Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing (EMFPP) dijangka tarik pelaburan bernilai RM6 juta dan mewujudkan 90 peluang pekerjaan disamping membantu mengukuhkan sekuriti makanan negara
MERSING, 13 OKTOBER 2022: Penyiapan projek inapdesa KampungStay@Teluk Buih pada Oktober ini bakal menambah satu lagi destinasi pelancongan “mesti lawat” di Mersing dan membuka lebih banyak peluang keusahawanan dan pekerjaan berasaskan pelancongan di daerah ini.
KampungStay@Teluk Buih adalah sebuah projek pelancongan berasaskan komuniti yang dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang akan merancakkan lagi industri pelancongan di Mersing dengan menyediakan pengalaman unik menginap dalam suasana kampung kepada para pelancong. Projek ini yang melibatkan pembinaan 10 buah chalet, dewan serbaguna dan restoran, akan siap bulan ini dan sedia beroperasi sepenuhnya menjelang April tahun 2023.
“Setelah KampungStay@Teluk Buih ini siap nanti, rakyat Johor akan memperoleh impak positif hasil daripada strategi ECERDC memanfaatkan potensi daerah Mersing sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti dan eko-pelancongan. Sebuah koperasi (KOPSTAY) telah ditubuhkan untuk menguruskan kemudahan dan aktiviti pelancongan di KampungStay@Teluk Buih yang akan turut mewujudkan peluang kepada rakyat setempat menjana pendapatan melalui peluang pekerjaan dan aktiviti keusahawanan berkaitan pelancongan,” kata Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas melawat KampungStay@Teluk Buih.
Turut serta dalam lawatan tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, YB Raven Kumar A/L Krishnasamy, Pengerusi Jawatankuasa Pelancogan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat.
YBhg. Dato‘ Baidzawi berkata, projek KampungStay@Teluk Buih yang berkonsepkan resort dalam kampung ini menawarkan kelainan berbanding homestay tradisional yang sedia ada. Beliau juga memaklumkan bahawa projek tersebut dibangunkan sebagai pusat aktiviti atau “staging base” yang menawarkan pengalaman tinggal di kampung yang unik untuk menggalakkan pelancong berinteraksi dengan penduduk tempatan dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti pelancongan di Mersing.
Antara projek pelancongan lain yang telah siap di Mersing ialah Tanjung Penyabong Waterfront dan Mersing Harbour Centre. Selain itu, para pelancong juga boleh mencuba sajian hidangan makanan laut yang lazat pada harga yang berpatutan di Medan Ikan Bakar Endau. ECERDC juga merancang untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan industri Kenderaan Rekreasi (RV) di Mersing sebagai daya tarikan tambahan sektor pelancongan di daerah ini.
Memperkukuh Inisiatif Perniagaan Tani dan Agro-Makanan di Mersing
Selepas melawat Kampungstay@Teluk Buih, YAB Menteri Besar Johor melawat Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing (EMFPP), taman perindustrian terbaharu yang dibangunkan khusus untuk sektor perniagaan tani yang merupakan sebahagian daripada inisiatif ECERDC untuk menjadikan daerah Mersing sebagai hab perikanan. EMFPP akan menyediakan platform buat syarikat PKS tempatan yang mengeluarkan produk hiliran bernilai tinggi berasaskan ikan. Beberapa syarikat berpotensi telah dikenal pasti dan EMFPP dijangka akan beroperasi pada Januari 2023.
Di EMFPP, YAB Menteri Besar Johor dan para delegasi telah diberi taklimat mengenai projek oleh ECERDC dan dibawa melawat ke sekitar taman perindustrian tersebut.
YBhg. Dato’ Baidzawi berkata, “ECERDC merancang untuk mempromosikan Mersing sebagai sebuah hab perikanan dengan menyediakan infrastruktur fizikal untuk kemudahan syarikat PKS berasaskan perikanan. Setakat ini, 6 buah syarikat telah dikenal pasti dan taman ini dijangka mampu menarik pelaburan berjumlah RM6 juta yang akan mewujudkan 90 peluang pekerjaan buat penduduk sekitar.”
Satu lagi projek pertanian utama di Mersing yang akan membantu mengukuhkan sekuriti makanan negara ialah Lembah Tenusu Jemaluang (JDV). JDV dijangka mampu menghasilkan 5.4 juta liter susu segar setiap tahun serta meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 10 peratus dalam tempoh tiga tahun beroperasi, sekaligus mengurangkan kebergantungan negara kepada susu dan produk tenusu import. Pelantikan kumpulan Syarikat Induk (Anchor Group) untuk melabur, mengendalikan dan mengurus JDV pula dijangka akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.
Yayasan PETRONAS Taja Program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik untuk Pelajar SPM di Mersing
Sebelum lawatan ke Kampungstay@Teluk Buih dan EMFPP, YAB Menteri Besar telah menghadiri Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan bersama SIRIM dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) dan pelancaran program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik di Hotel Seri Malaysia.
Program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik di Mersing yang ditaja oleh Yayasan PETRONAS ini akan memberi manfaat kepada seramai 200 orang pelajar SPM dari keluarga B40 di Mersing. Menteri Besar Johor turut menyampaikan sijil kolaborasi kepada para pengetua dari 7 buah sekolah yang terlibat dalam program tersebut.
“ECERDC amat menghargai penglibatan dan peranan Yayasan PETRONAS yang sentiasa komited dan sudi menaja program-program pembangunan modal insan ECERDC. Saya berharap, kerjasama ini akan berpanjangan dalam usaha kita untuk terus memberdaya golongan B40 di Mersing, dan juga di Segamat nanti,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi.
YAB Menteri Besar Johor turut menyampaikan sijil graduasi kepada 7 usahawan yang telah berjaya menamatkan program entrepreneur ECER-SIRIM dan sijil penyertaan kepada 38 usahawan yang kini masih menjalani program bersama SIRIM ini. Seramai 60 orang peserta program empower ECER pula turut menerima sijil graduasi menandakan kejayaan mereka menamatkan program tersebut dalam kursus-kursus seperti Bakeri dan Pastri, Pelancongan, Tailorpreneur, Dandanan Rambut dan Salun, Juruteknik Penyelenggaraan dan juga program pembangunan keusahawanan khas buat masyarakat Orang Asli.
Kemasukan Daerah Segamat Sebagai Sebahagian daripada ECER
Akta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 [Akta A1664] yang menjadikan daerah Segamat secara rasminya sebagai sebahagian daripada ECER telah diwartakan pada 6 September 2022. Kemasukan Daerah Segamat ini akan menyaksikan lebih ramai rakyat di Johor bakal menikmati manfaat daripada projek-projek dan program-program yang dilaksanakan oleh ECERDC. Antara sektor yang akan dibangunkan menerusi rancangan pembangunan sosioekonomi holistik jangka panjang ECERDC untuk menjadikan Segamat sebagai Lembah Bio-Agro adalah industri Agromakanan, pelancongan, serta industri kecil dan sederhana (IKS).