ECERDC TERAJUI PELAKSANAAN PROJEK-PROJEK STRATEGIK UNTUK TARIK PELABURAN DAN PULIHKAN EKONOMI PASCA COVID-19

Inisiatif-inisiatif mitigasi dilaksanakan untuk mengekalkan daya saing Wilayah ECER

PUTRAJAYA, 9 JULAI 2020: Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan terus menerajui pelaksanaan projek-projek strategik dan menarik pelaburan baharu untuk mengekalkan momentum pembangunan dan memulihkan semula ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pasca COVID-19.

ECERDC juga telah menggariskan strategi-strategi untuk memacu ekonomi di ECER dan mengurangkan impak pandemik COVID-19 kepada rakyat di dalam fasa pemulihan negara. Strategi-strategi ini akan dilaksanakan seiring dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Projek-projek Strategik akan Memacu Pertumbuhan

“Ketika rancangan pemulihan sedang dilaksanakan, kami akan menumpukan kepada agenda utama kami iaitu untuk meneruskan transformasi dan pertumbuhan sosioekonomi wilayah ini. Oleh itu, sebagai tambahan kepada agenda pemulihan, projek-projek strategik yang telah dikenal pasti di dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) akan terus dilaksanakan untuk memastikan pertumbuhan jangka panjang di wilayah ini,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas mesyuarat Majlis ECERDC yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin.

Ahli-ahli Majlis lain yang turut hadir di mesyuarat tersebut adalah Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; dan Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad; serta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali.

Pembuatan

Projek-projek pemangkin utama telah dikenal pasti untuk mengekalkan momentum pemulihan dan perkembangan ekonomi di wilayah ini. Oleh kerana kluster pembuatan adalah penyumbang terbesar dalam pembangunan ekonomi ECER, projek-projek infrastruktur termasuk peluasan taman-taman industri, logistik dan perkhidmatan akan dilaksanakan untuk meningkatkan daya saing ECER dan menarik lebih banyak pelaburan swasta. Antaranya adalah peluasan Taman Biopolimer Kerteh di Terengganu, pembangunan Jalan Port Link Bandar Pelabuhan Kuantan dan pembinaan paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng di Pahang.

Untuk mengukuhkan lagi daya tarikan wilayah ini sebagai destinasi pelaburan yang distingtif dan dinamik, ECERDC dan kerajaan Negeri Pahang akan menubuhkan Pusat Sehenti atau One-Stop Centre (OSC) di Gebeng, Pahang, di dalam Zon Ekonomi Khas ECER. OSC yang dicadangkan adalah kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk membantu merealisasikan pelaburan di wilayah ini dan juga memudahcara aktiviti perniagaan para pelabur. Ini akan menjadikan OSC satu model yang boleh direplikasi di seluruh ECER untuk meningkatkan pembangunan ekonomi di seluruh wilayah ini.

“Pandemik ini merupakan satu cabaran jangka masa pendek dan kami akan terus melaksanakan perancangan di dalam EMP 2.0. Bersandarkan asas kukuh yang dibina dalam tempoh 10 tahun lalu, ECER telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM122.6 bilion yang akan mewujudkan sebanyak 118,700 peluang pekerjaan dan membangunkan 10,720 usahawan setakat ini. Walaupun pandemik ini membawa pelbagai cabaran, dengan strategi-strategi yang telah dirangka, kami yakin bahawa sasaran EMP 2.0 dapat dicapai; iaitu untuk menarik RM70 bilion pelaburan baharu, mewujudkan 120,000 peluang pekerjaan dan 60,000 orang usahawan baharu menjelang 2025,” kata Encik Baidzawi.

Pelancongan

Oleh kerana sekatan perjalanan antarabangsa akan terus dikuatkuasa dalam masa terdekat ini, pelancongan domestik akan memainkan peranan utama dalam pemulihan ekonomi pasca COVID- 19. ECER sememangnya bersedia untuk memanfaatkan permintaan bagi pelancongan domestik kerana ECERDC telah menyiapkan projek-projek yang mencipta destinasi di wilayah ini. ECER mempunyai beberapa tarikan ikonik yang baharu, termasuk jambatan angkat yang menjadi tarikan orang ramai ke ECER dan Kuantan 188 yang merupakan menara pemerhatian kedua tertinggi di Malaysia.

