Para pelajar Mersing berpeluang meninjau masa hadapan dan I4.0 melalui
Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0
ISKANDAR PUTERI, 28 OGOS: Rakyat Mersing, yang bakal menikmati pembangunan dalam projek-projek pertanian dan pelancongan yang sedang dilaksanakan, akan turut mendapat manfaat daripada program empower ECER dan entrepreneur ECER yang bertujuan membangunkan usahawan mikro dan PKS yang mampan serta bakat masa hadapan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti tempatan.
MEMBANGUNKAN USAHAWAN MIKRO DAN PKS YANG MAMPAN
Dari 2018 sehingga kini, ECERDC melalui kerjasama strategiknya dengan Agrobank dan Maybank, telah membangunkan seramai 92 usahawan di Mersing, Johor yang telah menerima pinjaman untuk menyokong dan mengembangkan perniagaan mereka. Seramai 31 usahawan lagi kini sedang menjalani pembangunan kualiti produk bersama SIRIM sebagai persediaan untuk menembusi pasaran yang lebih luas.
Program-program tersebut bukan sahaja telah mengupayakan para usahawan yang terlibat untuk bertahan, malah mengembangkan perniagaan mereka sewaktu pandemik dengan memanfaatkan pengetahuan yang diperoleh mengenai e-dagang dan pemasaran dalam talian daripada program-program berkenaan serta bantuan kewangan yang disediakan.
Salah seorang daripada mereka ialah Rekha a/p Alagapan, pemilik Ms Tan Agro Farm Sdn. Bhd. dan Maslina binti Selasa, pemilik Sate Nitar Enterprise yang merupakan peserta program entrepreneur ECER-Agrobank. Rekha telah memperluaskan ladangnya daripada 7 ekar menjadi 70 ekar, seterusnya berjaya meningkatkan jualan sayur organik beliau dari RM100,000 kepada RM200,000 sebulan. Beliau kini menggaji 12 pekerja Orang Asli di ladangnya.
Sementara itu, Maslina mendapati jualannya meningkat lebih 100% dari RM32,000 kepada RM80,000 sebulan setelah beliau mula memasarkan produknya di platform dalam talian untuk penghantaran ke rumah. Beliau kini menggaji 22 penduduk tempatan untuk membantu menguruskan perniagaan beliau yang semakin berkembang.
“Rakyat telah dan akan terus menjadi nadi utama transformasi sosioekonomi di Mersing. Kerana ini, Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC komited untuk meneruskan program-program seperti empower ECER dan entrepreneur ECER untuk memastikan agar golongan B40 di Mersing diberikan kemahiran, pengetahuan dan peluang untuk mengekalkan perniagaan mereka, selain meningkatkan prestasi akademik dan memperoleh kemahiran yang boleh dipasarkan yang akan membantu meningkatkan taraf hidup mereka,” kata En. Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, susulan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Johor yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Dato’ Haji Hasni Bin Haji Mohammad.
MENYEDIAKAN PENGAYAAN AKADEMIK DAN PEMBANGUNAN BAKAT
Menyedari cabaran unik yang dihadapi oleh pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah sewaktu pandemik, ECERDC bersama-sama rakan strategiknya melalui empower ECER telah mengambil pendekatan holistik untuk membantu mereka mencapai keputusan akademik yang lebih baik. Pengalaman pembelajaran dalam talian juga dilakukan secara interaktif dan menyeronokkan untuk pelajar bagi menggalakkan lebih penyertaan.
Para pelajar di daerah Mersing yang mengambil bahagian dalam program empower ECER telah menunjukkan peningkatan yang ketara dengan 90% daripada 200 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus dalam semua mata pelajaran, berbanding hanya 36% sebelum mereka mengikuti program ini.
Salah seorang pelajar terbabit, Izzati Omar, dari SMK Ungku Husin memperoleh 5A, 3B dan 1E dalam SPM 2020, peningkatan yang ketara berbanding keputusan 1B, 2C, 1D, 4E dan 1G yang diterimanya sebelum menyertai program empower ECER.
Izzati, yang ayahnya memperoleh RM70 sehari dengan menghantar ikan dari Endau ke Johor Bahru untuk dijual berkata, beliau bersyukur telah menyertai program empower ECER kerana dengan keputusan yang lebih baik, dia berupaya mengejar cita-citanya dan melanjutkan pelajaran dalam bidang kejururawatan.
Selain daripada program latihan akademik, ECERDC turut memudah cara urusan penempatan pelajar-pelajar empower ECER di institusi-institusi pengajian tinggi atau pembangunan kemahiran. Sementara itu, untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik, ECERDC telah meneruskan usaha di bawah program Latihan Semula dan Peningkatan Kemahiran PENJANA-ECERDC yang akan membolehkan para peserta mendapatkan pekerjaan dalam sektor automotif serta minyak dan gas setelah tamat mengikuti program tersebut.
