman automotif bersepadu dan mesra alam, dengan ekosistem automotif yang matang. Ia menempatkan pembuat kenderaan Jerman seperti Mercedes-Benz dan Volkswagen, serta pemain global lain yang kritikal dalam rantaian bekalan automotif.

Potensi industri RV bukan sahaja pelaburan dalam sektor pembuatan dan pekerjaan yang berkaitan, ia juga mampu merangsang potensi ekonomi tempatan yang belum diterokai dalam industri pelancongan. Malaysia, khususnya di Pantai Timur, mempunyai banyak destinasi pelancongan, dan pada masa ini, terdapat lebih 150 tapak perkhemahan dan rekreasi di seluruh negara, terutamanya di sepanjang pesisir pantai di wilayah ECER.

Tasik Bera di Pahang dan Pantai Air Papan di Mersing, Johor adalah contoh destinasi sedia ada di wilayah ECER yang bakal menjadi tumpuan pelancongan RV. Tasik Bera yang terletak di barat daya negeri Pahang berpotensi dibangunkan untuk pelancongan berimpak rendah, dengan mengambil kira kesejahteraan suku kaum asli yang menetap berhampiran. Pantai Air Papan di Mersing, Johor pula merupakan destinasi popular bagi penduduk tempatan dan pelancong yang gemar berenang dan bersantai di bawah sinar matahari. Industri RV juga akan memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan dan pada masa yang sama, mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Daniel Onggowinarso, Pengarah Urusan CIVD, berkata: “Bercuti menggunakan karavan adalah salah satu bentuk percutian paling selamat buat masa kini. Ini adalah kerana perjalanan hanya melibatkan ahli keluarga dalam karavan yang lengkap dengan kemudahan tempat tinggal, memasak dan tandas. Malaysia pula menawarkan destinasi indah yang amat sesuai untuk pelancongan sebegini. Dari pertemuan kami dengan kementerian dan agensi berkaitan, kami dapat melihat potensi untuk menubuhkan hab karavan di Malaysia, terutamanya di ECER. Kami berharap dapat meneroka prospek pelaburan dan kerjasama dalam industri karavan di ECER.”

Permintaan untuk RV telah berkembang dengan pesat di negara jiran seperti Australia, New Zealand, Jepun, China dan Korea. Pada tahun 2020, Australia merekodkan 45,000 unit pendaftaran RV baharu, di mana 20% daripadanya diimport dari China.