TOK BALI, 15 JANUARI 2022: Potensi kawasan Tok Bali sebagai pusat pertumbuhan yang baharu di Kelantan akan dipertingkatkan lagi berikutan pengumuman insentif cukai khas oleh Kementerian Kewangan untuk negeri Kelantan baru-baru ini. Menerusi insentif cukai khas ini, para pelabur akan dapat menikmati pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100% selama 15 tahun mulai dari tahun pertama syarikat memperoleh pendapatan berkanun dan cukai pendapatan pada kadar istimewa 17% untuk lima tahun berikutnya. Sebagai insentif tambahan, individu pemastautin bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan bagi syarikat yang diluluskan insentif hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15% untuk meningkatkan daya saing Kelantan sebagai destinasi pelaburan.
“Menyedari cabaran yang dihadapi oleh negeri Kelantan, Kerajaan Persekutuan yakin bahawa insentif cukai khas yang dilaksanakan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan merancakkan transformasi ekonomi negeri ini. Pada masa yang sama, projek pembangunan infrastruktur dan kesalinghubungan di kawasan berhampiran seperti Jalan Central Spine dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga dapat meningkatkan tarikan pelaburan terutamanya ke kawasan Tok Bali,” kata Menteri Kewangan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz di sidang akhbar selepas melawat Tok Bali sempena Jelajah Bajet 2022 di Kelantan.
“Tok Bali disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu di Kelantan dan menerusi insentif cukai khas serta projek-projek berimpak tinggi di kawasan ini, antaranya Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi Pelabuhan Tok Bali yang sedang dilaksanakan oleh ECERDC, kami yakin bahawa usaha ini dapat menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion. Pelaburan ini dijangka dapat menjana 4,200 peluang pekerjaan baharu dan 270 peluang keusahawanan untuk masyarakat tempatan,” kata YH Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.
Pembangunan kawasan Tok Bali akan memberi tumpuan terhadap lima sektor utama iaitu pembuatan, perikanan, minyak dan gas, logistik dan perkhidmatan serta ekopelancongan bagi mempelbagaikan ekonomi di kawasan ini dan meningkatkan daya saing Tok Bali sebagai destinasi pelaburan. Langkah ini seterusnya akan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta membuka peluang-peluang keusahawanan kepada masyarakat setempat.
TBIP adalah sebuah taman perindustrian campuran yang memberi tumpuan terhadap aktiviti nilai tambah (hiliran) yang melibatkan pengeluaran produk berasaskan minyak sawit dan minyak kelapa, bahan pembinaan berasaskan kayu, pembuatan logam dan pembuatan am. Manakala, pelaksanaan Projek Perintis – Transformasi Perikanan di TBIFP pula akan melibatkan seluruh rantaian nilai perikanan termasuk membangunkan keperluan modal insan terutamanya yang melibatkan penyertaan warga tempatan dalam aktiviti perikanan laut dalam. Pembangunan infrastruktur asas untuk aktiviti hiliran dalam Fasa 1A telah siap sepenuhnya dan kini mula menarik pelaburan ke kawasan ini. ECERDC kini sedang aktif membangunkan infrastruktur asas untuk Fasa 1B yang dijangka siap pada bulan November 2022.
Antara projek lain yang sedang diusahakan ialah pembangunan Pangkalan Bekalan Tok Bali sebagai sebuah pelabuhan komersial dan pembangunan infrastruktur luaran di kawasan sekitar serta menaik taraf jalan Tok Bali-Pasir Puteh.
“Kami amat berterima kasih kerana Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bekerjasama erat dalam merealisasikan potensi Tok Bali dengan wujudnya Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali yang memudahcara pelaksanaan projek dan pelaburan, dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Hj Ahmad Bin Yakob, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed. Kami yakin jawatankuasa ini dapat membantu memastikan pembangunan kawasan Tok Bali dipercepatkan selaras dengan rancangan dan dasar Kerajaan,” kata YH Dato’ Baidzawi Che Mat.
Ketika lawatan ke Tok Bali, Menteri Kewangan turut melawat Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) yang dibangunkan oleh sektor swasta. TBSB telah mewujudkan satu sektor ekonomi baharu bukan sahaja di kawasan Tok Bali, malah untuk negeri Kelantan dan kini menjadi antara pangkalan bekalan pilihan di Malaysia. Antara syarikat O&G yang beroperasi di Pangkalan Bekalan Tok Bali termasuklah HESS Corporation, REPSOL, CARIGALI-HESS Operating Company Sdn. Bhd. (CHOC) dan CARIGALI-PTTEPI Operating Company Sdn. Bhd. (CPOC).