Untuk terus merancakkan pelancongan domestik, penyiapan projek-projek tarikan pelancongan lain adalah amat penting. Ini termasuk pembangunan semula Kampung Laut di Kelantan, Kampungstay Air Papan di Mersing, Johor, dan penaiktarafan infrastruktur di pulau-pulau ECER. Pelaburan dalam mewujudkan destinasi adalah penting kerana ia akan mewujudkan lebih banyak produk-produk pelancongan yang boleh menjadi kebanggaan dan tarikan kepada rakyat Malaysia. Selain itu, promosi dan juga pelaburan yang berterusan ke dalam sektor pelancongan domestik akan menghidupkan semula industri ini. Secara langsung, ini dapat mengekalkan pekerjaan dan mewujudkan peluang keusahawanan dalam industri pelancongan untuk warga tempatan.

Perniagaan Tani

COVID-19 telah menyerlahkan keperluan untuk menumpukan kepada isu keselamatan makanan negara. Peningkatan pengeluaran makanan tempatan dan aktiviti hiliran lain akan menjadi tumpuan penting dalam jangka masa sederhana dan panjang. Oleh sebab itu, projek-projek perniagaan tani yang strategik akan dilaksanakan dan pelabur-pelabur swasta akan dikenal pasti untuk berkolaborasi di bawah kerjasama pintar awam-swasta. Ini akan memastikan kemampanan projek-projek tersebut dalam jangka panjang. Projek-projek utama termasuk penubuhan Lembah Tenusu Jemaluang yang disasarkan untuk menghasilkan 4.8 juta liter susu setahun, Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali yang akan memberi tumpuan kepada aktiviti pemprosesan bernilai tambah dan Taman Pemprosesan Ikan Endau Mersing yang akan mewujudkan pusat perikanan baharu di daerah tersebut serta platform bagi PKS untuk menghasilkan produk ikan bernilai tinggi.

ECERDC juga merancang untuk melaksanakan projek hiliran seperti kambing tenusu, rancangan transformasi perikanan, projek Lembu Sado dan ketam nipah, yang akan mewujudkan pelbagai pekerjaan dan peluang keusahawanan untuk rakyat di dalam sektor pertanian.

Memacu Perdagangan Rentas Sempadan

Projek infrastruktur merupakan pengupaya utama aktiviti ekonomi rentas sempadan. Ia menjadi lebih penting pasca COVID-19 bagi memastikan ekonomi ECER kekal kompetitif.

Beberapa projek utama yang penting bagi pertumbuhan ekonomi makro telah dikenal pasti sebagai pemangkin kepada aktiviti-aktiviti perdagangan rentas sempadan. Projek-projek ini akan merancakkan ekonomi tempatan terutama sekali di Kelantan. Ini termasuklah pembangunan Pelabuhan Tok Bali sebagai pelabuhan serantau ke kawasan Indo-China, Taman Perindustrian Tok Bali, Jambatan Tak Bai-Pengkalan Kubor, Jambatan Rantau Panjang-Sg Golok dan projek tebatan banjir Sungai Golok yang akan meningkatkan perdagangan rentas sempadan antara Kelantan dan Thailand.

Projek-projek ini akan melengkapkan projek-projek infrastruktur yang diumumkan sebelum ini di Kelantan seperti Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), Laluan Pasir Puteh-Machang Jeli, sebahagian daripada Central Spine Road yang merangkumi Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Ismail dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu yang akan mengubah landskap pelaburan dan memacu aktiviti ekonomi di negeri ini.

Menangani Impak COVID-19

“Wabak COVID-19 telah menjejaskan segenap lapisan masyarakat, terutamanya usahawan mikro dan PKS. ECERDC bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor, serta rakan kongsi strategik untuk memastikan rakyat di ECER mendapat bantuan yang diperlukan dalam masa yang mencabar ini,” jelas Encik Baidzawi.

Sebagai salah satu agensi utama yang melaksanakan program-program PENJANA, ECERDC telah menggariskan beberapa inisiatif dalam strategi pemulihan ekonomi untuk menyokong semua pihak berkepentingan di ECER. Ini merangkumi program-program peningkatan kemahiran (reskilling and upskilling) untuk meningkatkan kebolehpasaran rakyat, mempercepatkan peralihan

digital dalam kalangan PKS dan usahawan mikro serta memberi sokongan kepada pelabur- pelabur sedia ada yang terkesan dengan pandemik ini.

