ECERDC PERKUKUH PEMBANGUNAN MERSING DAN JOHOR SEBAGAI HAB UTAMA PENGELUARAN MAKANAN, PACU INDUSTRI PERTANIAN DI JOHOR

PUTRAJAYA, 21 Oktober 2024 – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus menerajui pembangunan Mersing dan Segamat menjadi hab utama pengeluaran makanan, sekali gus memperkasakan Johor sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan pertanian dan keterjaminan makanan Malaysia. ECERDC turut komited dalam memacu potensi daerah Mersing dan Segamat melalui projek strategik dan pelaburan dalam sektor pertanian perikanan dan pengeluaran tenusu yang akan memperkukuhkan lagi peranan negeri Johor dalam menyokong rantaian bekalan makanan negara.
Semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Johor, ECERDC telah membentangkan Pelan Pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tahun 2026 hingga 2030, meletakkan Mersing dan Segamat sebagai penyumbang penting kepada inisiatif Bakul Makanan (Food Basket) Malaysia. Dengan projek seperti Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) dan Taman Pemprosesan Ikan Endau Mersing (EMFPP), Mersing dijangka menjadi hab utama industri tenusu dan perikanan, manakala Segamat akan memberi tumpuan kepada pertanian mampan dan industri hijau. Inisiatif-inisiatif ini akan meningkatkan sumbangan Johor kepada bekalan makanan negara dan menjana peluang pekerjaan di daerah Mersing dan Segamat.
“Melalui kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan ECERDC, kami memanfaatkan kelebihan semula jadi Mersing dan Segamat untuk menjadikan Johor sebagai hab pengeluaran makanan yang penting, seterusnya menyumbang secara langsung kepada keterjaminan makanan negara. Inisiatif-inisiatif ini akan mencipta peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan sektor pertanian, sekali gus mengukuhkan peranan Johor sebagai pemain utama dalam pembangunan negara,” kata YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor, selepas mempengerusikan Mesyuarat ICC Johor kali kedua bagi tahun 2024. 2
“Usaha ECERDC di Mersing dan Segamat memberi tumpuan kepada meningkatkan ekonomi tempatan, menarik pelaburan, membangunkan potensi pekerjaan, dan memastikan pembangunan mampan. Inisiatif ECERDC sejajar dengan agenda Kerajaan Persekutuan untuk keterjaminan makanan, dengan fokus kepada pertumbuhan pertanian mampan, teknologi pertanian moden, dan peluang pelaburan di daerah-daerah ini. ECERDC komited untuk memacu pertumbuhan Mersing dan Segamat sebagai penyumbang utama kepada sektor pengeluaran makanan Malaysia,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Bagi tahun 2024 hingga September, ECERDC telah berjaya menarik pelaburan yang signifikan untuk EMFPP, dengan tumpuan kepada pemprosesan ikan sejuk beku, penyimpanan sejuk dan pengeluaran ais kiub. Projek-projek ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuhkan aktiviti hiliran oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), seiring dengan agenda keterjaminan makanan negeri Johor.
ECERDC turut menerajui Pembangunan JDV di Mersing, sebuah projek perniagaan tani utama bakal siap menjelang September 2025. Inisiatif ini, sebahagian daripada agrofood@ECER, dijangka menarik RM80 juta dalam pelaburan swasta dalam tempoh lima tahun, dengan rancangan untuk menempatkan 3,200 lembu tenusu dan menghasilkan 7.1 juta liter susu setiap tahun. Projek ini akan meningkatkan sektor tenusu Johor, menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk susu segar di pasaran tempatan.
Segamat memainkan peranan penting dalam transformasi pertanian ECERDC melalui inisiatif Fertigasi Cili IPR-INTAN, yang kini meliputi 79 ekar di tiga lokasi, dengan rancangan untuk diperluaskan lagi. Inisiatif ini menyediakan pendapatan yang mampan untuk komuniti B40 dan mempromosikan teknologi pertanian moden. Kerjasama ECERDC dengan operator induk dan pihak berkuasa tempatan di bawah model Ladang Kontrak Berkelompok telah meningkatkan produktiviti, dengan 16,800 pokok cili berjaya dituai Ogos 2024, serta membuka peluang pekerjaan untuk golongan B40, di mana peserta boleh terus bekerja dengan operator induk atau menjadi usahawan tani.
Ahli-Ahli Jawatankuasa ICC Johor turut diberi taklimat mengenai kemajuan projek jalan masuk ke Taman Negara Johor Endau Rompin (TNJER), yang dijadualkan siap pada Oktober 2025. Pembinaan jalan ini akan mempermudahkan akses ke Rainforest Discovery Centre Peta, seterusnya meningkatkan sektor eko-pelancongan di TNJER. ECERDC juga membentangkan inisiatif pelancongan berterusan di Mersing, termasuk Pelan Induk Strategik untuk Pembangunan Pulau. Pelan ini dirangka untuk pembangunan enam pulau utama, Pulau Pemanggil, Pulau Rawa, Pulau Besar, Pulau Aur, Pulau Tinggi, dan Pulau Sibu yang dijangka siap pada April 2025. Inisiatif ini 3
bertujuan untuk merancakkan eko-pelancongan, membangunkan potensi pekerjaan, dan memelihara ekosistem semula jadi di pulau-pulau tersebut.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Ahli-Ahli Jawatankuasa ICC Johor, YB Dato’ Zahari bin Sarip, EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor; YB Dato’ Haji Asman Shah bin Abd. Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Negeri Johor, YBrs. Dr. Mohd Khalid bin Abdul Samad, Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Johor, YBrs. Encik Jamil Hasni bin Abdullah, Pegawai Daerah Mersing, YBrs. Encik Mohd Masni bin Wakiman, Pegawai Daerah Segamat, YBhg. Datuk Abdul Halim bin Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Dr. Shaharin bin Umar, Pengarah Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi, YBrs. Encik Mohd Rafizal Rahim, Pengarah Bahagian Dasar Pelaburan dan Fasilitasi Perdagangan, MITI dan YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
-TAMAT-
MENGENAI ECER AND ECERDC
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur. ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER.
Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Nadhirah Naaim
Eksekutif Kanan, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0166 / 017-230 3924
Emel: nadhirahn@ecerdc.com.my