ECERDC SASAR PELABURAN DARI JERMAN UNTUK MEMBANGUNKAN INDUSTRI KENDERAAN REKREASI (RV) DI WILAYAH EKONOMI PANTAI TIMUR

Mengetengahkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan

FRANKFURT, JERMAN, 15 JUN 2022: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sedang menyasarkan pelaburan daripada syarikat-syarikat pengeluar kenderaan rekreasi (RV) terkemuka Jerman dalam usaha meletakkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi industri pembuatan dan pemasangan RV.

Berikutan kecenderungan masyarakat memilih kaedah percutian yang lebih selamat serta berkonsepkan kehijauan alam semulajadi di musim pandemik, juga disebabkan jumlah bilangan peminat RV di seluruh dunia yang turut meningkat, bermula tahun 2021, ECERDC telah mengambil langkah proaktif untuk menarik lebih banyak pemain industri RV luar negara meneroka peluang pelaburan dan perniagaan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Malaysia.

“ECERDC telah memulakan inisiatif untuk menarik pemain industri RV selama lebih setahun, dan pada Februari lepas mereka sudi menerima jemputan ECERDC untuk datang ke Malaysia, khususnya ke Wilayah Pantai Timur. Susulan lawatan itu, delegasi ECERDC kini berada di Jerman untuk bertemu para pelabur berpotensi yang sedang mengkaji industri pembuatan RV. Ini termasuk lawatan ke kilang pembuatan mereka di sana sambil meninjau potensi menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan karavan dan motorhomes. ECERDC bekerjasama erat dengan Lembaga Pembangunan dan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyasarkan pelaburan di Malaysia dan peluangnya kelihatan cerah,” kata Y.Bhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Pada hari ini, ECERDC dan Caravaning Industrie Verband eV (CIVD), yang mewakili pemain industri RV Jerman menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sekaligus memeterai kerjasama antara ECERDC dan CIVD untuk menerajui pembangunan industri RV di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Malaysia. MoU ini merupakan kesinambungan daripada Perjanjian Kerahsiaan (non-disclosure agreement – NDA) yang telah ditandatangani pada April 2022.

MoU ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat bagi pihak ECERDC dan Pengarah Urusan CIVD, Daniel Onggowinarso. Memorandum persefahaman ini turut disaksikan oleh Ketua Delegasi Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha MITI dan Encik Jost Krüger; Ketua Jabatan Infrastruktur, Teknologi dan Alam Sekitar, Jerman.

“MoU ini akan membolehkan ECERDC memanfaatkan pengetahuan, kepakaran dan pengalaman CIVD dalam industri kenderaan rekreasi (RV) bagi menghasilkan garis panduan ekosistem industri RV Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), juga amalan terbaik bagi mengenalpasti dan memperkenalkan rakan kongsi industri strategik atau pelabur-pelabur yang berpotensi untuk membangunkan sektor pembuatan RV di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Malaysia. Ia akan membantu inisiatif ECERDC menjadikan ECER sebagai hab pembuatan kenderaan RV seterusnya meletakkan Malaysia sebagai rujukan buat peminat RV di seluruh rantau ini. Kerjasama ini adalah pencapaian yang cukup signifikan dan kami optimis untuk meraih pelaburan langsung asing, yang mana setakat ini telah berjaya menarik minat dua pelabur yang merupakan pengeluar RV yang terkenal,” tambah YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat.

Menurut Pengarah Urusan CIVD Daniel Onggowinarso, “Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Malaysia memiliki banyak destinasi pelancongan indah yang berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai lokasi tarikan pelancongan RV. Dalam siri lawatan kami untuk meneroka peluang pelaburan dan perniagaan bagi industri RV di Malaysia pada Februari lalu, kami telah melawat hab pembuatan automotif ECER; Taman Automotif Pekan di Pahang dan juga Taman Teknologi Pahang ECERDC yang berpotensi dijadikan sebagai lokasi pelaburan untuk pengeluar RV Jerman.”

Delegasi Malaysia juga telah bertemu dengan wakil daripada Mercedes Benz AG bagi membincangkan potensi kerjasama dengan pengeluar RV, termasuklah kerjasama dengan salah satu pengendali taman RV terkemuka di Jerman untuk meneroka sebarang kemungkinan membangunkan bersama taman RV bertaraf dunia pertama di Malaysia. Sehubungan itu, delegasi Malaysia juga berkesempatan melawat beberapa tapak perkhemahan RV yang sedia ada seperti ‘Strandcamping Waging am See’ dan ‘Camping Holmenrhof’, meninjau penyediaan infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan, serta memahami model perniagaan taman RV di negara Jerman.

Projek pembangunan industri Kenderaan Rekreasi RV ini mempunyai potensi yang menjangkau aspek pelaburan, ia juga mampu menerajui sektor pembuatan serta menghasilkan peluang pekerjaan, seterusnya merangsang aktiviti ekonomi tempatan dalam industri pelancongan yang masih belum diterokai, khasnya di Pantai Timur. Wilayah Pantai Timur amat kaya dengan pelbagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dan ECERDC telah mengenal pasti beberapa lokasi berpotensi untuk dikembangkan bagi mewujudkan taman-taman RV di rantau ini.