Di bawah kerjasama pintar ECERDC bersama Maybank dan Agrobank, PKS dan pengusaha mikro yang berkelayakan dapat menikmati subsidi kadar faedah 50% di bawah kemudahan ECER- Maybank dan ECER-Agrobank. Kemudahan ini akan merangkumi pembiayaan PKS PENJANA yang akan membolehkan PKS dan pengusaha mikro yang berkelayakan membayar kadar faedah pinjaman yang lebih rendah iaitu 1.75%.

Menyedari betapa besarnya impak COVID-19 kepada pasaran tenaga kerja, penambahbaikan telah dibuat kepada Program Pemerkasaan Graduan ECER (ETEP). Menerusi program Enhanced ETEP, majikan yang mengambil bahagian akan diberikan subsidi upah dalam bentuk pembayaran balik gaji sehingga 50% atau RM1,250 bergantung yang mana lebih rendah, dalam tempoh sehingga 12 bulan semasa pekerja sedia ada atau baru menjalani latihan. Enhanced ETEP dijangka untuk memberi manfaat kepada lebih 1,700 pekerja dan membantu 600 majikan di semua sektor untuk mengekalkan pekerja mereka.

Program Pembangunan Modal Insan Bersifat Inklusif

ECERDC turut menambahbaik program pembangunan modal insan ECER untuk Orang Asli, yang yang telah terbukti keberkesanannya dalam meningkatkan prestasi akademik dan taraf hidup mereka. empower ECER (Latihan Akademik) telah meningkatkan kadar transisi pelajar Orang Asli dari sekolah rendah ke menengah kepada 91%, yang kini hampir setanding dengan sekolah kebangsaan. Peratusan pelajar empower ECER Orang Asli memasuki institusi pengajian tinggi telah meningkat daripada 31% pada tahun 2017 kepada 50% pada tahun 2018, dan 51% pada tahun 2019.

Bagi peserta dewasa, program-program ECERDC seperti empower ECER (Latihan Kemahiran dan Keusahawanan), entrepreneur ECER, Agropolitan dan projek-projek yang diterajui oleh pihak swasta seperti Ladang Nanas Bersepadu Rompin (RIPP) telah mewujudkan dan membangunkan 384 orang usahawan, berjaya mengeluarkan 65 keluarga daripada kemiskinan tegar dan menyediakan pekerjaan yang stabil kepada 101 Orang Asli.

Transformasi Digital menerusi Penerapan Industri 4.0

ECERDC telah menggariskan pelan tindakan untuk transformasi digital ECER di bawah EMP 2.0. Transformasi digital jangka panjang ini akan disokong oleh Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES), yang akan memainkan peranan penting dalam memacu penerapan Industri 4.0 di ECER. ECERDC akan memperbadankan ACES untuk menggerakkan usaha digitalisasi perniagaan dalam semua sektor dengan lebih tersusun.

Pandemik COVID-19 telah mempercepatkan transformasi digital dalam segenap aspek. Salah satu daripada strategi utama untuk membantu rakyat di ECER mengatasi kesan ekonomi wabak ini adalah dengan memudahcara transformasi digital PKS, usahawan mikro dan penggiat industri lain di wilayah ini. ECERDC akan memperkenalkan latihan peningkatan kemahiran digital untuk usahawan-usahawan aktif menerusi program empower ECER dan entrepreneur ECER.

Kesimpulan

“Di waktu sukar ini, penting bagi kita semua untuk terus bersatu padu dan menyokong satu sama lain dengan semangat ‘Kita Jaga Kita’. Kami akan terus mengenal pasti peluang-peluang baharu untuk mengurangkan kesan ekonomi pandemik COVID-19 dan memastikan rakyat di ECER mendapat sokongan yang diperlukan untuk pulih dan berjaya dalam norma baharu,” tambah En. Baidzawi.

-TAMAT-

Mengenai ECER dan ECERDC

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan halatuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Wilayah ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.

Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun sebagai destinasi yang unik, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan. Ia merangkumi kawasan seluas lebih 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.3 juta penduduk, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk Malaysia.

Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-2035 0182 / 010-408 1085
Emel: mazlinda@ecerdc.com.my