Taman Automotif Pahang (PAP) Diketengahkan Sebagai Taman Perindustrian Automotif Hijau
Bagi Menarik Pengeluar Kenderaan Elektrik (EV) Baharu
PAHANG, 5 OGOS 2021: Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) setakat ini telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM9.5 bilion ke Pahang, melepasi sasaran awal bagi pelaburan komited untuk negeri ini bagi tahun 2021 iaitu RM5.1 bilion. Ianya dijangka akan mewujudkan lebih daripada 6,700 pekerjaan baharu dan 170 peluang keusahawanan bagi rakyat di Pahang. ECERDC juga telah merealisasikan pelaburan sebanyak RM2 bilion di Pahang pada tahun ini.
Hasil pelaburan yang amat baik dalam tempoh mencabar ini sememangnya membuktikan kerjasama erat antara ECERDC, Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta agensi-agensi berkaitan yang menyumbang kepada peningkatan pelaburan baharu yang signifikan. Pelaburan baharu tersebut merangkumi pembangunan tanah tinggi bersepadu, peluasan kilang pembuatan keluli dan pembuatan sarung tangan di Pahang bagi tahun 2021.
“Saya berharap agar Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC mengekalkan momentum dalam memastikan projek-projek strategik dan inisiatif-inisiatif yang dirancang untuk Pahang, seperti kerja-kerja infrastruktur dan program-program pembangunan modal insan, dapat diteruskan bagi mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan pilihan, agar manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh warga tempatan,” kata Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Pahang yang diadakan secara maya hari ini.
Bagi mengekalkan momentum penarikan pelaburan ke Pahang, ECERDC terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mengadakan lebih banyak aktiviti promosi pelaburan pada separuh kedua tahun 2021 bagi menarik pelabur dalam sektor-sektor ekonomi utama.
“Walaupun tidak dapat mengadakan misi pelaburan ke luar negara atau acara secara fizikal, ECERDC telah menganjurkan tiga webinar pada separuh pertama 2021 untuk membina hubungan dan menarik pelabur-pelabur antarabangsa. Antara webinar yang dianjurkan termasuk: ‘Investment Opportunities in the East Coast Economic Region for Petrochemical and Automotive Industries’ (anjuran bersama Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun atau JETRO), ‘Malaysia: The Oil, Gas and Petrochemical Hub for ASEAN’ (dengan kerjasama wakil-wakil perdagangan daripada Persekutuan Rusia) dan ‘Investment Opportunities in Life Sciences and Medical Technology in ECER’. Webinar-webinar pelaburan tersebut telah menyaksikan penyertaan lebih daripada 900 pelabur berpotensi dan ECERDC yakin dapat menarik pelaburan baharu ke ECER dan negeri Pahang,” kata En. Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
PAP DIKETENGAHKAN SEBAGAI “TAMAN PERINDUSTRIAN AUTOMOTIF HIJAU”
Seterusnya, ECERDC akan mengetengahkan PAP sebagai “Taman Perindustrian Automotif Hijau” dengan kerjasama Malaysian Green Technology Corporation (MGTC), SIRIM dan Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES).
PAP sedang dipertingkat menjadi taman perindustrian mesra alam yang dilengkapi dengan ciri-ciri penjimatan tenaga, tenaga boleh diperbaharui yang dikuasakan oleh solar dan sistem pengurusan sisa yang holistik, selaras dengan peralihan global ke arah kenderaan elektrik (EV) dan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020). Inisiatif ini dijangka dapat menarik pelaburan baharu dalam pembuatan EV.
Antara jenama terkenal yang kini beroperasi di PAP adalah Mercedes-Benz, Volkswagen, Isuzu dan Mitsubishi. PAP juga menempatkan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia yang menyediakan tenaga kerja mahir bagi sektor-sektor automotif dan juga salah satu syarikat perintis di PAP iaitu HICOM Automotive Manufacturers (M) Sdn. Bhd.
PAHANG BARAT SEBAGAI PUSAT PERTUMBUHAN BAHARU
ECERDC terus memberikan tumpuan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Pahang Barat melalui aktiviti pertanian dan pelancongan. Pahang Barat merangkumi daerah Bentong, Cameron Highlands, Raub dan Lipis, manakala Jerantut dan Bera termasuk dalam Pahang Barat Plus. Daerah-daerah ini secara kolektifnya mempunyai tanah yang luas dan berpotensi untuk menarik pelaburan dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi seperti ternakan, penanaman pokok durian dan tongkat ali. Ia juga menawarkan destinasi menarik termasuk tanah tinggi yang boleh dibangunkan lagi sebagai tarikan pelancongan.
Kerajaan Negeri Pahang telah mengenal pasti tanah di Pahang Barat yang sesuai untuk projek Lembah Tenusu ECER yang menyasarkan untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) susu segar negara sebanyak 40% bagi mengurangkan kebergantungan terhadap susu yang diimport. ECERDC juga akan meneruskan usaha untuk menerajui inisiatif-inisiatif agrofood@ECER untuk membantu meningkatkan jaminan bekalan makanan negara dengan menumpukan kepada sektor pertanian yang merangkumi tanaman kelapa dan fertigasi seperti cili dan tomato.
