ECERDC MENERAJUI REALISASI PELABURAN DI WILAYAH EKONOMI PANTAI TIMUR

Jawatankuasa Eksekutif ditubuh untuk pengurusan operasi dan pelaksanaan pembangunan ECER

PUTRAJAYA, 1 APRIL 2024: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM41.4 bilion sehingga Mac 2024 iaitu 84% daripada sasaran RM49 bilion di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0). Pelaburan ini telah mewujudkan 68,000 peluang pekerjaan dan 23,000 peluang keusahawanan di ECER. Dalam tempoh yang sama, ECERDC juga telah memudahcara pelaburan komited bernilai RM55.2 bilion, iaitu 79% daripada sasaran RM70 bilion di bawah EMP 2.0.


“Peranan ECERDC sebagai pihak berkuasa koridor adalah penting untuk bekerjasama dengan semua agensi, jabatan dan kementerian di peringkat negeri dan persekutuan bagi merealisasikan pelaburan ke ECER agar lebih banyak lagi peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan dapat dinikmati oleh rakyat tempatan,” kata YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis ECER di Perdana Putra, hari ini.


Mesyuarat turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu; YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang; YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor; dan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan. Mesyuarat turut dihadiri oleh Menteri Ekonomi, YB Tuan Mohd Rafizi Ramli, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.


“ECERDC telah mengekalkan momentum dalam memudahcara dan merealisasikan pelaburan ke ECER dengan inisiatif yang dilaksanakan secara konsisten dan pelaksanaan projek-projek strategik yang mewujudkan ekosistem mesra pelabur. Pakej Insentif ECER oleh Kerajaan Persekutuan juga adalah faktor penarik yang telah meningkatkan daya saing ECER sebagai destinasi pelaburan pilihan. Berdasarkan prestasi setakat ini, saya yakin ECERDC akan dapat memenuhi sasaran pelaburan yang ditetapkan di bawah EMP 2.0 menjelang hujung tahun ini,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.


Sewaktu mesyuarat, perkara utama yang dibincangkan adalah cadangan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif (“EXCO”) untuk meneliti dan memutuskan semua perkara-perkara operasi serta pelaksanaan bagi pembangunan ECER. Penubuhan Jawatankuasa EXCO ini akan membolehkan Majlis ECER untuk lebih menumpukan kepada perkara-perkara berhubung strategi dan dasar dalam pembangunan sosioekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

-TAMAT-


Mengenai ECER dan ECERDC

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke dalam Wilayah. ECERDC yang ditubuhkan pada 13 Jun 2008, menyambut ulang tahunnya yang ke-15 pada tahun 2023.

Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 4.8 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0182 / 010-408 1085
E-mel: mazlinda@ecerdc.com.my