MB JOHOR SERTAI PESERTA PROGRAM RINTIS APLIKASI WEB ACES I4.0
Menteri Besar Johor telah menyaksikan sendiri Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 apabila beliau menyertai 70 pelajar dan dua jurulatih yang menjalani pembelajaran dalam talian di bawah program tersebut selepas mesyuarat ICC Johor. Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 ini disampaikan melalui satu siri webinar yang menyasarkan lulusan SPM di bawah program empower ECER di seluruh negeri-negeri ECER. Program perintis yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran tentang Industri 4.0 (I4.0) di kalangan pelajar sedang berjalan sehingga 31 Julai 2021 yang melibatkan lebih daripada 3,100 pelajar di seluruh ECER.
Menteri Besar telah memberikan kata-kata semangat mengenai kepentingan I4.0 untuk pembangunan masa depan negeri serta daerah Mersing kepada para peserta dan menggesa mereka untuk terus melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan yang relevan untuk merebut peluang pada masa hadapan dan membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri.
MEMBANGUNKAN POTENSI PERNIAGAAN TANI
Pertanian merupakan salah satu keutamaan untuk ECERDC di Mersing. Visi ECERDC adalah untuk mentransformasi ECER menjadi sebuah hab pengeluaran makanan utama negara melalui inisiatif agrofood@ECER yang kini sedang dalam perancangan, dan pada masa yang sama, menangani isu jaminan bekalan makanan negara serta mewujudkan pekerjaan dan peluang keusahawanan untuk rakyat. Antara projek-projek yang sedang dijalankan adalah Lembah Tenusu Jemaluang atau Jemaluang Dairy Valley (JDV) dan Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing (EMFPP).
Jemaluang Dairy Valley (JDV) adalah projek perniagaan tani utama yang memberi tumpuan kepada penternakan lembu tenusu. Projek ini berjalan mengikut perancangan dan ECERDC sedang memuktamadkan pemilihan syarikat induk yang akan melaksanakan projek tersebut pada bulan Oktober tahun ini. Apabila siap kelak, JDV dijangka akan meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 11%.
Projek pembangunan bersepadu tersebut yang merangkumi bangsal, kawasan pemerahan susu, pusat pemprosesan susu dan stesen foder untuk makanan ternakan akan mewujudkan aktiviti tenusu lestari yang merangkumi aktiviti huluan dan hiliran. Pembangunan holistik rantaian nilai pengeluaran susu di JDV akan memberi manfaat sosioekonomi secara langsung kepada penduduk tempatan dengan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan sebagai peladang satelit dan usahawan tani.
Sementara itu, Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing (EMFPP) yang meliputi kawasan seluas 2.85 ekar, kini sedang dalam pembinaan dan akan mempunyai bilik sejuk berpusat, kemudahan pemprosesan produk ikan dan makanan laut, serta kemudahan kilang. EMFPP dijangka akan menjadi pemangkin untuk membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terlibat dalam pengeluaran produk-produk berasaskan ikan bernilai tambah yang berkualiti tinggi di daerah ini, terutamanya untuk pasaran eksport. Kompleks yang dijangka siap pada bulan Mac 2022 ini telah berjaya menarik minat beberapa syarikat tempatan.
TUMPUAN KEPADA PERTUMBUHAN JANGKA PANJANG INDUSTRI PELANCONGAN
ECERDC tetap komited dalam memastikan projek-projek pelancongan berimpak tinggi seperti Kampungstay di Air Papan yang merupakan pembangunan inap desa berasaskan komuniti, Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) di Pulau Besar, yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi penduduk tempatan dan pelancong, serta Rainforest Discovery Centre di Peta yang terletak di Taman Negara Endau-Rompin (Johor) berjalan seperti dirancang. Projek-projek ini akan membawa faedah jangka panjang bagi rakyat di Mersing.
Walaupun terdapat kekangan akibat pandemik yang telah mempengaruhi kemajuan sosioekonomi Mersing yang banyak bergantung kepada kegiatan pelancongan, ECERDC optimis bahawa sektor ini akan kembali pulih, terutamanya dengan perkembangan positif mengenai kelonggaran sekatan perjalanan untuk rakyat yang telah melengkapkan vaksinasi mereka.
KESIMPULAN
“ECERDC, bersama-sama dengan semua pihak yang terlibat dari Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi yang berkaitan akan terus bekerjasama untuk membangunkan daya saing dan ketahanan rakyat agar mereka dapat berkembang dalam realiti baharu. ECERDC juga yakin bahawa projek-projek pertanian dan pelancongan yang sedang dilaksanakan akan membawa kesan limpahan kepada rakyat memandangkan kedua-dua sektor ini kekal menjadi sumber aktiviti ekonomi yang berdaya maju dalam jangka masa terdekat,” kata En. Baidzawi.