HARI PELABURAN KELANTAN SASAR WUJUDKAN KESEDARAN TENTANG PELUANG PELABURAN DAN INSENTIF KHAS YANG ADA DI KELANTAN

KOTA BHARU, KELANTAN, 26 JULAI 2022: Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Invest Kelantan, dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), telah menganjurkan Kelantan Investment Day 2022 (KID 2022) bagi mewujudkan kesedaran dan mempromosikan Kelantan kepada bakal pelabur, terutamanya mengenai insentif khas dari Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk para pelabur.

Yang Berhormat Dato’ Haji Hanifa bin Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan serta Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan merasmikan majlis tersebut hari ini, di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu.

“Kerajaan Negeri Kelantan memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan baharu ke negeri Kelantan. KID 2022 dianjurkan untuk mengetengahkan peluang perniagaan dan peluang pelaburan yang ada, disamping menguar-uarkan tentang potensi ekonomi negeri Kelantan. Alhamdulillah, melalui kerjasama erat yang terjalin antara Invest Kelantan, ECERDC dan MIDA, serta dengan adanya Pakej Insentif Khas Kelantan, kami menyaksikan peningkatan jumlah pelabur yang berminat untuk melabur di negeri Kelantan pada tahun ini,” kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Kelantan, YM Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean bin Tengku Feissal.

Di bawah Pakej Insentif Khas Kelantan, pelabur yang layak akan menikmati pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100% selama 15 tahun, serta lanjutan lima (5) tahun lagi bagi cukai pendapatan khas, pada kadar istimewa 17%. Selain itu, para pekerja berstatus bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan dalam syarikat yang berada di bawah inisiatif ini hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15% sebagai insentif tambahan bagi meningkatkan daya saing negeri Kelantan sebagai sebuah destinasi pelaburan.

“Dengan adanya Pakej Insentif Khas Kelantan yang menarik ini, ECERDC telah mempergiat usaha mempromosikan negeri Kelantan kepada para pelabur berpotensi, dan sehingga Jun 2022, pelaburan komited bagi negeri ini telah mencecah RM5.2 bilion, melepasi sasaran pelaburan ECERDC untuk negeri Kelantan tahun ini, iaitu sebanyak RM1.8 bilion,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Negeri Kelantan setakat ini telah merekodkan pelaburan komited tertinggi berbanding negeri lain di wilayah ECER. Sektor tenaga boleh diperbaharui menjadi penyumbang tertinggi, iaitu kira-kira 62% daripada jumlah keseluruhan pelaburan, manakala sektor pembuatan telah menyumbang kira-kira 25% daripada jumlah keseluruhan pelaburan.

Di KID 2022, ECERDC mengetengahkan peluang pelaburan yang terdapat di negeri Kelantan, terutamanya di Taman Halal Pasir Mas (PMHP) dan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) serta pada masa akan datang, Taman Perindustrian Tok Bali (TBIP) yang sedang dibangunkan. Para pelabur berpotensi juga digalakkan untuk mengambil kesempatan melabur dalam sektor perniagaan tani dan pelancongan.

Organisasi lain termasuk MIDF, Agrobank dan Maybank turut mengambil bahagian dan membentangkan tentang prospek pembiayaan pelaburan di Kelantan.

Bersempena dengan KID 2022, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad bin Yakob, Menteri Besar Kelantan telah melancarkan Dasar Pelaburan Negeri Kelantan.

“Kerjasama erat yang berterusan antara ECERDC, Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta agensi berkaitan telah menyumbang ke arah peningkatan minat para pelabur baharu untuk melabur di negeri Kelantan. Kami yakin, dengan adanya pembangunan infrastruktur dan kesalinghubungan yang pesat dan berterusan, daya tarikan negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan yang kompetitif akan semakin meningkat,” tambah Dato’ Baidzawi.