EMPOWER ECER MAHKOTA ANJUR SESI MOTIVASI UNTUK TANGANI KETIDAKHADIRAN DI KALANGAN PELAJAR

PEKAN, PAHANG- 1 APRIL 2014 :Lebih daripada 100 orang ibu bapa, guru-guru dan pelajar-pelajar empower ECER yang menduduki UPSR menghadiri sesi motivasi sehari “Super Camp SK Runchang 2014” yang diadakan di Dewan SK Runchang, Pekan. Ianya dikendalikan oleh ahli akademik yang terlibat dalam empower ECER Mahkota, sebuah program pembangunan modal insan, kerjasama di antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan Universiti Malaysia Pahang.

SK Runchang merupakan sebuah sekolah rendah yang dihadiri oleh anak-anak keluarga peserta Agropolitan Pekan, iaitu satu program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh ECERDC. Kebanyakan para peserta Agropolitan tersebut terdiri dari kaum Orang Asli, dan SK Runchang telah dikenal pasti mempunyai rekod ketidakhadiran pelajar yang agak tinggi. Bagi menangani isu ini, empower ECER Mahkota menganjurkan sesi sehari ini, yang dirasmikan oleh Tuan Haji Masto bin Mat Ban, pembantu peribadi kepada Y.A.B. Ahli Parlimen Pekan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John berkata, “Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memastikan anak-anak mereka menerima pendidikan yang sepatutnya. Selalunya, kita sibuk dengan kerja kita dan cenderung untuk mengabaikan peranan yang penting ini. Sesi motivasi hari ini adalah satu peringatan kepada ibu bapa untuk lebih melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak. Kami prihatin dengan isu ketidakhadiran di kalangan pelajar SK Runchang, terutama sekali kerana pelajar-pelajar ini bakal menduduki peperiksaan UPSR pada akhir tahun ini.”

Selain daripada menangani ketidakhadiran di kalangan pelajar, sesi tersebut juga memberi cadangan kepada ibu bapa dan guru-guru langkah-langkah untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar-pelajar UPSR.

empower ECER Mahkota adalah program unik yang menggabungkan kelas-kelas pemulihan dan membina keyakinan diri. Bagi mewujudkan kesamarataan, empower ECER Mahkota memberi pendedahan kepada para peserta pelbagai teknik pembelajaran. Sehingga hari ini, empower ECER Mahkota mempunyai 4,287 peserta di dalam Program Akademiknya.

Secara keseluruhannya, empower ECER mencatatkan rekod 100% lulus di kalangan pelajar. empower ECER yang dilaksanakan di 17 lokasi; sembilan di Pahang, iaitu di Bentong, Temerloh, Raub, Lipis, Cameron Highlands, Jerantut, Maran, Rompin dan Kuala Pahang, tiga di Kelantan, iaitu Jeli, Bachok dan Ketereh; empat di Terengganu, iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut dan dalam daerah Mersing, Johor.

Pada tahun 2014, program Latihan Akademik empower ECER menyaksikan penyertaan 8,806 pelajar, yang terdiri daripada 3,433 peserta untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2,712 peserta PMR dan 2,661 peserta bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

empower ECER adalah inisiatif pembangunan modal insan serampang dua mata yang dilancarkan oleh ECERDC pada tahun 2010 untuk membantu mengurangkan jurang ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar. Ia terdiri daripada program Latihan Akademik dan program Latihan Kemahiran & Keusahawanan.Ia memberi tumpuan kepada latihan vokasional untuk ibu tunggal, belia menganggur dan individu yang kurang bernasib baik.

Sehingga hari ini, sejumlah 34,113 peserta yang terdiri daripada 22,938 pelajar dan 11,175 orang dewasa telah mendapat manfaat daripada empower ECER. Setakat ini, pelajar-pelajar telah berjaya mencatatkan kelulusan 100%, dengan beberapa pelajar mendapat keputusan cemerlang. Bagi peserta dewasa, dianggarkan bahawa 80% daripada peserta ini akan mendapat pekerjaan selepas menamatkan kursus mereka atau mempunyai pengetahuan yang mencukupi dan pengalaman praktikal untuk memulakan perniagaan mereka sendiri serta keupayaan untuk menjana pendapatan antara RM500 dan RM1,500 sebulan, atau lebih.