ECERDC PERKUKUH PEMBANGUNAN BERTERASKAN PELANCONGAN DI TERENGGANU DENGAN PELABURAN KOMITED RM1 BILION

KUALA TERENGGANU, 28 APRIL 2025 – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya memudahcara pelaburan komited berjumlah RM1 bilion di Terengganu setakat suku pertama tahun 2025, iaitu mencapai 43% daripada sasaran pelaburan sebanyak RM2.4 bilion yang ditetapkan untuk negeri tersebut tahun ini. Sebahagian besar dari pelaburan ini didorong oleh sektor pelancongan, di mana ia mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai hab strategik untuk inisiatif pelancongan bernilai tinggi.
Selain pelancongan, pelaburan tersebut turut merangkumi sektor utama lain seperti pertanian, pembuatan dan perkhidmatan, mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kepelbagaian ekonomi dan potensi pembangunan negeri ini. Pelaburan komited ini mewakili sebuah langkah penting dalam transformasi pelancongan dan pertanian di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Antara projek di bawah pelaburan komited ini termasuklah ladang solar fotovoltaik berkapasiti 60MW yang telah diintegrasikan dengan projek pertanian, fasiliti pemprosesan Ammonium Paratungstate, serta pusat pengumpulan dan rawatan sisa. Projek lain yang sedang dilaksanakan adalah ladang tenusu yang disokong oleh penanaman rumput napier dan sistem biodigester, serta fasiliti pengeluaran Calcined Kaolin.
“Setakat Mac 2025, pelaburan yang telah direalisasikan di Terengganu mencecah RM729.7 juta dan berjaya mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu. Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama, diikuti oleh pelancongan, pertanian dan perkhidmatan,” kata YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu.
“Terengganu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan strategik dengan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, ECERDC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Kerajaan Negeri juga komited untuk memperkasa inovasi dan pertumbuhan mampan yang merentas sektor utama, daripada pertanian hingga ke pembuatan berteknologi tinggi, demi mencipta peluang pekerjaan berkualiti, merangsang pembangunan jangka panjang dan memperkukuh asas ekonomi negeri,” tambah YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Salah satu pencapaian yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu ialah penyempurnaan kerja-kerja naik taraf infrastruktur di Taman Biopolimer Kerteh (KBP) di bawah Fasa 4A. Inisiatif ini bakal memperkukuh peranan KBP sebagai platform nasional bagi pengeluaran bahan termaju, teknologi bersih dan biopolimer. Sejak KBP mula beroperasi pada Jun 2015, KBP telah merekodkan pelaburan terkumpul berjumlah RM5.1 bilion, dan permintaan terhadap lot perindustrian tersebut terus meningkat.
Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat ini, pembinaan Kompleks PKS KBP Fasa 1B kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2025. Apabila beroperasi kelak, fasiliti ini akan menawarkan unit yang direka khusus bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor tenaga serta perkhidmatan sokongan, sekali gus merangsang pembangunan ekosistem perindustrian yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing di Terengganu.
“Infrastruktur strategik seperti KBP dan kejayaan dalam menarik pelaburan berkualiti ini mencerminkan komitmen jangka panjang ECERDC dalam membangunkan ekonomi berdaya saing dan mampan. Pencapaian ini bukan hanya terhad kepada aspek fizikal semata-mata, malah mencerminkan usaha berterusan kami untuk membina ekosistem yang menyokong inovasi, pertumbuhan yang inklusif serta meningkatkan keyakinan pelabur di peringkat global,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Seiring dengan pertumbuhan nilai pelaburan, ECERDC turut melaksanakan beberapa projek infrastruktur utama yang berimpak tinggi. Projek Naik Taraf Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu kini berada di landasan ke arah penyiapan dan dijangka dapat meningkatkan lagi keterhubungan antara Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan pusat bandar. Projek ini turut merangkumi pembinaan laluan ‘Executive Drive’ yang akan mempercepatkan urusan logistik serta memudahkan akses pelabur ke kawasan strategik. Projek KTCC Promenade Fasa 1 telah mencatatkan kemajuan sebanyak 56% dan dijangka akan merancakkan lagi sektor pelancongan serta menyemarakkan pembangunan bandar Kuala Terengganu secara keseluruhan.
Di samping itu, Ahli Jawatankuasa ICC ECER Terengganu juga telah membincangkan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat – Program Usahawan Tani (IPR-INTAN) yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi untuk memperkasa komuniti B40 melalui amalan pertanian moden dan mampan. Projek tanaman cili menggunakan kaedah fertigasi di Bukit Bidong dijangka untuk menjadi projek tanaman cili terbesar di Malaysia menjelang akhir 2025, hasil daripada penerapan sistem pertanian berketepatan tinggi serta pengurusan berasaskan komuniti tempatan. , Inisitatif ini turut disokong oleh projek tanaman ubi keledek di Kampung Banggol dan Kampung Saujana, serta projek pertanian integrasi di Taman Rahmat, Marang.
Untuk memperluaskan pelaksanaan program ini, ECERDC sedang memudahcara penggunaan 400 ekar tanah dari sembilan lokasi strategik di Terengganu untuk projek berasaskan pertanian, di mana ia akan memanfaatkan lebih daripada 400 peserta.
Mesyuarat ICC ECER Terengganu turut dihadiri oleh pegawai kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri termasuk YB Dato’ Nara Setia Dato’ Zulkifli Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu; YBhg. Dato’ Haji Ishamudin Hashim, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu; YBhg. Dato’ Haji Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) / Pengarah UPEN Terengganu; Ybrs. Tuan Haji Abdul Kahar bin Abdul Latif, Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu, YBrs TPr Dr. Abu Bakar Mat, Pengarah PLANMalaysia Terengganu; YBhg. Datin Rosni binti Mohd Yusoff, Setiausaha Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun, Kementerian Kewangan; YBrs. Puan Roziana Omar, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri dan Ybrs. Encik Mohd Rafizal Rahim, Pengarah Bahagian Dasar Pelaburan & Fasilitasi Perdagangan, MITI.