Misi pelaburan untuk menarik para pelabur berpotensi bagi sektor petrokimia, bahan kimia khusus dan termaju ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)
SEOUL, KOREA SELATAN, 5 JULAI 2022: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang mempergiat usaha untuk menarik pelaburan berpotensi daripada firma terkemuka Korea Selatan yang dianggarkan bernilai RM5.0 bilion dalam sektor petrokimia, bahan kimia khusus dan termaju untuk membangunkan kilang-kilang pembuatan baharu di Terengganu.
Misi pelaburan ini diketuai YBM Dato’ Tengku Hassan Bin Tengku Omar, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Dato’ Baidzawi Bin Che Mat dari 25 Jun hingga 2 Julai 2022 dalam usaha mempromosikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai destinasi pelaburan pilihan buat para pelabur berpotensi di Korea Selatan. Delegasi yang turut disertai pegawai-pegawai Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan PETRONAS ini telah disambut oleh En. Reduan Zabri, Pengarah MIDA di Seoul.
“Misi ini merupakan kesinambungan daripada komunikasi berterusan antara pihak ECERDC dengan para pelabur sasaran di sini (Korea Selatan) sejak dua tahun lalu. ECERDC menaruh keyakinan tinggi bahawa syarikat-syarikat ini akan melabur di Wilayah ECER, khususnya di negeri Terengganu. Rakan kongsi strategik ECERDC turut sama menyertai delegasi ini bagi memudahcara proses perundingan dalam memenuhi sebarang keperluan bakal pelabur, sekaligus menambahkan keyakinan mereka untuk melabur,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Bin Che Mat.
YBM Dato’ Tengku Hassan turut menyentuh tentang perkembangan pelaburan Korea Selatan di Terengganu. “Taman Biopolimer Kerteh ECERDC, yang kini menempatkan perusahaan CJ Bio Malaysia hasil pelaburan lebih RM2 bilion daripada konglomerat Korea, CJ Cheiljedang. Kerajaan Negeri Terengganu komited dalam menjalin kerjasama yang lebih erat dengan ECERDC bagi meningkatkan kesedaran tentang tarikan pelaburan yang ada di negeri Terengganu buat pelabur Korea.”
Semasa di Korea Selatan, delegasi telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil dari sub sektor berpotensi lain yang menunjukkan minat untuk melabur dalam bidang bioteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan perkhidmatan ICT di Wilayah Ekonomi Pantai Timur. Korea Selatan merupakan salah satu rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan berjumlah RM79.78 bilion pada tahun 2020.
“Misi pelaburan ini dijangka mampu mengukuhkan hubungan dua hala dan menarik lebih banyak pelaburan berpotensi daripada syarikat Korea Selatan ke ECER. Pihak ECERDC menghargai sokongan yang diberikan oleh pihak MIDA di Seoul sepanjang misi ini,” tambah Dato’ Baidzawi.