Kawasan pertumbuhan ini juga akan disokong oleh projek-projek infrastruktur strategik yang akan meningkatkan kesalinghubungan Pahang Barat, seperti Central Spine Road (CSR), yang akan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di serata negeri Pahang dan ECER.
PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Program-program holistik ECERDC dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat adalah empower ECER-Akademik yang memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi akademik pelajar, empower ECER-Kemahiran dan Keusahawanan yang menyediakan latihan kemahiran dan pengetahuan keusahawanan untuk membangunkan usahawan-usahawan baharu yang berdaya tahan, entrepreneur ECER yang menumpukan kepada pemerkasaan usahawan sedia ada untuk mengembangkan perniagaan mereka dan PENJANA-ECERDC yang memberi fokus kepada pemahiran semula dan peningkatan kemahiran untuk membantu golongan yang telah hilang pekerjaan semasa pandemik ini untuk mendapatkan pekerjaan baharu.
Program empower ECER-Akademik telah membantu pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk mencapai keputusan akademik yang lebih baik walaupun ketika berdepan dengan pandemik. Pada tahun 2020, seramai 2,173 orang pelajar di Pahang yang mengambil bahagian telah menunjukkan pencapaian membanggakan dalam peperiksaan SPM, yang mana sebanyak 92% peserta telah lulus dalam peperiksaan berbanding 46% sebelum mengikuti program ini.
Salah seorang peserta iaitu Laila Zulaikha Binti Mohd Jafri dari SMK Rompin telah memperoleh 7A dan 2B dalam SPM 2020. Sebelum mengikuti program ini, Laila, anak seorang tukang rumah, telah memperoleh keputusan 1B, 2D, 3E dan 2G. Walaupun terdapat kekangan untuk menyertai kelas atas talian, Zulaikha berkata, beliau masih mampu melakukan ulangkaji melalui modul-modul pelajaran yang disediakan oleh empower ECER-Akademik dan telah mendapat banyak manfaat daripada program-program akademik yang dianjurkan.
Selain itu, ECERDC menerusi empower ECER and entrepreneur ECER akan terus menyokong usahawan-usahawan mikro dan PKS untuk bertahan dalam realiti baharu dengan menyediakan latihan bagi membantu mereka beralih ke platform e-dagang untuk memastikan perniagaan mereka dapat diteruskan di samping membantu mereka mendapatkan bantuan kewangan. Di antara bulan Januari dan Mei 2021, seramai 173 orang usahawan sedia ada di Pahang telah menerima pinjaman berjumlah RM5.5 juta daripada Maybank dan Agrobank di bawah program entrepreneur ECER bagi membantu memperbaiki aliran tunai dan memperkukuhkan lagi perniagaan mereka. Manakala seramai 94 usahawan telah mendapat manfaat daripada program peningkatan kualiti produk bersama SIRIM seperti penjenamaan dan pelabelan untuk membantu meningkatkan jualan.
MB PAHANG MENGGALAKKAN PESERTA PROGRAM RINTIS APLIKASI WEB ACES I4.0 BERSEDIA UNTUK MASA HADAPAN
Menteri Besar Pahang turut menyertai sesi maya Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 yang diadakan untuk mendorong para peserta melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan yang relevan untuk pekerjaan di masa hadapan dan kekal berupaya dalam menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi.
Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 dijalankan menerusi siri webinar yang menyasarkan pelajar lepasan SPM di bawah program empower ECER di serata ECER.
Kira-kira 1,200 orang peserta dan 23 orang fasilitator dari 11 lokasi di Pahang, iaitu Temerloh, Maran, Jerantut, Rompin, Pekan, Kuantan, Bera, Bentong, Raub, Lipis dan Cameron Highlands telah terlibat dalam program rintis tersebut yang berlangsung selama tiga minggu hingga 31 Julai 2021.
Program rintis tersebut yang melibatkan kira-kira 3,100 orang pelajar dari serata ECER telah tamat baru-baru ini. Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran tentang Industri 4.0 dan melengkapkan bakat di ECER dengan kemahiran dan pengetahuan untuk menangani permintaan masa hadapan.
KESIMPULAN
“Pahang kekal menerajui pertumbuhan ekonomi di ECER dengan sektor pembuatan sebagai penyumbang utama. ECERDC komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi ini dapat diteruskan di negeri ini agar manfaat yang diwujudkan menjadi pemangkin pembangunan di negeri-negeri lain. Sekaligus, sektor strategik baharu dan rantaian nilai akan terus berkembang di seluruh ECER. Oleh itu, ECERDC akan terus melaksanakan projek-projek dan inisiatif-inisiatif berimpak tinggi yang akan membawa manfaat jangka panjang kepada ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat di Pahang,” kata Encik Baidzawi.